Thursday, October 27, 2011

Kenyataan SPRM Untuk Siasat Kes Salahlaku Dalam Laporan Ketua Audit Negara Ialah Retorik Semata-Mata

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka akan membuka fail bagi menyiasat 36 kes salahlaku yang melibatkan perolehan dibuat oleh agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan merupakan retorik yang tidak bermakna.

Ini adalah kerana SPRM sehingga sekarang masih belum menyelesaikan kes-kes salahlaku yang berpunca daripada perolehan jabatan-jabatan kerajaan dengan harga yang jauh lebih tinggi (inflated price) pada tahun 2006.

Antara kepincangan yang dilaporkan pada masa itu termasuk pembelian satu set pen yang berharga RM160 dengan harga RM1146, iaitu RM986 lebih mahal daripada harga pasaran. Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan dikatakan bersalahlaku apabila kemnterian berkenaan membeli sebuah jek kereta yang berharga RM50 dengan harga yang melampung tinggi, iaitu RM1664.

Fenomena-fenomena ini seolah-olah berulang setiap tahun walaupun Jabatan Audit Negara bertahun-tahun memberi teguran. Malangnya, setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan oleh kerajaan, kami melihat hampir tiada tindakan susulan daripada SPRM untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Justeru itu, kenyataan SPRM baru-baru ini bahawa mereka akan menjalankan siasatan seolah-olah satu kenyataan retorik yang langsung tidak bermakna. Bagaimana rakyat Malaysia boleh mengharapkan SPRM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah apabila kes-kes yang telah dilaporkan sejak lima tahun yang lalu pun belum lagi diambil tindakan oleh SPRM?

Oleh itu, apabila penjawat-penjawat awam melihat kelalaian dan kegagalan SPRM dalam mengambil tindakan cepat dan tegas berhubungan dengan isu ini, mereka akan memandang remeh terhadap undang-undang yang sedia ada dan meneruskan sikap boros dan tidak berjimat cermat. Lebih-lebih lagi apabila pemimpin-pemimpin kerajaan pusat pun boros dalam perbelanjaan, apakah kita boleh mengharap kakitangan-kakitangan awam yang bertugas di bawah akan berjimat-cermat dalam pentadbiran kerajaan?

Banyak kes salah laku telah dilaporkan terhadap SPRM, termasuk kes-kes yang melibatkan “ikan-ikan besar”, tetapi adakah SPRM dapat memberi laporan kepada rakyat Malaysia apa yang mereka telah lakukan terhadap “ikan-ikan besar” ini? Bagaimana dengan kes salah laku dan rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Mohd Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Menteri Besar Perak, Zambri Kadir? Semua daripada mereka dituduh terlibat dalam banyak kes salah laku yang melibatkan pemberian tanah dan lesen balak secara berleluasa kepada syarikat-syarikat kroni, apakah tindakan SPRM terhadap mereka dan apakah sebab mengapa sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka?

Kegagalan SPRM ini telah membukti dakwaan bahawa kerajaan tiada komitmen politik untuk melakukan perubahan dan reformasi dalam pentadbiran awam. SPRM perlu tegas dan perlu dilihat tegas dalam menjalankan tugasnya. Jika tidak, penjawat-penjawat awam hanya akan bersambil lewa sahaja setiap kali Ketua Audit Negara memberi teguran.
Post a Comment