Sunday, May 04, 2008

MBPJ perkenal van transit OKU

Oleh Harian Metro

PETALING JAYA: ‘Mudah, senang dan tidak membebankan’ adalah antara yang dijanjikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada penduduk apabila memperkenalkan kemudahan mobiliti termasuk bas komuniti dan van transit orang kurang upaya (OKU), semalam.

Kemudahan berkenaan diperkenalkan dengan harapan penduduk terutama OKU dan mereka yang kurang berkemampuan serta warga emas akan mendapat manfaat sewajarnya, malah tidak lagi merasa bebanan di sebalik pembangunan pesat bandar.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata pihaknya sudah lama berfikir untuk mewujudkan bas komuniti dan van transit OKU berikutan bukan semua penduduknya senang-lenang serta dapat menggunakan kemudahan sedia ada dengan selesa.

“Memikirkan keperluan golongan ini, maka kami wujudkan dua bas komuniti dan sebuah van transit OKU supaya mereka berpeluang menjalani kehidupan sama seperti orang lain.


“Bermula 3 Jun depan, bas komuniti dan van transit sudah boleh digunakan dengan waktu operasinya setiap hari termasuk cuti umum, bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya pada sidang media promosi perkhidmatan bas komuniti dan transit OKU, di ibu pejabat MBPJ di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Edward Lee; Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib dan Presiden Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur, Anthony Arokia.

Mohamad Roslan berkata buat permulaan pihaknya akan mengadakan percubaan atau ‘trial run’ untuk melihat keberkesanan kemudahan terbabit kepada penduduk dan dalam masa sama menerima komen serta cadangan daripada mana-mana pihak bagi tujuan penambahbaikan.
Post a Comment