Friday, February 22, 2013

Adakah Zin Mohamed melanggar hak kerahsiaan peribadi orang ramai?


Barisan Nasional (BN) begitu cemas dan desperate sehingga mereka perlu mencerobohi kerahsiaan peribadi (privacy) seseorang hanya untuk memancing undi pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU13) yang akan datang.

Baru-baru ini, saya telah menerima satu mesej ringkas (SMS) yang dihantar oleh seorang yang mengelar dirinya sebagai “DS Ir. Mohd Zin Mohamed, Kordinator BN Selangor”. Isi kandungan mesej ini adalah untuk mengucapkan “Selamat Hari Jadi” kepada saya.

Mesej ini dihantar melalui satu nombor telefon +6011-29040204 ke talian jalur lebar mudah alih saya (mobile broadband) yang saya langgani melalui syarikat Celcom. Nombor telefon yang saya guna sejak beberapa tahun ini hanya digunakan untuk melayari internet dan tidak pernah sekalipun saya menggunakannya untuk menghantar mesej atau membuat panggilan telefon.

Lebih-lebih lagi, saya tidak pernah memberi orang luar nombor telefon ini. Ini bermaksud hanya Syarikat Celcom sahaja yang mempunyai maklumat tentang pemegang akaun ini.

Memang sebelum ini pun saya pernah menerima mesej daripada petugas-petugas Barisan Nasional tetapi kali ini ianya lebih serious kerana ini adalah kali pertama maklumat peribadi saya diberi kepada pihak ketiga. Maklumat peribadi yang saya maksudkan di sini ialah hari jadi saya.

Saya telah membuat aduan kepada pihak Celcom pada hari Khamis yang lepas. Celcom telah memberi maklum balas pada 18 Februari bahawa mereka tidak dibenarkan untuk memberi maklumat tentang para pelanggan kepada orang luar kecuali dengan kebenaran pelanggan itu sendiri.

Saya berasa tidak puas hati dengan penjelasan ini kerana saya tidak pernah mendedahkan maklumat tentang akaun ini kepada sesiapapun. Oleh itu, adalah pasti bahawa terdapat golongan yang telah menyeludup maklumat pengguna kepada BN Selangor, yang seterusnya menggunakan data yang mereka perolehi termasuk hari jadi dan alamat pengguna untuk menghantar mesej selamat hari jadi dalam bentuk SMS.

Saya juga menggesa Zin Mohamed untuk segera memberi penjelasan terhadap perkara, iaitu adakah beliau telah berbuat demikian dan seterusnya melanggar hak kerahsiaan peribadi orang ramai untuk memancing undi?

Saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serious kerana sebelum ini pun Zin Mohamed selaku penyelaras BN Selangor telahpun mengirim kad salam dan surat kepada para pengundi di Selangor berdasarkan maklumat yang seolah-olah tidak diperolehi daripada domain awam (public domain).

Sehingga sekarang, beliau hanya memberi maklum balas yang samr-samar sahaja dan tidak pernah menjawab secara jelas bagaimana beliau memperolehi maklumat ini. Orang ramai harus mendesak Zin Mohamed untuk berbuat demikian sebelum membuang undi kepada BN dalam PRU yang akan datang.

No comments: