Ucapan
Pencadang oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa mencadang Usul No. 29.
Tahun 2014 pada 2 dan 3 Disember 2014 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:
1.
Tuan Speaker dan Ahli Yang
Berhormat sekalian, saya ingin membawa satu usul yang berbunyi seperti berikut:
“Bahawa Dewan Yang
Mulia ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan Akta Hasutan yang
digubal oleh Kerajaan British pada tahun 1948 demi memulangkan hak kebebasan
bersuara kepada rakyat jelata.”
2. Tuan Speaker, usul ini sebenarnya patut
dibahas di Parlimen melalui satu usul Ahli Parlimen Shah Alam tetapi ianya
telah ditolak pada 24 November 2014 yang lalu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia telah menolak usul pemansuhan Akta Hasutan 1948 atas alasan
teknikal dan kerajaan sedang menyemak berhubung perkara itu.
3. Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan
1948 dan ianya akan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta
Keharmonian Nasional. Beliau membuat pengumuman ini pada 11 Julai 2012 semasa
berucap pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, iaitu di khayalak para pengamal
undang-undang.
4. Beliau
berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan
keseimbangan terbaik antara keperluan menjamim kebebasan bersuara setiap warga
negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
5. Antara
isi-isi ucapan beliau ialah:
-
“Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian
Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan
saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.”
-
“Kerajaan akan memastikan peruntukan akta itu
tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan seperti mendatangkan
kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada
Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja.”
-
“Ia juga
meliputi perbuatan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan mempersoal
apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang
dilindungi dalam Perlembagaan.”
-
“Kerajaan
sedar ada pihak menganggap Akta Hasutan sebagai alat untuk merencatkan tindakan
dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan, namun menegaskan anggapan
itu tidak berasas sama sekali.”
-
“Lantaran
itu, peruntukan baharu ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik
kerajaan dan pentadbiran keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan
dikendalikan sendiri oleh pihak kehakiman melalui peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah
Mahkamah sedia ada.”
-
“Pucuk
pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi
manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka
diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi.”
6. Untuk
makluman Dewan Yang Mulia ini, YAB Perdana Menteri mengulangi janji yang sama
hampir setahun kemudian, iaitu pada 3 Julai 2013. Begitu indahnya janji-janji
YAB Perdana Menteri pada masa itu tetapi kini semuanya telah berkecai dengan
ucapan terbaru beliau di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
7. Pendirian
Perdana Menteri yang membelakangkan janjinya cukup menunjukkan sikap hipokrit
dan munafiknya. Respons parti-parti komponen BN yang lain tentang pendirian
terbaru PM ini juga agak menarik. Pemimpin MCA dan MIC berkata keputusan ini
tidak pernah dibincang dalam Kabinet seolah-olah perkara ini belum dipersetujui
Kabinet. Soalannya ialah bukankah keputusan yang begitu penting ini perlu
dipersetujui di peringkat Kabinet terlebih dahulu? Mana satu lebih penting, PAU
atau Mesyuarat Kabinet?
8.
ADUN-ADUN
UMNO pasti bertanya sama ada usul ini mendapat perkenan Majlis Raja-Raja kerana
dikatakan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan menetapkkan bahawa Pindaan
Perlembagaan menyentuh Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152
atau 153 tidak boleh dilulus tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.
9.
Maka sukacita saya melafazkan sekali
lagi di Dewan Yang Mulia ini bahawa usul saya ini tiada kena-mengena dengan
Perkara-perkara Perlembagaan di atas. Malahan ianya tiada kaitan dengan pindaan
Perlembagaan langsung. Janganlah Pembangkang percaya sekali pun tomahan atau
fitnah Pak Lebai Cybertropper UMNO.
10. Pakatan Rakyat telah berkali-kali
menegaskan pendirian kami bahawa Perkara dalam PP khususnya Perkara 152 dan 153
akan kekal seperti sedia ada.
11. Jika pun pembangkang ingin bertanya soalan
ini, maka saya pun bertanya balik, semasa Perdana Menteri mengisytihar akan
memansuhkan Akta Hasutan pada tahun 2012, adakah ADUN-ADUN UMNO Selangor bertanyakan
Perdana Menteri sama ada cadangan beliau pada waktu itu telah mendapat perkenan
Majlis Raja-Raja?
12. Tepuk dada tanya selera, memang para ADUN
UMNO Selangor pada waktu itu tidak pernah dan tidak perlu bertanya Perdana
Menteri kerana ianya tidak berkaitan langsung dengan pindaan Perlembagaan
Persekutuan, jauh sekali daripada menyentuh Perkara-perkara yang dimaksudkan
dalam Perkara 159(4) PP.
13. Apabila kerajaan persekutuan sudah bersedia
untuk mengubal Akta baru bernama Akta Keharmonian Nasional, di mana isi
kandungan Akta ini masih tidak diketahui, maka apakah relevan Akta Hasutan ini?
14. Malahan
apakah relevannya UMNO mengekalkan undang-undang kuno yang diwarisi daripada
penjajah Inggeris ini? Adakah UMNO perlu bergantung kepada Akta zalim ini di
mana mereka yang disiasat dan didakwa ialah pembangkang dan ahli-ahli
masyarakat madani yang kritikal terhadap Kerajaan Persekutuan?
15. Kezaliman
Akta Hasutan itu begitu menonjol dalam Seksyen 3 Kencenderungan Menghasut di
mana Subseksyen 3(1) menggariskan kesemua “kecenderungan menghasut” di mana
perkataan-perkataan seperti “kebencian”, “penghinaan”, “perasaan tidak setia”, “perasaan
tidak puas hati”, “perasaan permusuhan” dan “perasaan niat jahat” adalah
terlalu samar, terlampau luas dan tidak khusus.
16.
Ini boleh
dilihat dalam kes
PP v.
Dr Ooi Kee Saik & Ors [1971] 1 LNS 113, Mahkamah telah menetapkan bahawa:
“In my view what the
prosecution have to prove and all that the prosecution have to prove is that
the words complained of, or words equivalent in substance to those words, were
spoken by accused No. 1 at the dinner party. Once that is proved the accused
will be conclusively presumed to have intended the natural consequences of his
verbal acts and it is therefore sufficient if his words have a tendency to
produce any of the consequences stated in s.3(1) of the Act. It is immaterial
whether or not the words complained of could have the effect of producing or
did in fact produce any of the consequences enumerated in the section. It is
also immaterial whether the impugned words were true or false. (See Queen
Empress v. Ambra Prasad (1898) ILR 20 All 55, 69). And it is not open to the
accused to say that he did not intend his words to bear the meaning which they
naturally bear. (See Maniben v. Emperor AIR 1933 Bom 65, 67)
17. Ini
bermaksud sama ada sesuatu percakapan atau kenyataan itu benar atau tidak
adalah tidak penting. Ini juga bermaksud sama ada seseorang itu mempunyai niat
untuk menghasut semasa melafazkan sesuatu percakapan atau kenyataan itu tidak
penting. Apa yang penting ialah tertuduh telah melafazkan percakapan atau
kenyataan ber“kecenderungan menghasut” seperti dalam s.3(1) Akta Hasutan,
dengan itu, tertuduh akan disabit bersalah di bawah Akta Hasutan. Inilah sebab
utama Akta Hasutan ini zalim, sezalim Akta Keselamatan Dalam Negeri dan ini
juga sebab utama saya membawa usul untuk mencadang memansuhkannya hari ini.
18. Agak
menarik sekali ialah s.3(1)(a):
“Sesuatu “kecenderungan
menghasut” ialah kecenderungan — (a) bagi mendatangkan kebencian atau
penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja
atau Kerajaan;”
Adakah ini bermaksud kerajaan Selangor boleh mendakwa
mana-mana ADUN pembangkang daripada UMNO dan Barisan Nasional atas tuduhan
menghasut? Dari segi undang-undang, memang boleh dan sekiranya mereka didakwa
maka mereka memang akan disabit bersalah di bawah s.3(1)(a).
19. Begitu mudah
dan senangnya Akta ini disalahguna oleh Barisan Nasional sehingga hampir
kesemua mereka yang disabit bersalah ialah pemimpin-pemimpin daripada parti
pembangkang dan masyarakat madani yang kritikal terhadap kerajaan Barisan
Nasional.
20. Mengikut
maklumat Gagasan Hapus Akta Hasutan (GHAH), Peguam Negara dan Ketua Polis
Negara pernah bermesyuarat bersama-sama 60 Ketua-ketua Bahagian UMNO pada 14
Ogos lalu. Tidak lama selepas mesyuarat ini, para pengkritik kerajaan satu demi
satu disiasat dan didakwa, bermula dengan Ahli Parlimen Padang Serai, N
Surendran pada 19 Ogos dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada 24 Ogos
2014.
21. Menurut
maklumat daripada SUARAM, terdapat sekurang-kurangnya 20 kes sedang disiasat
dan 12 kes pendakwaan di bawah Akta Hasutan pada tahun ini. Hanya enam kes
siasatan dan empat pendakwaan berlaku lebih awal daripada mesyuarat Ketua Polis
Negara dan Peguam Negara dengan ketua-ketua bahagian UMNO itu. Peningkatan
mendadak siasatan dan pendakwaan terhadap pengkritik kerajaan di bawah Akta
Hasutan berlaku selepas 14 Ogos dan ini menimbulkan
persoalan sama ada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara kini bertindak sebagai
alat politik UMNO?
22. Ada yang
akan bertanya, di manakah letaknya perlindungan terhadap Bahagian III, Perkara 152
dan 153 PP jika Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapannya ialah Kanun Keseksaan, di
mana Bab VI dan Bab VIA (s.121 hingga130T) memperuntukkan
hukuman terhadap kesalahan-kesalahan terhadap negara dan kesalahan-kesalahan
berkaitan keganasan. Begitu juga dengan s.504 “Dengan sengaja mengaibkan dengan
niat untuk membangkitkan pecah keamanan”.
23. Selain
itu, kita masih mempunyai Akta Fitnah, Akta Komunikasi dan Multimedia dan
lain-lain, sekaligus menjadikan Akta Hasutan ini redundant atau berlebihan. Kesimpulannya, Akta Hasutan perlu dimansuh
dan perlu diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.
24. ADUN-ADUN
UMNO yang tidak bersetuju dengan usul ini boleh berhujah di Dewan Yang Mulia
ini sebab dan pendirian mereka. Gelanggang di DUN Selangor ini cukup luas untuk
mereka melafazkan pandangan mereka. Sekiranya perlu, mereka boleh meminta belah
bahagi dan mengundi “tidak bersetuju”, lalu suara mereka yang dicatat dalam
Hansard. Bukankah cara ini lebih bermakna daripada keluar dari DUN? Tindakan
ADUN-ADUN UMNO yang keluar dari DUN sebagai tanda protes hanya mencerminkan kebudak-budakkan
mereka dan ketidaksanggupan serta ketidakberanian mereka untuk berbahas dan
berdepan dengan fakta dan kebenaran.
Lau
Weng San