Tuesday, October 08, 2013

Audit puas hati dengan prestasi Selangor keseluruhannya

Rakyat Selangor boleh bermegah dan berbangga dengan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana sekali lagi kerajaan ini menerima komen-komen positif daripada Ketua Audit Negara.

Jabatan Audit Negara (JAN) telah menjalankan audit terhadap beberapa agensi, jabatan dan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor pada tahun 2012. Antaranya ialah:

1. Audit terhadap pengurusan pinjaman pelajaran yang dikendalikan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) antara bulan Julai hingga Oktober 2012;

2. Audit terhadap Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), iaitu audit terhadap status kewangan anak syarikatnya, Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC) antara bulan Julai hingga Oktober 2012;

3. Audit terhadap anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu Selangor Oil Palm Industries Corporation Sdn. Bhd (SOPIC) antara bulan Jun hingga Oktober 2012;

4. Audit terhadap Program Hadiah Anak Masuk Universiti (HPIPT) yang dikendalikan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) antara bulan Januari hingga Februari 2013;

5. Audit terhadap pengurusan pengendalian kes Syariah oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor antara bulan Ogos hingga November 2012;

6. Audit terhadap Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Sdn. Bhd. (KUIS), anak syarikat milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) antara bulan Disember 2012 hingga Februari 2013.

Rata-ratanya, rakyat negeri Selangor boleh berbangga dengan prestasi kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat kerana telah menerima pujian baik daripada audit. Contohnya, dalam audit (1), JAN telah mendapati "secara keseluruhannya, prestasi program adalah baik, namun masih boleh dipertingkatkan".

Selain itu, JAN juga memberi komen "memuaskan" terhadap status kewangan SSIC kerana "memperolehi lebihan pendapatan bagi tahun 2009 hingga 2011".

JAN juga mendapati "prestasi kewangan SOPIC pada tahun 2011 adalah memuaskan" kerana "keuntungan sebelum cukai pada tahun 2011 berjumlah RM2.26 juta meningkat sejumlah RM92.72 juta (102.5%)".

Bagi program HPIPT pula, JAN mendapati secara keseluruhannya, prestasi HPIPT adalah "baik kerana tahap pencapaian pemberian wang hadiah mencapai 87.8% penerima yang disasarkan".

Untuk pengurusan pengendalian kes Syariah oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, JAN memberi komen bahawa ianya dijalankan dengan "cekap dan mencapai matlamat yang ditetapkan kerana bilangan kes yang berjaya diselesaikan meningkat setiap tahun bagi tahun 2010 hingga 2011".

Cuma untuk KUIS, JAN berpendapat prestasi kewangan KUIS pada tahun 2011 adalah tidak memuaskan kerana mengalami kerugian RM11.3 juta pada tahun 2011. Walaupun begitu, JAN juga membuat catatan bahawa kerugian ini disebabkan oleh pelaksanaan proses transfomasi yang bermula pada tahun 2011 dan akan dilanjutkan selama empat tahun. Biarpun begitu, KUIS masih berupaya mencapai keuntungan terkumpul sebanyak RM17.76 juta sehingga tahun 2011.

Walaupun mendapat komen dan pujian yang baik secara keseluruhannya, tetapi kesemua anak-anak syarikat dan agensi kerajaan juga menerima beberapa cadangan penambahbaikan. Berbanding dengan komen dan teguran yang diterima oleh badan-badan, agensi-agensi dan anak-anak syarikat kerajaan persekutuan, di mana seringkali ianya mendapat liputan media yang begitu meluas disebabkan ketirisan wang ringgit yang begitu dahsyat, komen-komen yang diterima oleh anak-anak syarikat dan jabatan kerajaan negeri Selangor adalah dalam bentuk penambahbaikan dari segi pentadbiran dan pengurusan dasar, maklumat dan garis panduan kerja.

Saya menganggap cadangan-cadangan ini sebagai positif untuk menjadikan pentadbiran kerajaan Selangor selangkah lebih maju daripada kerajaan-kerajaan negeriyang lain, bahkan kerajaan persekutuan.

Syabas, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor!

No comments: