Friday, May 23, 2008

Perubahan terhadap pentadbiran lama

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengundi di kawasan DUN Kampung Tunku kerana telah memberi mandat dan kepercayaan yang kuat kepada DAP dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu di mana bukan sahaja DAP menang di DUN Kampung Tunku tetapi DAP turut menggongdol DUN Damansara Utama dan Parlimen Petaling Jaya Utara yang dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas dipegang oleh calon Barisan Nasional (BN)

Sudah pasti dengan kemenangan besar yang dicapai oleh DAP dan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR), suara rakyat Kampung Tunku akan dapat berkumandang dengan lebih kuat di Dewan Yang Mulia ini untuk tempoh lima tahun yang akan datang berbanding dengan tahun-tahun yang lalu di mana jarang dapat Dewan Yang Mulia ini mendengar suara daripada Kampung Tunku semasa DUN ini dimenangi oleh BN.

Kawasan DUN Kampung Tunku mempunyai kira-kira sepuluh peratus pengundi berketurunan India iaitu lebih kurang 3000 orang pengundi India. Dengan berbekalkan semangat “Makkal Sakhti”, mereka telah memberi sokongan penuh kepada DAP, PAS dan KeADILan untuk menolak politik perkauman UMNO yang bersifat hegemoni ini.

Dengan lafaz “Makkal Sakhti” yang sama, saya juga menyeru Kerajaan Pusat untuk melepaskan ADUN DAP untuk kawasan Kota Alam Shah yang sekarang ini masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalama Negeri (ISA). Pada pilihanraya umum ke-12 yang baru-baru berlangsung, YB Kota Alam Shah telah menang dengan majoriti sebanyak 7,184 undi biarpun beliau masih ditahan di Kamunting di bawah ISA dan tidak dapat berkempen dan bertemu pengundi. Ini merupakan satu mandat dan endorsmen yang amat besar daripada rakyat.

Tuan Speaker,

Apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 merupakan satu manifestasi bersama oleh para pengundi daripada pelbagai kaum, agama dan kebudayaan yang menginginkan satu perubahan terhadap cara pentadbiran kerajaan negeri yang lalu di bawah BN.

Manifestasi ini merupakan sesuatu yang amat bermakna untuk kemajuan politik tanahair, khususnya di negeri Selangor. Ini menunjukkan bahawa para pengundi sudah bersedia untuk menukar kerajaan, jikalau kerajaan itu sudah tidak dapat mengangkat martabat rakyat dan mendengar naluri hati rakyat jelata.

Ini juga sekaligus memecahkan mitos atau anggapan selama ini bahawa hanya BN sahaja yang dapat mentadbir negara dan negeri ini dengan baik. Keputusan pilihanraya pada 8 Mac 2008 pula membuktikan yang sebaliknya, bahawa tiada apa-apa di dunia ini yang mustahil bagi kita.

Tuan Speaker,

Kampung Tunku berasa amat kecewa dengan sikap beberapa pemimpin UMNO di negeri Selangor yang cuba membangkitkan isu-isu perkauman untuk kepentingan politk mereka.

Contohnya dalam isu penternakan babi di Tumbuk, cadangan telah dikemukakan oleh kerajaan negeri yang lalu untuk memusatkan penternakan babi di Selangor untuk menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar yang berbangkit daripada cara penternakan yang lama.

Apabila kerajaan baru mengambil alih dan menetap untuk meluluskan projek ini atas merit bahawa projek ini mendatangkan manfaat kepada pelbagai pihak, pemimpin-pemimpin UMNO pula mencuri kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai satu isu politik. Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah isu ini telah diapi-apikan untuk dijadikan satu isu perkauman.

Kalau kita melihat semasa isu yang sama berlaku di Paya Mengkuang, Melaka, alasan yang digunakan ialah bahawa ladang-ladang penternakan babi ini mencemari alam sekitar, maka sepatutnya kerajaan negeri Selangor mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk melaksanakan projek ini agar alam sekitar kita tidak terus dicemari.

Mengapakah pula pemimpin-pemimpin UMNO yang sebelum ini sanggup membelanjakan wang berpuluh-puluh ribu ringgit, malahan beratus-ratus ribu ringgit untuk membuat tinjauan di luar negara untuk projek ini dan sanggup meluluskan projek ini, sekarang tiba-tiba pula berpaling tadah mengubah pendirian mereka?

Biarpun isu ini telah diperbesarkan oleh UMNO, tetapi ianya nyata tidak ada “pasaran”. Sesetengah pemimpin UMNO masih ingat Selangor sekarang masih merupakan zaman Selangor di bawah Dato’ Harun. Mereka tidak sedar bahawa zaman sudah berubah dan minda pengundi sudah pasti akan berganjak ke hadapan mengikut arus perubahan era.

Urusan kewangan Balkis

Tuan Speaker,

Selepas isu penternakan babi ini, tiba-tiba rakyat Selangor terkejut dengan satu skandal yang dilaporkan dalam suratkhabar Bahasa Inggeris The Sun bertarikh 26 April 2008 yang bertajuk “RM10 million gone in three days”.

Laporan akhbar itu berbunyi seperti berikut:

“Datin Seri Zaharah Kechik, the wife of the former Selangor Mentro Besar, had on March 11 convened an extraordinary general meeting of the committee to dissolve Balkis and close its bank accounts. The following day, the accounts were closed, with the money transferred to another account and then to Bakti – the federal Organisation of Wives of Ministers which Balkis is affiliated to”.

Saya berasa ganjil dan aneh apabila skandal yang melibatkan pemindahan dana sebanyak RM9.9 juta kepunyaan Balkis yang dipindahkan kepada Bakti (persatuan yang sama di peringkat persekutuan) dibongkarkan.

