Monday, April 14, 2014

Ucapan Perbahasan ADN Kampung Tunku Lau Weng San semasa perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2014 pada 14 April 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

1. Perbekalan Tambahan ini akan melibatkan perbelanjaan sejumlah RM 5.9 juta untuk membiayai kenaikan gaji, elaun dan bonus Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang telah diluluskan dalam Sidang Dewan Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13.

2. Dewan Yang Mulia ini juga telah dimaklumkan bahawa, walapun kenaikan gaji, elaun dan bonus ini telah diluluskan oleh Sidang Dewan yang lepas, tetapi MMKN telah membuat keputusan kemudian untuk mengurangkan kadar kenaikan ini di antara 23% hingga 52%. Potongan ini akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

3. Secara dasarnya potongan gaji ini memang membangkitkan persoalan-persoalan seperti berikut:
• samada ianya bercanggahan dengan Prinsip Pengasingan Kuasa,
• potongan harus dilakukan secara sukarela untuk mencerminkan keikhlasan mereka untuk menyumbang kepada Akaun Amanah Tabung MES,
• samada ianya bercanggahan dengan prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law)

4. Malaysia dan negeri Selangor mengamalkan Prinsip Pengasingan Kuasa dalam sistem kerajaan kita. Prinsip ini bermaksud bukan sahaja kuasa kerajaan dibahagi sama rata antara ketiga-tiga cabang kerajaan, ianya juga bermaksud layanan terhadap anggota ketiga-tiga cabang kerajaan seboleh-bolehnya adil dan setara.

5. Baru-baru ini Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan terhadap Akta Saraan Hakim 1971. Hakim-hakim Mahkamah Tinggi di Malaya, Sabah dan Sarawak ialah RM 17,754.76 sebulan sementara Ketua Hakim Negara menerima gaji sebanyak RM 25,000.00 sebulan. Hakim-hakim di mana-mana hieraki kehakiman di antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan menerima gaji bulanan di antara kedua-dua angka ini.

6. Selepas potongan ini, gaji bulanan YAB Menteri Besar, YB Anggota EXCO, YB Speaker dan YB Timbalan Speaker ialah seperti berikut: 
• YAB Menteri Besar, RM14,175.15 (kembali ke paras gaji asal)
• YB AMMKN, RM 15,000.00
• YB Tuan Speaker, RM 15,000.00
• YB Tuan Timbalan Speaker, RM12,000.00

7. Ini bermaksud, gaji Menteri Besar yang merupakan Ketua Eksekutif dan gaji Speaker yang merupakan Ketua Perundangan lebih rendah daripada gaji mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi di Malaysia. Adakah ini adil dari sisi prinsip Pengasingan Kuasa?

8. Pada pendapat saya, gaji antara anggota ketiga-tiga cabang kerajaan harus dikekalkan pada paras yang hampir sama. Sebarang ketidakseimbangan yang berlaku dalam aspek ini mungkin akan menyebabkan ketidakseimbangan dari segi kuasa dan pengaruh di antara ketiga-tiga cabang kerajaan ini.

9. Kedua, potongan gaji ini akhirnya akan disalurkan ke dalam Tabung Amanah MES dan ini boleh dianggap sebagai satu kerja kebajikan. Soalannya, adakah terdapat mana-mana kerja kebajikan di dunia ini yang dilakukan secara paksaan? Jawapannya ialah tiada. Semua kerja kebajikan ialah kerja sukarela dan tidak dilakukan melalui ketetapan dan paksaan undang-undang seperti apa yang berlaku sekarang.

10. Ketiga, ianya bercanggahan dengan prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law) kerana kenaikan gaji ini telahpun diluluskan dalam Sidang Dewan yang lepas yang meluluskan pindaan ke atas Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) dan telah menjadi undang-undang yang sah selepas diperkenan oleh DYMM Sultan Selangor dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan.

11. Sekiranya undang-undang ini adalah sah, maka ianya harus diikuti dan bukannya diubah-ubah melalui keputusan MMKN yang dibuat kemudian. Walau bagaimanapun, saya “stand corrected” untuk poin ini dan saya berharap perkara ini boleh diberi penjelasan yang jelas dari aspek undang-undang.

Perbandingan Saraan ADN Selangor dengan KDNK Per Kapita Rakyat Selangor

12. Walaupun gaji pokok ADN tidak terjejas dengan potongan ini, tapi saya terpanggil untuk memberi sedikit sebanyak hujah sokongan saya selain daripada apa yang saya hujah pada tahun lepas.

13. Sejurus selepas Dewan meluluskan pindaan Enakmen ini, saya diingatkan oleh rakan seperjuangan untuk membuat perbandingan di antara saraan wakil rakyat ADN Selangor berbanding dengan KDNK per kapita rakyat.

14. Maklumat yang diperolehi daripada The Economist (http://www.economist.com/news/international/21582040-more-they-deserve-rewarding-work) menunjukkan bahawa kebanyakan negara Komanwel membayar antara 2 hingga 4 kali ganda daripada KDNK per kapita rakyatnya kepada Ahli Parlimen mereka.

15. Bagi Malaysia, Ahli Parlimen di Dewan Rakyat menerima saraan sedikit melebihi dua kali ganda daripada KDNK per kapita. KDNK per kapita rakyat dikira dengan membahagikan KDNK sesebuah negara dengan populasinya.

16. Mengikut statistik daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), KDNK Malaysia pada tahun 2013 ialah RM1001.b bilion. Mengandaikan Selangor menyumbang lebih 22% kepada KDNK ini dan dengan populasi Selangor seramai 5 juta orang. Maka KDNK per kapita Selangor ialah lebih kurang RM 44,080 setahun, bersamaan RM 3,673 sebulan. Bandingkan nilai ini dengan saraan pokok ADN sebanyak RM 11,250 sebulan dan nisbahnya ialah 3.1.

17. Nisbah 3.1 ini terletak di dalam lingkungan 2.0 – 4.0 seperti apa yang saya sebutkan di atas. Maka daripada aspek ini, penyelarasan saraan ADN Selangor ke paras RM 11,250 tidak sepatutnya menjadi satu persoalan.

Rasional dan garis panduan untuk menetapkan saraan penggubal undang-undang

18. Saya juga ingin membawa satu kertas penyelidikan Majlis Perundangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (The Legislative Council of Hong Kong Special Administrative Region) terhadap saraan ahli-ahli Parlimen dan yang lain di negara-negara utama Komanwel. (Sila rujuk: http://www.legco.gov.hk/yr11-12/english/sec/library/1112in14-e.pdf)

19. Muka surat enam dan sebelas dalam dokumen tersebut menyebut tentang rasional dan garis panduan yang diterima pakai oleh negara-negara ini dalam menentukan saraan ahli-ahli perundangan mereka. Hampir kesemua telah menyebut bahawa saraan yang diterima oleh penggubal undang-undang harus setimpal dengan beban kerja dan kedudukan mereka sebagai penggubal undang-undang.

20. Selain itu, juga disarankan saraan bagi Speaker dan Timbalan Speaker tidak harus terlalu jauh berbeza dengan ahli pemegang jawatan eksekutif dan tidak harus lebih rendah daripada kakitangan kanan kerajaan.

Penambahbaikan yang boleh dijalankan

21. Ramai yang mengutarakan pandangan bahawa kuantum penyelarasan saraan kali ini adalah terlalu besar dan mereka bercadang supaya ianya dijalankan secara beransur-ansur mengikut best practice dari luar negara.

22. Saya secara peribadi bersetuju dengan bahagian yang kedua di mana penyelarasan gaji harus dilakukan dengan lebih banyak perbincangan. Saya bercadang agar Dewan pada masa hadapan boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan yang ditubuhkan khusus untuk mensaraan bukan sahaja saraan ADN tetapi juga segala perbelanjaan, tuntutan dan elaun yang bakal diterima oleh setiap ADN mengikut peredaran masa.

23. Pendengaran awam dan siasatan boleh dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan ini dari semasa ke semasa untuk mempertimbangan sebarang cadangan untuk meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri Selangor ini.

24. Kampung Tunku ingin mengucapkan tahniah kepada Eksekutif kerana setelah banyak kali diingatkan oleh para ADN dalam begitu banyak sidang DUN, akhirnya kerajaan bersetuju untuk menggunakan sebahagian daripada rizab kerajaan untuk tujuan pembangunan dan penyelenggaraan.

25. Sebanyak RM 82.5 juta akan diperuntukkan untuk membiayai Program Air Percuma – Kampung Tunku akan membahas perkara ini di dalam satu usul yang akan saya bangkitkan nanti. Walaupun begitu, saya meminta kerajaan memberi satu angka muktamad tentang berapa banyak wang ringgit yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk membiayai program air percuma ini.

26. Sebanyak RM 60 juta telah diperuntukkan untuk membaikpulih asrama dan sistem pembentungan UNISEL dan RM 8.7 juta untuk membayar emolumen dan utiliti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Sebanyak RM 100 juta juga diperuntukkan sebagai modal pusingan Projek Rumah Mampu Milik yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS).

27. Perbelanjaan ke atas UNISEL dan KUIS harus dilihat sebagai satu bentuk pelaburan modal insan jangka panjang dan tidak dapat dinilai pulangannya jangka pendeknya dari segi wang ringgit.

28. Soalan Kampung Tunku untuk UNISEL ialah seperti berikut: • Memandangkan peruntukan sebanyak RM 60 juta ini telahpun diperuntukkan kepada UNISEL, apakah peratusan siap kerja-kerja pembaikpulihan asrama dan pembentungan yang telah dijalankan sehingga sekarang?
• Siapakah kontraktor-kontraktor utama yang dilantik untuk projek-projek ini dan apakah harga yang ditawarkan oleh kontraktor-kontraktor ini?
• Berapa banyak kontraktor yang telah mengambil bahagian dalam tender terbuka?
• Berapakah panjang tempoh pelaksanaan projek ini dan adakah tertimbul apa-apa variation order terhadap projek-projek ini?

29. Kampung Tunku memahami keperluan wang sebanyak RM 8.7 juta untuk membayar emolumen dan utiliti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berikutan perjanjian berat sebelah yang ditandatangani dengan syarikat Redha Resources Sdn. Bhd (RRSB). Soalan saya ialah:
• Apakah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan sekiranya kerajaan bercadang menamatkan perjanjian konsesi dengan RRSB?
• Apakah langkah-langkah susulan yang akan diambil untuk kerajaan untuk memulihkan kekuatan kewangan KUIS?
• Adakah kerajaan pernah berunding semula dengan RRSB tentang perjanjian konsesi yang berat sebelah ini?

30. Maka dengan soalan-soalan ini, saya memohon jawapan dan memohon menyokong. Sekian, terima kasih.

Lau Weng San
ADN Kampung Tunku

No comments: