Tuesday, March 26, 2019

Siapa selamat kalau Malaysia binasa kerana dijangkiti politik toksik?

Surat ini telah diemel kepada Sidang Pengarang Akhbar Sinar Harian tetapi tidak diterbitkan. Maka ianya diterbitkan di dunia maya untuk bacaan pembaca sekalian:

Surat kepada Pengarang Akhbar Sinar Harian oleh ADN Banting, Lau Weng San pada 11 Mac 2019 di Banting, Kuala Langat: 

Siapa selamat kalau Malaysia binasa kerana dijangkiti politik toksik?

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarang Sinar Harian kerana sudi menerbitkan tulisan saya ini.

Barangkali ada di kalangan rakyat Malaysia akan menganggap tindakan menulis rencana kepada sebuah akhbar Melayu harian oleh seorang pembaca bukan Melayu, lebih-lebih lagi wakil rakyat bukan Melayu, sebagai sesuatu yang agak luar biasa, lebih-lebih lagi ini berlaku pada masa sekarang apabila wakil rakyat berturunan Cina daripada Parti Tindakan Demokratik   (DAP) dilihat sebagai penghalang, kalau bukan “musuh”, kepada perpaduan ummah yang diketengahkan oleh gabungan politik PAS dan UMNO.

Peristiwa berbangkit pasca PRK Semenyih memperlihatkan UMNO dan PAS akhirnya berganding bahu membentuk satu gabungan politik yang berteraskan Melayu dan Islam. Sama ada kedua-dua parti ini akan bergabung menggunakan satu logo yang sama atau tidak, atau sama ada kedua-dua parti akan berkongsi kuasa di keempat-empat buah kerajaan negeri yang dimenangi mereka masing-masing, adalah soalan sekunder. Yang primer ialah kedua-duanya memang telah bergabung.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa kedua-dua parti ini mempunyai kebebasan untuk bergabung atau bercerai. Tetapi yang lebih penting bagi kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menganalisi punca kagagalan kami di kedua-dua PRK terbaru ini. Ya, kami mengaku kalah tetapi kami tidak menyerahkan diri kepada politik toksik.

Seperti apa yang selalu dilakukan oleh pemimpin korporat yang berdepan dengan prestasi syarikat yang menjunam, apa yang perlu dilakukan ialah menakrif masalah yang dihadapi dan kemudiannya mencari cara penyelesaian yang relevan.

Perkara itu bukan mudah tetapi ianya mesti dilakukan supaya pisang tidak berbuah dua kali. Apa yang pasti ialah secara keseluruhannya, rakyat berbilang kaum masih mahu Pakatan Harapan mempercepatkan langkahnya untuk menunaikan janji-janji pilihanraya seperti yang termaktub dalam Buku Harapan, khususnya sepuluh janji utama yang harus dilaksanakan dalam tempoh seratus hari selepas PRU14.  Malahan mantan Perdana Menteri Najib Razak juga pernah berkata cara yang paling baik ialah untuk menunaikan janji-janji pilihanraya.


Hal ini sedemikian kerana memang apa yang dibawa Pakatan Harapan ialah sesuatu yang progresif berbanding dengan politik toksik parti lawan yang bersifat regresif, apatah lagi kerjasama politik yang dimeterai antara PAS dan UMNO hanya berpusat kepada satu-satu kaum dan agama. 

Soalannya: Di manakah kedudukan masyarakat bukan Muslim dan bukan Bumiputera di Malaysia? Janganlah kita terlalu leka sehingga kita lupa bahawa Malaysia terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Adakah gabungan politik antara PAS dan UMNO turut disokong rakyat Sarawak dan Sabah?

Bukti menunjukkan bahawa gabungan politik yang memperjuangkan satu-satunya kaum, agama atau fahaman politik tidak pernah berjaya mengambil alih kerajaan dalam sejarah politik Malaysia. 

Bertitik tolak daripada kegagalan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya yang gagal, pembentukan Perikatan yang kemudian membuahkan kejayaan kemerdekaan, pembentukan Barisan Nasional iaitu satu gabungan politik yang merangkumi spektrum sokongan yang lebih luas pada tahun 1970-an selepas kekalahan Perikatan yang teruk pada tahun 1969 dan kemudiannya beberapa acuan politik di kalangan parti pembangkang yang ditubuhkan sejak tahun 1990-an untuk bersaing dengan Barisan Nasional. 

Dalam perkataan penganalisa politik, gabungan atau kerjasama politik dalam apa jua nama yang tidak membawa naratif nasional tidak akan membawa ia sebagai parti pemerintah di peringkat kebangsaan.

Untuk itu, jawapan yang diberi oleh Sdr Shahril Hamdan selaku Naib Ketua Pemuda UMNO dalam Wacana Sinar yang ke-92 amat menarik perhatian saya. 

Dalam wawancara tersebut, beliau menyebut pengundi muda ditipu Pakatan Harapan dalam dua perkara, pertama janji manis tentang ekonomi seperti hutang PTPTN pengundi muda yang dijanji akan dibatalkan, dan kedua, bahawa Pakatan Harapan menjanjikan pembaharuan dalam pentadbiran yang mengetengahkan nilai tadbir urus baik dalam kerajaan.

Dalam wawancara tersebut, Sdr Shahril Hamdan juga berkata tentang empat kritikannya terhadap parti pemerintah. Bahkan beliau juga menyebut bahawa kritikan yang sama juga terpakai untuk parti pembangkang termasuk partinya sendiri, iaitu UMNO. Kritikan yang keempat ialah bahawa parti-parti pemerintah dan pembangkang mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjaga keharmonian dan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Soalan emasnya di sini: Adakah PAS dan UMNO, dalam konteks ini, UMNO benar-benar ikhlas untuk memelihara keharmonian di Malaysia iaitu membawa naratif politk nasional yang lebih inklusif daripada ekslusif, apabila UMNO nampaknya lebih berminat untuk bekerjasama dengan PAS atas nama “perpaduan ummah”?

Ini berlaku pada masa di mana UMNO juga kurang berminat untuk mengambil pandangan daripada parti kawan seperti MCA dan MIC. Jadi apa yang dihujah oleh Sdr Shahril Hamdan dalam wacana berkenaan amat berbeza daripada apa yang berlaku di lapangan.

Hujah saya ini diperkukuhkan dengan kenyataan Datuk Seri Mohammad Hasan semasa PRK Semenyih bahawa orang dahulunya penumpang di tanah air kini tinggal di rumah besar. Cukup terserlah gaya ucapan Pemangku Presiden yang berkias-kias ini sehingga kita tertanya-tanya siapakah agaknya “penumpang” yang dimaksudkan itu?

Kemudian dikatakan bahawa gabungan atau kerjasama politik ini diperlukan untuk melindungi umat Islam dan Melayu. Soalannya, hendak melindungi daripada siapa? Tentulah musuhnya. Tepuk dada tanya selera, siapakah musuhnya? 

Saya tiada jawapan kerana soalan ini direka oleh PAS dan UMNO dan sepatutnya dijawap mereka juga. Biarpun begitu, sekiranya perlindungan diperlukan, dan kononnya PAS dan UMNO boleh memberi perlindungan itu, apa susahnya untuk mereka berterus-terang memaklumkan seluruh rakyat Malaysia siapakah musuh yang mereka maksudkan itu? Dan bukankah retorik-retorik ini membawa kepada perpecahan dan pembinasaan masyarakat majmuk Malaysia? Siapa selamat kalau Malaysia binasa?

Ya, benar sekali hujah Sdr Shahril Hamdan bahawa pengundi muda kena tipu, tetapi mereka tidak ditipu oleh Pakatan Harapan. Kami melapangkan dada terhadap sebarang kritikan tentang janji-janji manifesto kami tetapi kami tidak pernah mengelak daripadanya, jauh sekali daripada memesong tumpuan orang ramai dengan permainan politik toksik dan regresif. Janganlah pengundi kita ditipu agenda politik toksik pula!

Lau Weng San
Ahli Dewan Negeri Selangor 
bagi kawasan N.52 Banting, Kuala Langat.

No comments: