Sunday, October 30, 2016

PDRM, DOE serta Jabatan Peguam Negara perlu menganggap pencemaran air sungai sebagai masalah pertahanan negara

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 30 Oktober 2016 di Petaling Jaya:


Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS, atau Department of Environment, DOE) serta Jabatan Peguam Negara perlu menganggap pencemaran air sungai sebagai masalah pertahanan negara dan berusaha keras untuk menyiasat dan mendakwa pencemar air Sungai Buah dan Sungai Semenyih ke muka pengadilan!

Pencemaran yang berlaku berterusan ini nampaknya berlaku pada kadar yang terputus-putus tetapi berkekalan melalui cara dan bahan pencemar yang sama serta berlaku di luar negeri Selangor. Ujian sampel air awal oleh kerajaan Selangor mendapati bahawa bahan pencemar yang dikenalpasti ialah “4-bromo difenil ether” (4-Bromo Diphenyl Ether).

Hanya selepas ini kerajaan boleh menggunakan cara rawatan yang betul untuk membersihkan bahan kimia ini daripada air sungai. Kerajaan boleh juga menyiasat dengan lebih terperinci kerana hanya sesetengah pengimport dan pengusaha industri sahaja yang menggunakan bahan-bahan kimia tertentu.

Terdapat orang-orang politik daripada BN dan UMNO yang cuba menyebar berita terpesong kononnya bahawa semua ini berlaku apabila kerajaan Selangor mula mengambil alih beberapa syarikat bekalan air di Selangor.

Ini ialah berita yang terpesong daripada fakta dan tidak benar kerana:
1. Punca kepada gangguan bekalan air di Sungai Semenyih disebabkan pencemaran air oleh bahan pencemar yang jarang dijumpai sebelum ini. Sememangnya pencemaran air tiada kaitan dengan isu-isu bekalan air seperti kagagalan loji rawatan air, pecahan paip atau musim kemarau.
2. Penstrukturan semula air di negeri Selangor masih belum selesai sepenuhnya kerana rundingan masih diteruskan berkenaan dengan pengambilalihan syarikat SPLASH oleh kerajaan Selangor
3. Kerajaan Selangor baru mengambil alih pentadbiran dan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang kemudiannya bertukar nama menjadi Air Selangor hanya enam bulan yang lepas.
4. Sememangnya isu pencemaran air yang begitu kerap ini perlu dilihat sebagai tindakan sabotaj. Lebih teruk lagi, ianya berlaku di sebuah kawasan yang terletak di luar negeri Selangor.


Dalam pencemaran kali pertama yang berlaku di Sungai Semenyih pada akhir September, 
Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan lokasi pencemaran di tapak tidak berlesen di Batu 22 1/4 Sungai Lalang, Semenyih seawal pukul jam 1 pagi pada 4 Oktober tetapi JAS tiba di lokasi selepas lebih 10 jam kejadian pencemaran dikesan.

Maka dengan itu, keberkesanan dan kecekapan agensi-agensi kerajaan persekutuan untuk menyiasat dan menangkap mereka yang bertanggungjawab adalah sangat penting untuk memastikan orang yang dituduh itu disabit bersalah. Ini adalah kerana ianya amat bergantung kepada kekuatan bukti yang dapat dikumpul oleh pihak Pendakwa Raya, PDRM dan DOE.

Dalam kes Pendakwa Raya v. NCK Aluminium Extrusion Sdn Bhd, Mahkamah Tinggi telah memutuskan dalam kes rayuan oleh Pendakwa Raya bahawa walaupun pesalah atau responden telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memperbetulkan pencemaran air sungai yang disebabkannya dan tahap pencemaran yang disebabkan adalah kesalahan pertama dan adalah agak minima, Mahkamah Tinggi tetap mengenakan hukuman yang maksima setelah mengambil kira kesannya kepada alam sekitar dan pengguna. Ini adalah kerana pesalah terus mengingkari arahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekitar sehingga tindakan penguatkuasaan.

Fakta kes ini menunjukkan bahawa pegawai Jabatan Alam Sekitar perlu menjalankan pemeriksaan ke atas premis penentang dengan mengambil lima botol contoh buangan cecair yang dilepaskan ke dalam perairan daratan pada takat pelepasan terakhir dan setelah menandakan contoh-contoh itu telah menyerahkannya kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis sebelum dibentang sebagai bahan bukti di mahkamah. Sekiranya bahan bukti ini tidak dapat dikumpulkan pada masa yang awal, maka adalah sukar untuk menyabit penentang sebagai bersalah di sisi undang-undang.

Kerajaan Selangor melalui Air Selangor dan LUAS telah membuat laporan polis seawall 24 Oktober. Namun demikian, saya difahamkan bahawa pegawai yang membuat laporan polis masih belum dipanggil untuk merekod keterangan mereka setakat hari Khamis yang lepas. Sememangya saya berharap kenyataan saya ini tidak tepat tetapi seharusnya PDRM harus memanggil mereka yang membuat laporan polis untuk memberi keterangan selanjutnya secepat mungkin supaya siasatan selanjutnya dapat dijalankan dengan cepat.

Bukan sahaja DOE dan PDRM tidak boleh lagi bekerja dalam silo malahan mereka perlu mengakui bahawa perlindungan sumber air mentah di Malaysia penting dari segi strategi pertahanan negara.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: