Tuesday, November 03, 2015

Ucapan Membahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2016 pada 3 November 2015 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam


Politik Jujur, Perbicaraan Terus-Terang
Honest Politics, Straight Talking

Pendahuluan

1.    Khalifah Abu Bakr al-Siddiq pernah berkata “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

2.  Saya berharap saya dapat mengambil bahagian dalam perbahasan ini dengan mengambil pendekatan ini, iaitu “Honest Politics, Straight Talking” (Politik Jujur, Perbicaraan Terus-Terang), pendekatan yang tiada agenda tersembunyi, hanya hasrat untuk mempertingkatkan pentadbiran kerajaan.

3.    ADUN Barisan Nasional harus berani mengambil bahagian dalam perbahasan. Malahan jika kamu percaya apa yang kamu bahas itu benar, maka beranilah mengambil soalan daripada kami. Semalam ADUN Barisan Nasional cuba menafikan kejayaan kerajaan Selangor dalam membentangkan sebuah Belanjawan dengan 50% peruntukan pembangunan, kononnya kerajaan Selangor tidak perlu membayar gaji penjawat awam yang besar. Ulasan saya, kalau BN tidak mampu lagi membayar gaji penjawat awam di peringkat Persekutuan, maka serah Putrajaya kepada Pakatan Harapan. Nescaya kami akan menjalankan tugas kami lebih baik daripada Barisan Nasional.

4.    Semasa negara semakin terjebak dalam krisis kewangan dan asas ekonomi negara yang semakin bergoyang, bukan sahaja Kerajaan Selangor perlu membentangkan sebuah Belanjawan yang bersifat inklusif dan mampu memperbetulkan kelemahan-kelemahan Putrajaya dalam mengurus ekonomi negara, malahan Kerajaan Selangor harus jujur apabila berdepan dengan rakyat Selangor.

5.    Secara prima facie, kami yakin politik di Selangor stabil, tetapi ini hanya akan berkekalan apabila Pakatan Harapan diiktiraf dalam pentadbiran kerajaan. Satu fakta yang kita harus terima ialah, kerajaan Selangor sekarang dipimpin oleh PKR, DAP, Amanah dan PAS. PKR, DAP, Amanah pula telah bergabung di bawah Pakatan Harapan. Oleh sebab itu, YAB Menteri Besar perlu tegas bahawa Kerajaan Selangor sekarang bernama Kerajaan Pakatan Harapan.

6.    Seperti bak pepatah Cina: “名不正言不順” yang bermaksud, sesuatu kerja tidak akan lancar kalau namanya tidak betul. Oleh sebab itu, pengiktirafan yang sewajarnya harus diberi kepada Pakatan Harapan dan Parti Amanah Negara. Pada masa kami bangga dengan Belanjawan #SmartSelangor, apa yang sama penting dalam perjuangan kita menentang kezaliman UMNO ialah adanya kawan-kawan seperti Amanah yang ikhlas dan komited menentang kezaliman UMNO. Kalau ada rakan-rakan PAS yang ikhlas dan berjanji akan menentang UMNO habis-habisan dan tidak ingin menjadi penasihat kepada UMNO, maka tiada masalah untuk mereka terus kekal dalam kerajaan Pakatan Harapan.

7.    Perangkaan Belajawan 2016 sememangnya tidak boleh dirangka dalam bilik gelap. Ianya mesti serasi dan compactible dengan iklim ekonomi sedunia. Ekonomi Malaysia telah menghadapi kegawatan pada tahun 1973, 1983, 1998 dan 2007, lebih kurang sepuluh tahun setiap kitar. Oleh sebab itu, pada pendapat saya, adalah sangat penting agar Belanjawan 2016 menyiapkan setiap seorang daripada kita di Selangor untuk menghadapi kegawatan ekonomi yang bakal melanda Malaysia dan Selangor tidak lama lagi.

8.    Apakah ciri-ciri sebuah Belanjawan yang diperlukan oleh rakyat Selangor? Antaranya:
a.    Ianya akan mengenalpasti kelemahan-kelemahan ekeonomi yang sedia ada, merangka cara-cara penyelesaian yang sesuai, memperuntukkan peruntukan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ini, sekaligus membangungkan sebuah ekenomi yang kalis kegawatan ekonomi
b.    Ianya akan memastikan kesinambungan semua agenda pembangunan yang dirancang pada setahun sebelumnya dapat diteruskan.
c.    Ianya akan memastikan kemungkinan berlakunya ketirisan akan diminimakan melalui pengukuhan mekanisme semakan yang kukuh, sama ada melalui usaha Eksekutif ataupun melalui Legislatif. Keterbukaan dalam pentadbiran adalah penting untuk memastikan ini boleh berlaku.
d.    Ianya membantu rakyat mengatasi dalam masa-masa kesusuahan, contohnya mengatasi kesan-kesan regresif pelaksanaan GST.
e.    Ianya akan membuka aktiviti-aktiviti perniagaan baru dengan membangunkan bakat-bakat baru yang ada pada pemuda-pemudi kita.

9.    Belanjawan ini telah membangkitkan beberapa perkara yang pernah dikemukakan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor pada tahun 2010. Perkara-perkara ini pernah hangat seketika pada waktu itu tetapi tidak diberi tumpuan berterusan. Saya gembira ianya telah diberi penekanan yang sewajarnya dalam Belanjawan Selangor 2016, antara tiga perkara yang penting ialah:
a.    pembangunan Serendah sebagai hub aero angkasa, automotif dan industri-industri berteknologi tinggi,
b.    rancangan untuk mempertingkatkan tahap kegunaan pengangkutan awam di Selangor.
c.    pembersihan dan rehabilitasi Sungai Klang. Untuk perkara ini, tidak perlu Kerajaan Selangor melawat ke Sungai Cheongyecheon di Seoul. Setakat Sungai Melaka dan Sungai Singapura pun sudah memadai.

10. Terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan dalam Belanjawan ini. Antara yang paling menarik ialah
a.    bantuan yang akan diberi kepada golongan miskin (B40) dalam bentuk pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah serta pengecualian bayaran fi dan lesen untuk petak pasar malam dan sebagainya ,
b.    pengiktirafan sijil UEC untuk mengelak brain-drain
c.    pembangunan infrastruktur seperti jalan-jalan negeri dan sebagainya serta
d.    bantuan kepada kaum ibu yang terpaksa berhenti bekerja untuk menjaga rumahtangga.

11. Dewan Negeri Selangor harus menyokong semua usaha murni ini untuk mempertingkatkan ekonomi Selangor. Belanjawan 2015 yang defisit dahulunya telah menjadi surplus, semestinya sesuatu yang membanggakan rakyat Selangor. Saya mengucapkan syabas kepada barisan MMKN, tetapi kita tidak boleh melupakan kerja keras rakan-rakan di Perbendaharan khususnya yang menyumbang kepada Belanjawan surplus ini.

12. Walaupun begitu, terdapat juga kelemahan di mana golongan M40 iaitu golongan menengah kalau dibandingkan dengan golongan B40 tidak menerima manfaat secara langsung daripada Belanjawan ini.

13. Saya bercadang agar kerajaan menyerap kesemua atau sebahagian cukai GST yang terpaksa dikenakan oleh PBT, seperti di Pulau Pinang dan Johor. Ini akan memberi kesan positif yang lebih besar kepada kedua-dua golongan M40 dan B40 ini, apatah lagi kalau jumlah yang terlibat mampu ditanggung oleh PBT di peringkat Bandaraya.

14. Berkaitan dengan pengurusan tanah, saya menyeru kerajaan mengambil iktibar daripada Singapore Land Authority (SLA) di mana kerajaan mengenalpasti tanah-tanah milik swasta, individu dan tanah-tanah poket di kawasan bandar untuk diambil balik memperkayakan simpanan bank tanah kerajaan dan GLC untuk kegunaan strategik. Selain daripada digunakan untuk rekreasi, kerajaan dan GLC boleh menjalankan usahasama dengan pihak swasta reverse privatisation agar kerajaan masih mempunyai peranan yang boleh dimain dalam pembangunan di kawasan-kawasan yang sudah matang.

15. Berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, selain daripada beberapa projek naik taraf jalan raya dan projek Bas Percuma, mengapakah Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perancangan Bandar tidak meninjau kemungkinan untuk menyuraikan trafik dengan membina lebih banyak jambatan merentasi hilir Sungai Klang bermula dari jajaran selepas Kuala Lumpur sehingga ke Klang?

16. Bayangkan kalau ada jambatan merentasi Sungai Klang dari Taman Medan ke Taman Kuchai, dari USJ ke Puchong, dari Putra Heights ke Puchong Prima dan dari Putra Permai ke Kota Kemuning, maka keadaan trafik di sepanjang Lembah Sungai Klang akan diperbaiki. Malahan ini boleh mengurangkan beban kewangan rakyat yang terpaksa berulang-alik menggunakan lebuhraya bertol.

