Sunday, January 07, 2007

Kerenah birokrasi ganggu pelancongan

Kerenah birokrasi ganggu pelancongan

Oleh Ziauddin Sharuddin (Berita Mingguan)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) bosan dengan kerenah birokrasi sesetengah agensi kerajaan yang menimbulkan pelbagai masalah kepada pelancong dan pengusaha pelancongan.

Sesetengah agensi kerajaan katanya, masih mengikut cara penjajah Inggeris yang meninggalkan undang-undang yang tidak lagi sesuai di negara ini.

“Antara laporan pelik saya terima ialah aduan seorang pengusaha hotel bajet yang mendakwa tidak akan mendapat lesen kerana hotelnya hanya menyediakan kemudahan bilik air berkongsi.

“Di luar negara, saya biasa tinggal di dormitori atau asrama yang berkongsi bilik air, tetapi di sini tidak boleh,” katanya dalam temu bual bersama Berita Minggu.

Tengku Adnan berkata, masalah lain membabitkan hotel bajet yang diterimanya ialah pengusaha hotel bajet perlu mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya setiap dua bilik mempunyai satu pemadam api.

Katanya, keperluan keselamatan penting di hotel bajet, tetapi meminta PBT menggunakan budi bicara terhadap pengusaha hotel berkenaan.

“Kalau diceritakan, saya pun naik bosan, tetapi inilah masalah yang berlaku. Saya tidak boleh melakukan apa-apa dan akan menulis surat kepada menteri berkaitan supaya hotel bajet dilesenkan secara sempurna, tetapi tidak terlalu ketat,” katanya.

Selain itu, katanya masalah pandangan serong terhadap pelancong Asia, terutama dari negara jiran masih berlaku di barisan depan yang menyambut kedatangan mereka.

Katanya, sesetengah pelancong Indonesia yang tiba di negara ini melalui jalan laut seperti di Stulang Laut, Johor, menghadapi kerenah membabitkan Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia yang menganggap merekaTenaga Kerja Indonesia (TKI).

“Begitu juga dalam kes dua orang kulit hitam warga Amerika Syarikat yang ditangkap kerana pandangan serong,” katanya.

Tengku Adnan berkata, kerajaan menyedari masalah itu dan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), RM50 juta diperuntukkan untuk melatih semula pelbagai pihak di sektor swasta dan awam mengenai kepentingan pelancongan.

No comments: