Tuesday, June 12, 2012

Ron97 harus dijual pada paras RM3.38 seliter supaya harga Ron95 boleh diturunkan lagi


Kenyataan Menteri  Perdagangan Domestik, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri bahawa harga Ron95 masih disubsidi kerajaan dan harganya tidak akan dikurangkan merupakan satu kenyataan yang memesongkan rakyat.

Ini adalah kerana harga Ron95 masih boleh dikurangkan apabila harga Ron97 masih belum dijual pada paras yang sepatutnya, iaitu RM3.38 seliter.

Ini berikutan pengumuman Ismail Bera Khamis lalu bahawa kerajaan tidak mengenakan cukai jualan terhadap Ron97, menjadikan bahan api ini dijual pada harga RM2.80 seliter.

Beliau juga berkata bahawa sekiranya cukai jualan sebanyak 58 sen seliter dikenakan ke atas bahan api ini, maka harga jualannya ialah RM3.38 seliter dan harga ini masih lebih mahal daripada harga Ron95 jikalau subsidi dihapuskan dan cukai jualan dikenakan (RM1.90 seliter + 58 sen cukai jualan + subsidi 70 sen = RM3.18 seliter)

Soalannya ialah, mengapa kerajaan tidak mengenakan cukai jualan terhadap bahan api Ron97 apabila kebanyakkan pengguna Ron97 merupakan pemilik-pemilik kereta mewah?

Sekiranya kerajaan masih boleh mengurangkan harga Ron95 dengan mengenakan cukai jualan terhadap bahan api Ron97, mengapakah ini tidak dilakukan?

Apakah keperluannya untuk kerajaan menjaga kepentingan segelintir pemilik-pemilik kereta besar dan mewah sedangkan kebanyakkan rakyat kelas bawahan bergantung kepada bahan api Ron95?

Apa yang lebih mengecewakan ialah harga Ron97 diturunkan lagi daripada RM2.90 seliter ke RM2.80 seliter dengan alas an bahawa harga minyah mentah antarabangsa telah merosot? Apa yang aneh ialah semua bahan api termasuk Ron97 dan Ron95 ditapis daripada minyak mentah, maka apabila harga minyak mentah turun, maka harga Ron97 dan Ron95 seharusnya turun. Mengapakah hanya harga minyak Ron97 sahaja yang diturunkan dan bukannya Ron95?

Terdapat banyak percanggahan dan kecelaruan menteri-menteri Barisan Nasional semasa mereka menjelaskan perkara ini kepada rakyat.
Post a Comment