17. Dalam isu tol lebuhraya, Kerajaan Selangor perlu menggunakan pengaruhnya sebagai pemegang saham minoriti dalam syarikat SPRINT untuk memastikan kenaikan tol adakan tidak keterlaluan. KPS boleh mengemukakan resolusi dalam Mesyuarat Agung Tahunan syarikat berkenaan agar semua kenaikan tol pada masa depan mesti dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah sebelum dikuatkuasakan. Perkara ini adalah diperuntukkan dalam Seksyen 145 Akta Syarikat.

18. Dalam isu pendidikan, kerajaan semasa membentangkan Belanjawan 2015 pernah mengumumkan akan memperuntukkan RM5 juta sebagai biasiswa pasca ijazah tetapi ianya nampaknya masih belum dilaksanakan. Maka saya memohon penjelasan daripada kerajaan.

19. Saya juga menyeru kepada kerajaan agar jangan terlalu berkira sangat dengan soal bantuan kewangan untuk sekolah-sekolah. Sudah sampai masanya untuk bantuan ini dinaikkan seperti yang berikut:
a.    Bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat dinaikkan ke RM12 juta;
b.    Bantuan untuk SJKC dan Sekolah Menengah Suwa dinaikkan ke RM10 juta;
c.    Bantuan untuk SJKT dinaikkan ke RM6 juta;
d.    Janji manifesto PRU13 untuk memperuntukan bantuan kewangan sebanyak RM2 juta kepada Sekolah Kebangsaan dan SMJK ditunaikan.

20. Kerajaan harus mempertimbangkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran kedua untuk mempertingkatkan daya saingan Selangor di arena antarabangsa. Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan melancarkan Dual Language Programme, sekaligus membuktikan bahawa Malaysia tidak boleh terus tercicir dalam persaingan global.

21. Juesteru itu, saya memuji usaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di mana buletinnya yang terbaru diterbitkan dalam dua bahasa. Saya yakin ianya akan membantu mempertingkatkan imej kerajaan Selangor kerana ianya akan memudahkan para pelabur asing dan pelancong memahami perkhidmatan dan aktiviti PBT.

22. Saya perhatikan bahawa Kerajaan juga tidak menyentuh beberapa dasar reformasi yang telah disebut dalam manisfesto PRU yang lepas, iaitu pelaksanaan desentralisasi melalui pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan secara beransur-ansur serta pengukuhan peranan DUN dengan melalui pembentangan RUU Enakmen Selangor Legislative Assembly Service.

23. Malahan saya telah mendapati bahawa peruntukan kepada B03 Pejabat Dewan Negeri Selangor telah menyusut daripada RM36 juta pada tahun 2015 ke RM26 juta pada tahun 2016. Jumlah yang diperuntukkan kepada B03 Pejabat Dewan Negeri Selangor untuk beberapa tahun yang lalu hanya berada di paras RM21 juta. Maka saya bertanya kepada Kerajaan, apakah rasionalnya peruntukan ini dipotong sebanyak 27% sedangkan pelbagai aktiviti Dewan sedang rancak berjalan?

24. Kerajaan perlu berhati-hati dengan elemen-elemen regresif dalam pentadbirannya yang berniat untuk menggagalkan kedua-dua saranan ini dalam manifesto. Saya memberi amaran kepada elemen-elemen regresif ini bahawa Tuanku Sultan Selangor pernah bertitah kepada kerajaan yang baru dibentuk sejurus selepas PRU tahun 2013 untuk mengotakan semua janji manifesto PRU.

25. Atas semangat kebebasan maklumat, Kerajaan harus memastikan semua keputusan kerajaan dibuat dengan cara yang telus. Semua perjanjian antara syarikat swasta dengan kerajaan dan GLC kerajaan seperti DEIG, MBI, KDEB, PKNS dan sebagainya tidak boleh mengandungi klausa kerahsiaan dan boleh dibuka untuk tatapan umum selepas tempoh tertentu tanpa perlu mendapat kebenaran daripada pihak yang satu lagi. Saya juga memohon agar kerajaan segera membentangkan RUU Enakmen MBI (Pindaan) untuk mewajibkan MBI membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangannya ke DUN Selangor.

26. Selain itu, gaji dan bonus yang dibayar kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai Tertinggi GLC juga tidak boleh dirahsiakan. Jikalau gaji dan bonus Ahli Lembaga Pengarah dan Pegawai Tertinggi Syarikat-syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia boleh diterbitkan dalam Laporan Tahunannya, maka saya tidak menampak rasionalnya untuk kita merahsiakannya.

