Sunday, April 02, 2017

Pemimpin MCA Selangor Main Isu Perkauman Dalam Cadangan Pengajaran Bahasa Arab dan Mandarin di Masjid dan Surau

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 2 April 2017 di Petaling Jaya:

Saya mengambil maklum bahawa terdapat dua orang pemimpin MCA di negeri Selangor yang cuba memainkan isu perkauman dan agama berkenaan dengan dalam isi kandungan perbahasan saya semasa ADUN Sabak YB Sallehen bin Mukhyi mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor pada 29 Mac 2017.

Dalam perbahasan ADUN Sabak, saya telah memohon laluan untuk bertanya sama ada setuju sekiranya peruntukan kepada masjid dan surau ditingkatkan sekiranya kelas-kelas Bahasa Arab, sekiranya ada, juga dibuka kepada penduduk bukan Muslim setempat. 

Saya juga memberi penjelasan bahawa saya turut mencadangkan agar kelas Bahasa Mandarin juga diadakan di masjid dan surau kepada ahli-ahli qariah setempat.


Perbahasan ini telah dirakamkan dalam “Rakaman Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-13 Tahun 2017 - Sesi pagi 29032017 - https://www.youtube.com/watch?v=vyfHsEtw5DQ” pada masa 02:02:12.

Saya berasa kesal kerana laporan sesetengah media nampaknya tidak memuatkan rakaman video sepenuhnya perbahasan saya dengan ADUN Sabak pada masa tersebut dan ini barangkali mencetuskan persepsi yang tidak menyeluruh terhadap perbahasan saya hari itu. Adalah menjadi harapan saya supaya kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi pada masa depan.

Namun begitu, itu tidak boleh dijadikan alasan kepada pemimpin-pemimpin MCA ini untuk mengelak tanggungjawab mereka. Nasihat saya kepada MCA agar senantiasa bersikap terbuka dan jangan sekali-kala berfikiran sempit. Sememangnya pembelajaran sesuatu bahasa tambahan, walau apa juga bahasapun, ialah satu usaha murni untuk mempertingkatkan sahsiah dan ilmu pengetahuan seseorang.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: