RAWANG, 12 Mei (Hrkh) - Amarah rakyat Selangor memuncak lagi. Kali ini mereka mahu memenjarakan Menteri Besar Selangor, Dato' Mohd Khir Toyo yang dikatakan merupakan dalang kepada masalah mereka ini. Kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pekerja dan ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Kelab Semenanjung (CEUPM) berpiket di pintu masuk Peransang Templer Golf Club, Templer Park Resort, Rawang pada pagi ini untuk membantah tindakan pihak pengurusan yang memecat seramai 72 orang pekerja Perangsang Templer Golf Club, yang merupakan salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor dengan alasan pihak kelab mengalami masalah kewangan. Mereka menggesa untuk memecat MB sebagai 'key person' juga merupakan penaung kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kerana gagal mengawal orang-orang bawahannya dan menganggap MB biadap kerana tidak menghormati undang-undang negara. Mereka menyifatkan kerajaan negeri Selangor tidak prihatin terhadap undang-undang yang diakui oleh perlembagaan, dengan bersikap zalim pada rakyatnya sendiri sehingga tidak memberi peluang kepada mereka untuk menyelamatkan kelab tersebut. Seramai 72 orang pekerja telah dipecat secara serentak oleh Presiden KDEB iaitu Dato' Abdul Karim Munisa, pada 30 April yang lalu berkuatkuasa dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang notis diberikan serta perbincangan awal bersama mereka, dan hanya diberi pampasan berjumlah RM 20 ribu, bahkan pihak kelab telah pun mengambil 60 orang pekerja asing bagi menggantikan mereka dalam tempoh terdekat ini. Dato' Abdul Karim juga dikatakan menganggap masalah yang pernah diutarakan kepada beliau ini sebagai satu isu dan beliau juga telah menyalahgunakan kuasanya dengan melantik beberapa individu di jawatan tertinggi seperti CEO iaitu Mohamad Shah Abdul Aziz, yang dipertikaikan kelayakannya untuk menerajui kelab itu. Menurut Setiausaha Kesatuan Pekerja-pekerja Kelab Semenanjung (CEUPM), Abdullah Sani Abdul Hamid, 45, sekiranya MB tidak memanggil mereka untuk berbincang,maka beliau tidak akan teragak-agak untuk memfailkan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk mendakwa dan memenjarakan MB atas tindakan yang telah dibuat oleh orang bawahan beliau. Beliau mendakwa tindakan pemecatan tersebut menunjukkan bahawa pihak pengurusan mempunyai niat jahat atau 'mala fide' terhadap pekerja, bahkan mereka telah melanggar seksyen 60M Akta Pekerja 1955 yakni Larangan menamatkan pekerja tempatan untuk pekerja asing, seksyen 60N Akta Pekerja 1955 iaitu menamatkan pekerja oleh sebab lebihan pekerja. Katanya, pemecatan ini juga tidak mengikut prosedur kerana mereka hanya merujuk kepada Jabatan Buruh sahaja. Sementara itu, pihak kelab juga dikatakan telah melanggar seksyen 12 dengan memberi notis 24 jam pada tarikh pembuangan kerja pada 30 April, sehari sebelum Hari Pekerja dirayakan di seluruh negara. Pihak pengurusan kelab dianggap tidak bijak dalam menangani masalah kelab dengan mengambil tindakan tidak membuat perancangan yang konkrit untuk menyelamatkan kelab, sebaliknya pembaziran duit dibuat dengan membatalkan kontrak buggy bahkan kemudian membeli buggy yang baru tanpa tujuan yang jelas. Abdullah Sani turut mendedahkan penyata kewangan yang merekodkan bahawa kos menaiktarafkan kelab tersebut yang dibuat secara tidak menyeluruh dengan jumlah RM3 Juta. CEUPM juga dikatakan pernah berkompromi dengan MB untuk menyelamatkan kelab di Shah Alam pada tahun 2003 dan 2004 apabila keadaan kewangan yang merudum dengan memotong gaji pegawai-pegawai kanan dan pekerja serta kesannya kelab berjaya diselamatkan bahkan memperolehi keuntungan yang besar. Ketua pekerja, Maintainance Supervisor Kelab tersebut,Abdul Rahman Bakar,42,pula berkata pelbagai usaha telah dibuat sebelum ini termasuk perbincangan dengan Umno kawasan tersebut, iaitu Dato' Ahmad Bahari yang berjanji akan mengetengah kan hal ini kepada MB tetapi setakat ini masih belum ada sebarang maklum balas. CEUPM katanya akan terus mengumpulkan maklumat, seterusnya akan menyalurkannya kepada Badan Pencegah Rasuah bagi mengenalpasti penyalahgunaan kuasa yang berlaku, dengan tidak menolak kemungkinan wujudnya agenda-agenda tertentu pihak tertinggi pengurusan yang mengamalkan kronisme untuk menjaga kepentingan suku sakat mereka di dalam pengurusan. Mereka juga menghantar surat kepada Menteri Besar, Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri, Menteri Sumber Manusia, serta exco-exco kerajaan negeri Selangor tetapi masih belum mendapat sebarang respon dan akan turut memaklumkan hal ini kepada Sultan Selangor. - mks. |