27. Segala cita-cita murni dalam Belanjawan ini tidak akan berhasil jikalau ianya tidak dilengkapi dengan mekanisme semakan yang bebas.. Maka saya mencadang agar ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan untuk memantau keberkesanan perancangan jabatan dalam membelanjakan semua peruntukan pembangunan yang diluluskan dalam Belanjawan 2016.

28. Jawatankuasa ini boleh bermesyuarat sebulan sekali dan setiap Ketua Jabatan dan Pengarah mesti mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa ini bagaimana peruntukan pembangunan mereka di bawah Kepala dan Kod Objek masing-masing telah dibelanjakan.

29. Perkara ini khususnya penting untuk memantau perbelanjaan di bawah kepala Pembangunan P01 Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah meningkat daripada RM309 juta pada tahun 2014 ke RM634 juta pada tahun 2015 dan seterusnya ke RM857 juta untuk tahun 2016, iaitu peningkatan lebih daripada dua kali ganda dalam masa tiga tahun.

30. Saya juga mencadangkan kepada Perbendaharaan agar mengurangkan perbelanjaan mengurus melalui penjimatan dalam perkhidmatan dan ikhtisas. Perbelanjaan untuk majlis keraian dan katering harus dikurangkan dan hanya dihadkan kepada majlis-majlis yang penting sahaja. Perbelanjaan katering untuk mesyuarat-mesyuarat mesyuarat-mesyuarat kecil dan ad-hoc boleh dibatalkan supaya perjalanan mesyuarat lebih efesyen.

31. Satu lagi unsur yang penting dalam pentadbiran PBT ialah integriti. Satu perkara yang telah menjejaskan integriti MBPJ telah berlaku di kawasan saya, iaitu isu pemindahan Bazaar Deepavali di Kampung Baru Sungai Way.

32. Cadangan memindah bazaar ini selaras dengan kehendak penduduk setempat, ianya dikemukakan oleh seorang Ahli Majlis PAS dalam satu mesyuarat yang dipengerusi oleh seorang Ahli Majlis PKR. Keputusan ini kemudian diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Majlis Mesyuarat Penuh MBPJ pada bulan Mac.

33. Kemudian atas satu memorandum yang ditandatangani oleh sembilan orang Ahli Majlis PKR dan tiga orang Ahli Majlis PAS, Datuk Bandar telah menukar keputusan tersebut. Soalan pertama, bukankah Datuk Bandar perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan dalam Majlis Mesyuarat Penuh? Kedua, adakah sesuatu keputusan MBPJ boleh diubah bila-bila masa hanya melalui memorandum? Yang terbaru insiden ini telah digunakan sebagai precedence oleh segelintir penghasut untuk mengapi-apikan sentimen melawan arahan MPK di Bazaar Deepavali Jalan Tengku Kelana Klang. Berdepan dengan dua keadaan yang hampir sama, apakah keputusan kerajaan dalam isu di Jalan Tengku Kelana?

34. Walaupun saya gembira kerajaan akan peruntukan untuk pembangunan Petaling Jaya sebagai kota seni, tetapi adalah tidak cukup kalua ianya hanya sekadar kota seni tanpa unsur kemanusiaan. Saya mencadangkan agar peruntukan tambahan diberi untuk menaiktaraf muzium Petaling Jaya. Melalui sebuah buku coffee table yang diterbitkan PKNS, saya percaya kerjasama harus dijalinkan dengan PKNS. Maklumlah PKNS yang membangunkan bandar Petaling Jaya. Saya percaya arkib PKNS boleh menyumbangkan lebih banyak artifak dan gambar foto bernilai kepada muzium ini. Dengan ini, orang ramai khususnya generasi-generasi muda Petaling Jaya boleh mengetahui asal usul bandar Petaling Jaya sejak awal tahun 1950-an.

35. Kerajaan seringkali menghadapi masalah tunggakan cukai dan saman. Maka saya juga menyaran agar memasukkan penunggak tegar cukai dan denda saman ke dalam senarai CTOS. Dengan ini, mereka yang menyalahi undang-undang tidak boleh sewenang-wenangnya mengelak daripada tidak membayar sama dan tunggakan kepada PBT dan Pejabat Tanah.

36. Seruan saya terakhir berkaitan dengan elaun Ahli Majlis dan Ketua Kampung. Sudah sampai masanya untuk kerajaan Selangor berlaku adil kepada Ahli Majlis dan Ketua Kampung kerana elaun mereka tidak pernah dinaikkan sejak beberapa tahun yang lalu.

37. Kesimpulannya, Belanjawan 2016 sebuah belanjawan yang seimbang dan menarik. Saya berharap segala teguran akan diterima dengan baik oleh Eksekutif.

Lau Weng San

ADUN Kampung Tunku

No comments: