Saya ingin merujuk kepada lapporan suratkhabar yang disiarkan oleh Sinar Harian pada hari ini berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, bahawa pada “pendapat” beliau, keputusan untuk melantik Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah “confirm” kerana Tuanku telah berkenan untuk melantik beliau. Kenyataan oleh Datuk Mohd Munir Bani ini sebenarnya tiada sebarang asas perlembangan.
Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan Setiausaha Kerajaan perlu diwujudkan dan pelantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.
Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan hendaklah berbangsa Melayu dan menganut Agama Islam, dan hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal pentadbiran negeri.
Oleh itu adalah jelas bahawa pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malahan ianya boleh dilantik daripada “Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan” termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor. Perkataan “Suruhanjaya Perkhidmatan Awam” tidak disebut secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959
Selain itu, Setiausaha Kerajaan bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959. Ini sekaligus bermakna bahawa Setiausaha Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar.
Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelantikan ini wajar dirujuk kepada Kerajaan Negeri Selangor dan lebih baik lagi pendangan dan pendapat Kerajaan Negeri Selangor diambil dan diterima pakai kerana Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan yang penting dan sesiapa yang memegang jawatan ini mestilah seorang yang berupaya dan berkebolehan. Sesiapa yang dilantik ke jawatan ini perlulah seorang yang tidak berkontroversi.
No comments:
Post a Comment