Tuesday, April 09, 2013

Ahmad Husni Hanadzlah harus menjelaskan sama ada manifesto BN akan juga meningkatkan defisit fiskal kerajaan persekutuan?

Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah telah mengecam manifesto Pakatan Rakyat pada 29 Mac 2013 bahawa ianya bakal meningkatkan defisit fiskal kerajaan persekutuan kepada 11.5 peratus daripada empat peratus yang disasarkan tahun ini.

Beliau juga berkata bahawa ini sekaligus akan meningkatkan hutang kerajaan sehingga 62.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan 54.6 peratus sekarang ini.

Memang kenyataan beliau ini diragui semua kerana kenyataannya tidak disokong oleh mana-mana fakta. Lebih-lebih lagi, Perdana Menteri Najib Tun Razak sehingga sekarang masih enggan berbahas dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang tentang manifesto-manifesto masing-masing.

Hakikatnya ialah Ahmad Husni Hanadzlah mengeluarkan kenyataan ini sebelum manifesto Barisan Nasional (BN) diumumkan pada hari Sabtu yang lepas. BN menabur pelbagai bentuk janji yang pada pendapat saya, ialah janji-janji manis yang jauh lebih populis daripada manifesto Pakatan Rakyat (PR), jikapun diandaikan manifesto PR mengandungi unsure-unsur populis.

BN telah menjanjikan bahawa mereka akan menurunkan harga kereta, membina lebih banyak rumah mampu milik, mengurangkan tol lebuhraya dan memberi lebih banyak bantuan kepada rakyat terhadap pembayaran BR1M sebanyak RM1,200 setahun kepada mereka yang layak serta bayaran-bayaran lain dalam amaun yang lebih kecil kepada golongan-golongan tertentu dan sebagainya.

Apa yang merunsingkan rakyat Malaysia ialah, dalam pada BN menabur janji-janji manis ini, bagaimanakah BN akan membiayai perbelanjaan-perbelanjaan ini?

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang pertama memakan belanja sebanyak RM 1.92 bilion, BR1m 2.0 pula menelan belanja sebanyak RM 3 bilion. Kedua-duanya telah menelan belanja sekurang-kurangnya RM 4 bilion. Jikalau amaun ini dinaikkan kepada RM1,200 setahun, maka secara konservatif kerajaan persekutuan perlu menanggung sekurang-kurangnya RM 5 bilion setahun. Ini tidak termasuk bayaran-bayaran yang lain di mana perbelanjaannya sudah pasti akan mencecah ratusan juta.

Ini berbeza dengan manifesto PR yang bukan sahaja menggariskan janji-janji kami tetapi juga memberi penjelasan tentang cara-cara yang akan digunakan untuk mengurangkan ketirisan dan menngkatkan sumber-sumber pendapatan kerajaan.

Jikalau Ahmad Husni Hanadzlah mengecam PR kerana manifestonya yang akan membesarkan defisit fiscal kerajaan persekutuan dan seterusnya menjejaskan credit rating kerajaan persekutuaan, maka saya pula ingin mencabar beliau untuk mengulangi kenyataan yang sama untuk manifesto BN.

Kegagalan beliau untuk berbuat demikian akan membuktikan bahawa kenyataan awal beliau tentang manifesto PR itu hanya retorik politik dan tidak perlu diberi sebarang perhatian langsung.

No comments: