Sunday, May 04, 2008

Kaji kesan gelombang

Oleh HELMY ABD RAHMAN
helmy@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Adlina Suleiman, bercadang mengadakan kajian lanjut mengenai risiko kanser dihadapi penduduk yang tinggal berhampiran menara pemancar di Selangor.

Katanya, rancangan itu masih dalam peringkat awal dan beliau akan mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri supaya dapat meluluskan dan membiayai kos kaji selidik berkenaan.

“Mungkin saya akan bekerjasama dengan pakar dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan berharap menerima geran yang diperlukan untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.

“Kajian ini untuk mencari kaitan sama ada gelombang elektromagnetik frekuensi rendah (EMF) dapat mempercepatkan pertumbuhan sel kanser dan simptom lain membabitkan lebih ramai responden serta jarak zon lebih jauh dari menara,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan antara penduduk Taman Subang, di sini, bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Infrastruktur negeri, Datuk Dr Hassan Ali.


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San; Pengurus Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Radiasi Agensi Nuklear, Dr Wan Saffiey Wan Abdullah; Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Subang, Musa Abdullah dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dr Adlina juga berharap penduduk memberi kerjasama penuh apabila kaji selidik lanjut itu dilakukan.

“Jangan pula nanti ada yang enggan membuka pintu seperti dialami pelajar saya ketika membuat kaji selidik baru-baru ini kerana ia untuk kebaikan bersama,” katanya.

Isnin lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan mengenai risiko penduduk diserang kanser dan pelbagai sakit kronik lain berikutan tinggal berhampiran menara pemancar telekomunikasi.

Pendedahan mengejutkan itu dibuat Dr Adlina bersama 10 pelajarnya, baru-baru ini, melalui kajian kesan radiasi menara pemancar telekomunikasi terhadap penduduk di Taman Subang, di sini.

Hasil kaji selidik dua minggu membabitkan 170 penduduk taman perumahan itu mendapati, 8.23 peratus responden dilaporkan diserang kanser berbanding tidak sampai satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat negara ini mengalaminya.

Kebanyakan kes sesudah menara pemancar telekomunikasi didirikan di taman perumahan itu 10 tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia ada kaitan secara langsung dengannya.

Dr Adlina yang turut menghuni taman perumahan itu mengambil inisiatif membuat siasatan mengenai bahaya kesan radiasi gelombang elektromagnetik (EMR) dihasilkan menara pemancar telekomunikasi sebelum melakukan kaji selidik dua minggu membabitkan 170 responden terbabit.
Post a Comment