Thursday, October 27, 2011

Tindakan UIAM menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari adalah tindakan zalim

Tindakan UIAM menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari adalah tindakan zalim terhadap para akademik dan telah mencalah imej antarabangsa Malaysia

Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menggantung tugas dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Profesor Abdul Aziz Bari kerana kenyataan beliau berkenaan dengan peranan yang dimainkan oleh Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

Tindakan UIAM yang bertujuan untuk menghukum anggota-anggota akademik yang mengeluarkan pandangannya berdasarkan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kajiannya adalah amat silap. Tindakan ini tidak lain tidak bukan mempunyai motif politik dan bertujuan untuk melenyapkan pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa.

Seseorang anggota akademik boleh digantung kerja dan diberi surat tunjuk sebab jikalau beliau telah melakukan sebarang bentuk aktiviti jenayah.

Jikalau seseorang anggota akademik itu diberi surat tunjuk sebab hanya kerana beliau mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa dalam bidang kajian beliau, maka ini telah mencaburi kebebasan akademik anggota akademik beliau.

Tindakan ini mempunyai kesan berpanjangan terhadap imej antarabangsa Malaysia kerana UIAM ditubuhkan sabagai sebuah universiti antarabangsa. Sebagai sebuah universiti antarabangsa, ianya perlu mencerminkan semangat kepelbagaian, keterbukaan, saling menghormati semasa ahli akademik walaupun berbeza pendapat dan sebagainya.

Malahan, ini juga merupakan semangat yang sepatutnya ada pada sesebuah universiti, tanpa mengira sama ada universiti itu mempunyai nama "antarabangsa" atau tidak.

Malangnya, pihak pengurusan UIAM sanggup menggadaikan prinsip kebebasan akademik sehingga mereka sanggup menggantung tugas Profesor Abdul Aziz Bari dan meminta beliau memberi surat tunjuk sebab hanya kerana beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa dalam bidang kepakaran dan kajian beliau.

Daya saingan sesebuah negara amat bergantung kepada taraf pendidikan rakyatnya, termasuk pendidikan tinggi. Apa yang berlaku ke atas Profesor Abdul Aziz Bari merupakan sesuatu yang mengaibkan kita semua.

Bagaimana negara kita boleh mencapai negara maju jikalau pihak berkuasa asyik melenyapkan pandangan-pandangan yang berbeza dengan pihak berkuasa melalui cara-cara yang zalim?

Oleh itu, saya mengkritik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIAM terhadap Profesor Abdul Aziz Bari. Saya juga menyeru pihak UIAM supaya segera menarik balik penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari ini dan memulihkan tugas beliau di UIAM dengan serta-merta.
Post a Comment