Friday, November 08, 2013

Timbalan Menteri Pendidikan Mary Yap perlu lebih serius dan tegas terhadap penyelewengan pentadbiran agensi kerajaan

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching perlu lebih serius dan tegas dengan masalah yang dihadapi oleh dilema kesemua 81 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Malaysia kerana Bajet 2014 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Kerajaan Persekutuan pada baru-baru ini, sekolah-sekolah SMJK ini tidak mendapat sebarang peruntukan.

Kementerian Pendidikan ialah kementerian yang sentiasa diberi peruntukan terbanyak berbanding dengan kementerian-kementerian yang lain.

Dalam Bajet 2014, Kementerian Pendidikan mendapat RM54.6 bilion iaitu 20 peratus daripada keseluruhan Bajet 2014. Biarpun begitu sekolah-sekolah SMJK yang merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan tidak mendapat peruntukan pembangunan walau sesenpun oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun depan. Manakala peruntukan untuk 1291 buah Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) juga dikurangkan daripada RM100 juta kepada RM50 juta sahaja.

Kerajaan Persekutuan pernah berjanji pada tahun 1960 bahawa jikalau sekolah-sekolah ini bersetuju menukar aliran sebagai sekolah SMJK, maka SMJK-SMJK ini masih boleh mendapat satu pertiga peruntukan pendidikan dan diberi satu pertiga waktu kelas untuk pengajaran Bahasa Mandarin. Oleh demikian, Kerajaan Persekutuan sememangnya mempunyai kewajiban untuk memberi peruntukan kepada SMJK.

Pada masa sekarang, Selangor mempunyai 109 buah SJKC, 4 buah Sekolah Menengah Persendirian (Sekolah Menengah Persendirian Chung Hua Klang, Sekolah Menengah Persendirian Kwang Hua, Sekolah Menengah Persendirian Hin Hua dan Sekolah Menengah Persendirian Pin Hwa ).

Selangor juga mempunyai 5 buah SMJK, iaitu SMJK Kwang Hua Klang, SMJK Chung Hua Klang, SMJK Yoke Kuan Sekinchan, SMJK Katholik Petaling Jaya dan SMJK Yu Hua Kajang.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat memperuntukkan sejumlah RM2 juta kepada 4 buah Sekolah Menengah Persendirian ini dan RM4 juta kepada 109 buah SJKC ini setiap tahun.

Memandangkan SMJK selalunya menghadapi masalah untuk mengutip derma daripada masyarakat Tiong Hua (masyarakat Tiong Hua pada umumnya tidak melihat SMJK sebahagian daripada pendidikan Tiong Hua) dan ditambah pula dengan birokrasi menyebabkan SMJK jarang mendapat bantuan kewangan yang mencukupi daripada Kerajaan persekutuan, saya dalam membahas Bajet Kerajaan Negeri Selangor tahun 2013 pada tahun 2012 telah menggesa PR Kerajaan Selangor supaya juga menyediakan peruntukan tambahan kepada kelima-lima buah SMJK ini.

PR Selangor juga di pilihan raya umum telah memberi janjian akan memberi peruntukan sejumlah RM2 juta tambahan kepada aliran Sekolah Kebangsaan yang lain termasuk SMJK, Sekolah Inggeris (yang telah menjadi Sekolah Kebangsaan) dan sekolah kebangsaan yang lain.

Jika Kerajaan Negeri Selangor mempu memberi peruntukan kepada SMJK, kenapa Kerajaan Persekutuan dengan saiz belanjawan melebihi RM200 bilion tidak mampu memberi peruntukan kepada 81 buah SMJK di seluruh Malaysia?

Adakah Kementerian Pelajaran mengurangkan peruntukan kepada SMJK pada tahun 2014 kerana kadar kegunaan peruntukannya pada 2013 tidak tinggi?

(Menurut garis panduan Kementerian Kewangan, semua permohonan peruntukan jabatan kerajaan untuk tahun yang akan datang akan berdasarkan kepada penggunaan peruntukan tahun ini. Sebagai contohnya, sekiranya Jabatan A diberi peruntukan sebanyak RM1 juta tahun ini dan penggunaan sebenarnya hanya setakat RM 700,000 sahaja maka jabatan ini adalah tidak akan mendapatkan peruntukan RM 1 juta pada tahun depan.)

Walaupun hujah ini nampak munasabah, tetapi ianya tidak adil kepada rakyat kerana rakyat seolah-olah dihukum sedangkan yang menyebabkan kelewatan ialah karenah-karenah birokrasi di Jabatan Pelajaran.

Justeru itu, Mary Yap sebagai Timbalan Menteri Pendidikan harus tegas dalam perkara ini. Memang Kerajaan Persekutuan menanggung semua perbelanjaan mengurus di SMJK tetapi ini tidak mencukupi untuk pembangunan sekolah kerana peruntukan pembangunan yang sebenarnya amat diperlukan untuk membangunkan infrastruktur sesebuah sekolah.

Pengiraan saya ialah Kerajaan Persekutuan harus mengekalkan peruntukan RM100 juta kepada 1291 buah SJKC dan memberi peruntukan sebanyak RM 50 juta kepada 81 buah SJKC.

Sememangnya saya tidak berminat tentang komen sinikal orang lain terhadap cara menjawab Mary Yap di Dewan Rakyat yang disifat sebagai ‘garang’. Jikalau beliau berasa dia ialah seorang ‘pendidik yang serius dan profesional’ , maka beliau juga harus bersikap lebih serious dan tegas terhadap birokrasi kerajaan yang menyebabkan insiden ini.

Lau Weng San

No comments: