Friday, November 22, 2013

Ketua Pembangkang dikeluarkan dari sidang Dewan, apa sebabnya?

Perbahasan di Dewan Negeri Selangor (DNS) tadi sekitar pukul 11:30 pagi agak hangat. Semasa Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional (BN) untuk Kota Damansara sedang berucap, beliau mengungkitkan isu sewa rumah bulanan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak RM250 oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) adalah terlalu mahal.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bertanggungjawab terhadap isu ini (yang juga merupakan ADN Cempaka) tidak berada di DNS pada masa itu, lalu ADN Bukit Lanjan yang merupakan anggota MMKN bangun di bawah Peraturan Tetap 36(6) mengatakan kepada Timbalan Speaker (yang mempengerusi sidang DNS pada masa itu) bahawa isi ucapan ADN Kota Damansara adalah sangkaan jahat terhadap ADN Cempaka kerana sewa rumah PPRT telahpun dinaikkan pada tahun 2007 semasa pemerintahan BN. Kerajaan PR yang mengambil alih selepas itu telah memutuskan sewa akan diturunkan ke paras lama, iaitu RM125 sebulan untuk mereka yang betul-betul tidak mampu dan miskin tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

ADN Sungai Pinang (yang juga merupakan Ahli MMKN) kemudian berdiri di atas Peraturan Tetap yang sama berhujah bahawa jikalau sesuatu isi ucapan yang tidak betul tetapi sudah diperjelaskan sebelum ini dibawa ke DNS sekali lagi oleh mana-mana ADN, maka ianya ialah sangkaan jahat sesuatu yang boleh diambil tindakan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DNS.

Timbalan Speaker kemudian merujuk perkara itu kepada ADN Kota Damansara untuk menyatakan sama ada beliau akan menarik balik kenyataan yang tidak benar itu atau tidak. ADN Kota Damansara pada permulaannya memberi jawapan yang samar-samar. Di sinilah Ketua Pembangkang DNS (merangkap ADN Sungai Burung) berdiri mencelah. Isi ucapannya tidak jelas tetapi Timbalan Speaker telah meminta Ketua Pembangkang untuk duduk kerana ADN Kota Damansara masih belum selesai.

Ketua Pembangkang berkeras untuk berdiri di tempatnya dan enggan duduk. Selama lebih kurang 10 minit Timbalan Speaker meminta Ketua Pembangkang menyebut apakah Peraturan Tetap yang hendak diguna (Seseorang ahli jika hendak berdiri bercakap perlu menyebut terlebih dahulu atas Peraturan Tetap yang mana satu beliau berdiri bercakap).

Ketua Pembangkang masih tidak dapat menyebut Peraturan Tetap yang mana satu hendak diguna dan enggan duduk. Pada masa ini, sudah jelas bahawa Ketua Pembangkang sedang mengguna taktik ini untuk menarik perhatian media kerana dia tahu jika dia terus berdiri dan enggan duduk, sidang DNS tidak dapat diteruskan dan Timbalan Speaker perlu mengeluarkannya daripada DNS.

Untuk memastikan sidang DNS dapat dijalankan, Timbalan Speaker tiada cara lain melainkan mengeluarkan Ketua Pembangkang dari sidang Dewan. Begini apa yang berlaku tadi.

Bagi mereka yang berasa Timbalan Speaker tidak harus mengeluarkan mana-mana ADN keluar dari sidang Dewan, saya berpendapat ada kalanya kita perlu membeza-bezakan kes. Dalam kes Ketua Pembangkang hari ini, saya lihat beliau harus duduk dan membenarkan Timbalan Speaker menjalankan tugasnya untuk mendengar penjelasan daripada ADN Kota Damansara. Sekiranya Ketua Pembangkang masih tidak berpuas hati, beliau masih boleh menggunakan mana-mana peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Tetap untuk mengemukakan bantahannya. Amat aneh sekali apabila Timbalan Speaker beberapa kali sudah meminta Ketua Pembangkang untuk menyebut Peraturan Tetap tetapi beliau tetapi tidak menyebutnya.

Bukan salah kalau Speaker mengeluarkan mana-mana ADN yang ingkar arahan dari sidang DNS. Berikut ialah apa yang berlaku di Parlimen United Kingdom di mana Tuan Speaker terpaksa mengeluarkan seorang Ahli Parlimen Parti Buruh keluar dari sidang Parlimen apabila Ahli Parlimen berkenaan enggan menarik balik perkataan "liar" (tipu) yang bersangkaan jahat terhadap Menteri Pertahanan UK.

Cuma satu perbezaan iaitu di UK, keseluruhan proses ini dijalankan dengan tertib dan sopan, tapi tidak di Malaysia.


Post a Comment