Saturday, September 16, 2006

Menyeru kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi perhatian serious terhadap pengusiran peneroka-peneroka bandar di Selangor

DAP Selangor menyeru kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil tindakan dan memberi bantuan kepada peneroka-peneroka bandar yang terus diusir oleh syarikat-syarikat pemaju swasta. Kami berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak harus mendiamkan diri dalam perkara ini dengan alasan bahawa tanah-tanah yang terlibat bukan tanah kerajaan.

Harus kami tekankan di sini ialah di Selangor, kebanyakkan tanah yang diduduki oleh oeneroka-peneroka bandar ini merupakan tanah swasta ataupun tanah kerajaan yang ditukarmilik kepada pemaju-pemaju swasta.

Malangnya, pemaju-pemaju swasta ini selalunya memakan janji, tidak mengikut peruntukkan kontrak, memberi pampasan yang tidak mencukupi atau langsung tidak memberi pampasan, tidak memberi penempatan semula yang mencukupi, dan semua ini menyebabkan mereka terpaksa diusir keluar daripada bandar-bandar yang mereka selama ini bangunkan dengan tenaga kudrat mereka.

Kami juga ingin menekankan bahawa tempat yang mereka duduki ini tidak sepatutnya dipanggil sebagai “setinggan”. Kebanyakkan daripada mereka ini merupakan mereka yang menyahut seruan daripada Kerajaan Perikatan (iaitu Kerajaan Barisan Nasional sekarang) untuk berpindah dari kampung mereka ke bandar untuk meneroka dan membangunkan bandar-bandar yang kita ada sekarang.

Pada masa itu, kerajaan memberi tanah, menempatkan mereka di tepi tasik lombong ataupun sungai. Rumah yang mereka dirikan itu biarpun diiktiraf oleh kerajaan dan diberi bekalan elektrik dan air, malaha ada sesetangah mereka mendirikan cawangan-cawangan parti komponen BN di tempat itu, tetapi kos pembinaan rumah ini selamanya ditanggung oleh mereka sendiri. Oleh itu, kerajaan tidak harus mengusir mereka keluar daripada tempat mereka dengan cara kekerasan atau cara ala-samseng tanpa memberi pampasan yang mencukupi.

Mereka ini semalam datang ke Parlimen untuk menyerah satu memorandum kepada Perdana Menteri.


Dalam pada itu, cara penanganan masalah ini oleh Kerajaan telah jelas tidak mengikut peruntukan-peruntukan dalam Deklarasi Habitat Agenda 1992, termasuk peruntukan di mana kerajaan jikalau ingin membangunkan kawasan tersebut mesti meminta pendapat daripada peneroka-peneroka bandar, kerajaan juga perlu mengiktiraf hak milik tanah mereka dan jikalau terdapat pemindahan geran tanah. Kerajaan juga perlu cuba membawa mereka untuk berunding dnegan pihak pemaju sebelum sebarang tindakan roboh rumah diadakan.

Walaupun memorandum itu diserah kepada YAB Perdana Menteri tetapi kami berpendapat Menteri Besar Selangor tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi, mereka ini telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan perindustrian dan perdagangan di Selangor.

Sekarang, terdapat 27 buah kawasan peneroka bandar yang telah dirobohkan, dan dalam proses perobohan ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah meminta bantuan daripada FRU, PDRM untuk menahan peneroka-peneroka yang cuba melindungi rumah mereka daripada diroboh. Kadang-kala PBT menggunakan Ordinan Darurat 1969 untuk mengusir penduduk-penduduk ini.

Salah satu contoh yang paling baik ialah operasi roboh rumah di Kampung Maha Tambahan, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Operasi berkenaan dipimpin oleh YDP MPPJ pada masa itu, iaitu Datuk Termizi di bawah Ordinan Darurat 1969 yang mana operasi berkenaan sepatutnya tidak sah kerana rumah-rumah peneroka bandar itu terletak di atas tanah swasta dan Ordinan Darurat hanya boleh diterimapakai ke atas tanah kerajaan.

Dan di antara 27 kawasan yang dimaksudkan tadi, satu pertiga daripada penduduk-penduduk itu tidak diberi rumah sementara oleh pemaju apabila mereka diusir daripada rumah mereka. Terdapat juga rumah sementar yang tidak siap dibina walaupun sudah dijanjikan. Ada juga yang terletak terlalu jauh daripada tempat kerja mereka.

Kesengsaraan yang dirasai oleh mereka ini cukup mencerminkan kehilangan demokrasi di Selangor. DAP Selangor dan ADUN kami di DUN Selangor selalunya menghadapi masalah untuk mengetengahkan suara rakyat tertindas di DUN Selangor kerana DUN Selangor hanya bersidang lima hari setahun dan ini ternyata amat kekurangan untuk ADUN-ADUN sekalian untuk membincangkan isu-isu rakyat dengan mendalam. Oleh itu, kami berharap rakyat boleh membuat pilihan yang bijaksana dalam pilihanraya yang akan datang dengan membuat pilihan yang betul untuk mengubah nasib mereka.

No comments: