Thursday, July 29, 2010

Nak jimat RM15 juta? Benarkan PR guna Radio FM Selangor!

Saya membidas sikap hipokrit pemimpin-pemimpin MCA dan BN yang mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kerana memperuntukkan RM15juta untuk perbelanjaan penerangan dalam belanjawan tahun 2011 yang akan dibentangkan di Dewan Negeri pada akhir tahun ini.
Perbelanjaan ini adalah perlu memandangkan media aliran utama, khususnya media Bahasa Malaysia dan kemudian media Bahasa Inggeris kurang melaporkan program-program dan dasar-dasar kerajaan PR Selangor, sekaligus memaksa Kerajaan Selangor perlu memikirkan jalan keluar untuk menyebarkan pgrogram, dasar dan maklumat-maklumat kerajaan kepada rakyat khususnya mereka yang meninggal di kawasan luar bandar dan tidak mempunyai akses terhadap internet.
Saya membidas sikap hipokrit MCA dan BN kerana apabila mereka mengkritik PR sebagai “menyalahgunakan wang” pembayar cukai untuk tujuan politik PR.
Pertama sekali, adalah merupakan tanggungjawab sebuah kerajaan untuk memastikan dasar dan program kerajaan dapat disebarkan ke seluruh pelosok negeri Selangor. Untuk itu, kerajaan telah menubuhkan TVSelangor, akhbar Selangorkini dan kini kerajaan sedang menimbang menubuhkan stesyen radio milik kerajaan Selangor sendiri dan saya percaya ini merupakan sesuatu yang memakan belanja.
Kedua, jikalau BN betul-betul ikhlas untuk menjimatkan wang rakyat, maka saya menyeru kepada MCA dan BN untuk membenarkan malahan menyokong kerajaan Selangor di bawah PR untuk menggunakan stesyen radio FM Selangor untuk menyiarkan dasar dan program kerajaan Selangor.
Buat makluman semua, walaupun radio FM Selangor membawa nama “Selangor”, kerajaan PR Selangor langsung tidak dibenarkan untuk menggunakan stesyen radio ini sebagai satu platform untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat khususnya mereka yang meninggal di luar bandar.
Kerajaan Selangor amat memerlukan stesyen radio ini dan kami pada permulaan tahun 2008 ingat kami akan dapat menggunakan stesyen radio ini tetapi rupa-rupanya radio Selangor FM ini terletak di bawah kuasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
Kerajaan PR Selangor merupakan sebuah kerajaan berdaulat yang memegang mandate daripada rakyat. Kami seharusnya dibenarkan untuk menggunakan radio ini sekurang-kurangnya menyebarkan maklumat kepada rakyat negeri Selangor sendiri.
Malangnya, ianya telah dipolitikkan dan saya menggesa rakan-rakan daripada BN dan MCA yang begitu ikhlas dalam menjimatkan wang pembayar cukai supaya dapat menyokong hasrat kerajaan PR Selangor mengguna radio FM Selangor supaya kami tidak perlu menwujudkan sesuatu yang memang sudah ada.
Sebenarnya, sama ada RM15juta ini akan diperuntukkan atau tidak, kerajaan Selangor telah menggunakan sumber kami sendiri untuk mewujudkan TVSelangor yang kini bertanggungjawab menyiarkan sidang Dewan Negeri Selangor dan pendengaran terbuka SELCAT secara siaran langsung melalui internet.
Inisiatif murni kerajaan PR Selangor telah sedikit sebanyak memecahkan monopoli media BN sehingga BN sekarang terhimpit dengan desakan PR untuk menyiarkan secara langsung persidangan Dewan Rakyat walaupun selama satu jam setiap hari Dewan Rakyat bersidang.
Inilah kebaikannya apabila kerajaan PR Selangor mewujudkan medianya sendiri kerana rakyat dapat mengetahui dengan menyeluruh terhadap sesuatu perkara, bayangkan kebaikannya yang berlipat ganda kepada rakyat jikalau kerajaan Selangor dapat melakukannya dengan sistematik melalui peruntukan kewangan yang mencukupi?

No comments: