Monday, May 26, 2008

Perbelanjaan berhemah asas tadbir urus baik di Selangor

Setelah lebih tiga hari Dewan Undangan Negeri Selangor bersidang, saya berasa amat berat hati untuk melihat sumber yang begitu kaya di negeri Selangor dibazirkan melalui pelbagai ketirisan berpunca daripada kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang lalu.

Seimbas kembali, Dewan Yang Mulia ini dikejutkan dengan risiko-risiko tinggi yang perlu dihadapi oleh anak-anak Syarikat semasa menjalankan projek usaha sama dengan syarikat-syarikat swasta, cara-cara Balkis membelanjakan wang derma daripada anak-anak syarikat kerajaan Selangor, penyelewengan-penyelewengan yang pernah berlaku di PBT-PBT di Selangor dan sebagainya.

Peristiwa-peristiwa ini wajar didedahkan agar bukan sahaja rakyat, malahan setiap warga kerajaan negeri Selangor, termasuk para ADUN dan Ahli Parlimen memahami situasi sebenar keadaan di negeri Selangor. Ini juga adalah penting untuk kerajaan negeri Selangor yang baru menempatkan dirinya di tempat permulaan yang sesuai.

Saya berasa berat hati, jikalau sumber-sumber ini dapat diuruskan dengan teliti, berintegriti, berhemah dan telus, maka saya yakin negeri Selangor akan menjadi sebuah negeri yang betul-betul maju di mana warganya dapat hidup dan bekerja di negeri Selangor dengan aman dan selesa.

Melalui pemerhatian saya, terdapat beberapa masalah yang perlu dipandang serious oleh kerajaan negeri Selangor.

Kontrak-kontrak PBT dengan syarikat swasta wajar dinilai semula

Seperti apa yang diterangkan dalam sessi penggulungan oleh kerajaan negeri semasa Dewan membahas usul menjunjung kasih titah ucapan Tuanku Sultan Selangor, wujudnya perjanjian-perjanjian yang dimeterai di antara pihak kerajaan tempatan dengan syarikat swasta yang mana pembahagian keuntungan adalah berat sebelah.

Sebagai satu permulaan, saya ingin bercadang kepada kerajaan negeri supaya semua perjanjian ini dirombak kembali setakat mana yang boleh mengikut peruntukan dalam perjanjian-perjanjian tersebut, khususnya kontrak-kontrak yang diberi kepada syarikat-syarikat kroni yang tidak dapat menunjukkan prestasi. Ini termasuk kontrak-kontrak yang melibatkan penswastaan tempat letak kereta, pembersihan sampah-sarap, longkang dan perkhidmatan-perkhidmatan perbandaran yang lain.

Perbelanjaan Pejabat Menteri Besar untuk calon-calon pro-BN di pilihanraya kampus

Mengikut laporan media elektronik Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/news/57019) yang bertarikh 19 September 2006, adalah difahamkan bahawa terdapat seramai 42 mahasiswa-mahasisiwi menginap di sebuah hotel empat bintang di Petaling Jaya seminggu sebelum itu, iaitu Hotel Crystal Crown sebagai sebahagian daripada tanda terima kasih daripada kerajaan.

Mahasiswa-mahasisiwi dari Universiti Malaya (UM) ini pernah menjadi calon pro-BN dalam pilihanraya kampus yang akan berlangsung pada 21 September 2006 yang lalu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pejabat Menteri Besar Selangor pada masa itu telah menjelaskan bil yang berjumlah lebih daripada RM5,000, untuk calon-calon yang menginap di 32 bilik – termasuk beberapa bilik eksekutif di tingkat tertinggi hotel tersebut. Selain itu, mereka juga kemudiannya menjamu selera di restoran hotel tersebut.

Saya meminta YAB Menteri Besar dapat menyiasat perkara ini biarpun jumlah wang yang terlibat adalah sedikit kerana walau macam mana sedikitpun, wang ini tetap merupakan wang rakyat negeri Selangor.

Pengajian Tinggi: Unisel

Walaupun pengajian tinggi terletak di bawah kuasa kerajaan persekutuan, tetapi saya ingin menarik perhatian terhadap Universiti Industri Selangor (Unisel) yang ditubuhkan dan dimiliki oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Selangor pada tahun 1999.

Sebagai universiti pertama yang dimiliki oleh kerajaan negeri, saya amat tertarik dengan halatuju Unisel untuk tahun-tahun yang akan datang dimana saya berpendapat bahawa potensi universiti ini perlu dikembangkan dengan segera agar negeri Selangor ini dapat melahirkan sumber manusia yang berkualiti tinggi.

Sesungguhnya, kualiti barisan kepimpinan Unisel adalah amat penting untuk melahirkan graduan-graduan yang berkualiti. Oleh itu, saya juga prihatin terhadap barisan kepimpinan Unisel yang dianggotai oleh individu-individu yang tidak mempunyai kelayakan akademi yang diperlukan untuk memimpin Universiti.

Contohnya perlantikan Y.A Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Timbalan Perdana Menteri sebagai Canselor Unisel walaupun beliau tidak mempunyai sebarang Ijazah Kedoktoran Falsafah langsung. Saya ingin bertanya sama ada barisan pengurusan tertinggi Unisel akan diganti dengan golongan akademik berwibawa.

Menara pemancar telekomunikasi di Selangor

Saban hari, kita telah melihat pemancar telekomunikasi didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Dalam kita menikmati keselesaan telekomunikasi, rakyat juga semakin prihatin dengan masalah-masalah berpunca daripada menara-menara pemancar telekomunikasi yang haram di Selangor sehingga menjejaskan kesihatan penduduk.

Saya ingin bertanyakan apakah peranan yang dimainkan oleh Kumpulan Jaringan Selangor dalam mendirikan menara-menara pemancar telekomunikasi?

Saya juga ingin meminta kerajaan negeri untuk menerangkan prosedur-prosedur mendirikan menara pemancar telekomunikasi di negeri Selangor dan prosedur aduannya dan bagaimana orang ramai dapat mengenalpasti bahawa sesebuah menara itu sah atau tidak?

Projek terbengkalai Bukit Beruntung

Apakah rancangan-rancangan terbaru kerajaan untuk memulihkan projek perumahan yang gagal ini demi menyelesaikan kebuntuan yang dialami oleh ribuan pembeli-pembeli rumah di Bukit Beruntung?

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya: Perjanjian di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan

Apabila kerajaan Selangor menyerahkan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan persekutuan pada tahun 1974 dan tahun 2001 untuk ditadbirkan sebagai Wilayah Persekutuan, perjanjian telah ditandatangani di antara kedua-dua kerajaan.

Saya ingin bertanya apakah pulangan yang akan diberi oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, khususnya pulangan dari segi wang ringgit dan adakah janji-janji pulangan ini telah ditepati oleh kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

Apakah faedah yang akan diberi kepada Selangor mengikut perjanjian apabila kerajaan Selangor menyerah Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan Persekutuan sebagai Wilayah Persekutuan?

[Ucapan membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2008 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 26 Mei 2008 di Shah Alam]
Post a Comment