Thursday, July 15, 2010

Ucapan membahas Usul Perlantikan Pembangkang Sebagai Pengerusi PAC pada 15 Julai 2010

Persidangan Dewan Negeri Selangor pada kali ini mencipta sejarah bukan sahaja di sejarah politik dan sejarah demokrasi berparlimen Selangor tetapi juga di negara Malaysia.
Selepas menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat yang pertama di Selangor, kini Dewan Negeri Selangor akan mencipta sejarah buat pertama kali berlaku di Malaysia, di mana Dewan akan meluluskan usul untuk melantik wakil daripada Pembangkang sebagai pengerusi PAC kerana sebelum ini belum ada lagi Dewan Perundangan seperti Dewan Negeri Selangor yang melantik wakil pembangkang sebagai pengerusi PAC.
Ini akan menetapkan satu predecence baru dalam sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia dan mencerminkan status negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang betul-betul maju, bukan sahaja daripada fizikalnya tetapi juga dari segi sahsiah politiknya kerana ini merupakan kali pertama anggota daripada pembangkang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam atau nama singkatannya Public Accounts Committee (PAC)
Usul ini juga mencerminkan cita-cita kerajaan Selangor untuk memastikan prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan beramah betul-betul diterap ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan bukan retorik semata-mata.
PAC merupakan salah satu jawatankuasa Dewan yang paling penting dan diberi tanggungjawab untuk menyiasat dan menyemak semua penyelewengan jabatan-jabatan kerajaan dan memastikan eksekutif bertanggungjawab terhadap Dewan melalui pengawalan perbelanjaan wang ringgit orang ramai.
Pengerusi PAC yang baru perlu menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama. Beliau harus mengetepikan perbezaan politiknya dan bekerja kuat dengan memartbatkan prinsip ketelusan dan beramanah dalam pentadbiran kerajaan Selangor, yakni cabang eksekutif kerajaan Selangor.
Walaupun secara kebiasaannya Ketua Pembangkang yang dilantik menjadi pengerusi PAC, tetapi kali ini saya difahamkan wakil-wakil daripada pembangkang telah diberi peluang untuk memilih wakil mereka sendiri. Ini menunjukkan keterbukaan Dewan Negeri Selangor dan saya berharap tradisi cemerlang ini dapat diteruskan di dalam Dewan yang Mulia ini biarpun kerajaan bertukar tangan.
Pengerusi PAC yang baru bakal menghadapi cabaran yang lebih besar. Pengerusi baru perlu berusaha untuk membawa perubahan dalam gerak kerja dan fungsi PAC serta menjadikan struktur pentadbiran kerajaan Selangor semakin cekap tanpa mengira siapa yang memegang kerajaan. Pengerusi baru juga perlu memastikan wang ringgit orang awam digunakan dengan sebaik mungkin demi mengelak sebarang bentuk ketirisan.
Saya turut menggesa anggota-anggota PAC yang lain serta kakitangan kerajaan memberi segala bantuan dan kerjasama yang diperlukan kepada Pengerusi PAC yang baru ini supaya beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Jangan pula pengerusi PAC datang daripada pembangkang maka beliau dipandang remeh.
Negara dan negeri kita sedang mengalami perubahan. Budaya politik lapuk yang mementingkan partisan sudah semakin usang. Keterbukaan, keupayaan, beramanah pula merupakan kata-kata keramat untuk menentukan bangun dan jatuhnya sesebuah negeri.
Saya berharap dengan perlantikan ini, Dewan-Dewan Negeri (termasuk negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat) dan Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan akan mengikut jejak langkah Dewan Negeri Selangor ini.
Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi PAC yang lama, iaitu YB Kajang dan tahniah kepada Pengerusi PAC yang baru, iaitu YB Sungai Burung. Semoga PAC di bawah YB Sungai Burung akan membantu rakyat dan kerajaan Selangor ke arah mercu tanda yang lebih tinggi.

No comments: