Yang Di-Pertua MPMUM sessi 2005/2006 Effendi Omar pada 29hb November 2005 telah menyatakan pendirian MPMUM kepada Malaysiakini.com versi Mandarin bahawa MPMUM bersetuju untuk memberi lebih banyak ruang berpersatuan kepada mahasiswa-mahasiswi di dalam kampus tetapi berpendapat ruang kebebasan untuk aktiviti luaran perlu disekatkan kerana ianya akan menjejaskan prestasi akademik mahasiswa-mahasiswi.”
DAPSY memang amat memepertikaikan logik di sebalik kenyataan. Bagaimana pula kebebasan berpersatuan untuk mahasiswa di luar kampus boleh menjejaskan prestasi akademiknya? Kalau seperti itu, bukankah prestasi akademik mahasiswa akan turut merosot apabila mereka ini dibenarkan kebebasan berpersatuan di dalam kampus? Apakah pula perbezaan di antara kebebasan berpersatuan di dalam dan di luar kampus? Mengapakah pula mahasiswa tidak mempunyai hak sebagai seorang rakyat Malaysia untuk berpersatuan walaupun mereka diberi kebebasan yang sama di dalam kampus?
DAPSY ingin mengulas pendirian bahawa AUKU yang diluluskan pada tahun 1970-an bukan sahaja merupakan sebuah akta yang usang, tetapi juga satu akta yang zalim. Ianya tidak harus dikekalkan dengan pindaan tetapi mesti dimansuhkan sama sekali.
Pemansuhannya adalah untuk membebaskan mahasiswa dan para akademik daripada kekangan birokratik, supaya mahasiswa-mahasiswi dan ahli-ahli akademik dapat mempelajari ilmu dan menjalankan kajiselidik terhadap ilmu alam semesta dalam suasana yang bebas. Pemansuhannya juga membolehkan mahasiswa-mahasiswi untuk lebih mendekati apa yang berlaku di luar menara gading, dan seterusnya dapat memperbaiki keadaan di dalam masyarakat apabila tamat pengajian nanti.
Oleh itu, sekatan dan kekangan yang keterlaluan terhdapa hak berpersatuan mahasiswa bukan sahaja akan mambantut keprihatinan mereka terhadap perkembangan semasa masyarakat, malahan juga akan memutuskan rangkaian di antara mahasiswa dengan masyarakat. Hakikatnya, mahasiswa akan menjadi ukat buku dan tidak dapat memainkan peranan memimpim dalam memperbaiki keadaan masyarakat. Ini merupakan satu bentuk pembaziran, malahan graduan yang menganggur juga merupakan satu beban ekonomi yang tersirat terhadap masyarakat.
Effendi Omar juga menggunakan contoh mahasiswa berdemonstrasi di Indonesia sebagai merosakkan imej negara, sekaligus menjejaskan kemasukan pelaburan asing. Walaupun begitu, Effendi Omar harus bijak membezakan di antara demonstrasi keganasan dan perhimpunan aman kerana kedua-duanya adalah dua perkara yang berlainan. Apa yang merosakkan imej negara ialah demonstrasi keganasan dan bukannya perhimpunan aman. Selain ini, demonstrasi keganasan bukanlah agenda perjuangan untuk memulihkan demokrasi kampus dan hak mahasiswa.
Selain itu, DAPSY juga menyeru MPMUM supaya mempamerkan automoni badan itu sebagai perwakilan mahasiswa dan bukannya menjadi jurucakap kepada pihak pengurusan universiti. Walaupun markah UM pada ranking THES tahun ini lebih tinggi daripada tahun yang lepas, tetapi kedudukan UM memang sudah merosot dan ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan. Kedudukan dalam ranking selalunya dilihat sebagai satu perbandingan relatif dan bukannya perbandingan yang mutlak. Fenomena ini menunjukkan kadar kemajuan UM jauh lebih rendah daripada universiti-universiti yang lain. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah mencari kelemahan-kelemahan diri yang menyebabkan kemerosatan ini dan bukannya mengheboh-hebohkan markah yang diperolehi untuk menutup kelemahan-kelemahan sendiri. Dalam perkara ini, MPMUM wajar bercakap benar terhadap pihak pengurusan universiti dan bukan sebalikanya menjadi jurucakap kepada pihak pengurusan!
Lau Weng San
30hb November 2005.