Pemusykilan pertama ialah, mengapakah Pengerusi Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik sendiri tidak memperjelaskan perkara ini terlebih dahulu apabila perkara ini dilaporkan sebagai berita muka pertama oleh akhbar harian Bahasa Inggeris, The Sun?

Yang kedua, bagaimana pembubaran Balkis sah di sisi undang-undang apabila Mesyuarat Agung Tergempar yang diadakan pada 11 Mac seharusnya membincangkan pemindahan kuasa dan aset Balkis kepada barisan Exco yang baru dan bukan pembubarannya?

Jikapun ianya sah dari segi undang-undang, mengapakah ROS pula mengatakan bahawa pembubaran Balkis tidak boleh diteruskan dan ROS memerlukan 30 hari untuk mendapat lebih banyak maklumat? Kalau ianya betul-betul mengikut undang-undang, maka sepatutnya pembubarannya dapat diluluskan tanpa sebarang halangan daripada ROS.

Ketiga, ianya merupakan satu kes penyalahgunaan kuasa apabila Exco Balkis melanggari peraturan dengan memindahkan dana sebanyak RM9.9 juta kepada Bakti apabila mengikut perlembagaan Balkis, dana ini sepatutnya disalurkan kepada Kerajaan atau tabung yang didirikan oleh Kerajaan dengan kelulusan daripada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lebih-lebih lagi sebahagian dana ini iaitu wang sejumlah RM850,000 merupakan wang yang diderma Kerajaan Negeri Selangor seperti yang dilaporkan dalam laporan akhbar yang sama, iaitu sebanyak RM268,862 daripada Kumpulan Darul Ehsan, RM590,379.50 daripada PKNS?

Radio Selangor FM

Tuan Speaker,

Kampung Tunku berasa terkilan dengan pelbagai cara sabotaj yang dikenakan terhadap kerajaan negeri Selangor yang baru.

Satu lagi cara sabotaj ialah keengganan Kementerian Penerangan untuk memberi ruangan kepada Kerajaan Negeri Selangor menerangkan dasar-dasarnya melalui Radio Selangor FM.

Biarpun Radio Selangor FM terletak di bawah Jabatan Penerangan dan menjalankan penyiarannya dari Tingkat 4 Bangunan SUK Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam, tetapi Radio Selangor FM masih tidak dapat lari daripada objektif-objektifnya yang mana objektifnya yang pertama adalah untuk “menerangkan secara mendalam dan dengan liputan seluas-luasnya dasar-dasar dan rancangan-rancangan kerajaan bagi membolehkan rakyat memahami dengan tepat dan sepenuhnya dasar dan rancangan tersebut.”

Kampung Tunku bersetuju dengan kenyataan Menteri Penerangan bahawa isu ini bukan sejam atau dua jam masa siaran. Biarpun begitu, masalahnya ialah, jikalau Radio Selangor FM masih ingin menjalankan siarannya atas nama “Selangor”, maka seharusnya radio ini memberi ruangan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menjelaskan dasar-dasarnya melalui siaran radio.

Ulasan Menteri Penerangan bahawa YB Menteri Besar Selangor sebagai kemeruk kuasa adalah tidak wajar.

Sebagai sebuah kerajaan pilihan rakyat yang bermartabat, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai haknya untuk memperjelaskan dasar-dasarnya kepada rakyat jelata melainkan Kementerian Penerangan enggan mengiktiraf Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan Negeri Selangor yang sah. Jika ini adalah pendirian Kementerian Penerangan, maka adalah lebih baik nama Radio Selangor FM ditukar ke “Bukan Radio Selangor FM”.

Di sini saya menyeru Kementerian Penerangan, dan Kerajaan Pusat serta pemimpin-pemimpin BN yang lain agar tidak bermain politik lagi, dan sebaliknya menumpukan perhatian terhadap bagaimana kita dapat bersama-sama berkhidmat kepada rakyat.

Tadbir urus baik PBT dan Pilihanraya kerajaan tempatan

Tuan Speaker,

Kampung Tunku juga ingin menyentuh tentang tadbir urus baik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pilihanraya kerajaan tempatan.

Kampung Tunku berpendapat bahawa adalah amat penting untuk Kerajaan Negeri untuk mengumpul segala idea dan pandangan demi memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan di Selangor selepas lebih 40 tahun pilihanraya ini dimansuhkan oleh Kerajaan Perikatan pada tahun 1965.

Salah satu sebab mengapa kerajaan negeri sebelum ini tumpang ialah tadbir urus PBT yang lemah. Jika sebelum ini, kita melihat bahawa setiap ADUN parti pemerintah akan menganggotai PBT di tempat masing-masing, dan ini menyebabkan mereka terlalu bermaharajalelas di dalam PBT sehingga dapat mempengaruhi keputusan PBT, khususnya dalam pemberian lesen, permit, tender dan sebagainya.

Salah satu contoh yang paling baik ialah bekas ADUN Pelabuhan Klang yang terpaksa mengosongkan kerusinya dalam Majlis Perbandaran Klang (MPK) apabila beliau didapati menyalahgunakan kuasa dengan melanggari pelbagai peraturan MPK.

Kampung Tunku berasa syukur apabila kerajaan negeri yang baru bertekad untuk mempertingkatkan prestasi PBT dengan membuka jawatan ahli-ahli majlis kepada orang ramai dan Badan-badan Bukan Kerajaan. Sementara itu, ADUN juga tidak akan dilantik menjadi ahli-ahli majlis PBT.

Sungguhpun begitu, Kampung Tunku berpendapat bahawa kita masih perlu menumpukan segala usaha untuk memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan dalam masa tersingkat yang mungkin.

Kampung Tunku memahami beberapa had yang bakal kerajaan negeri menghadapi dalam usaha memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan tetapi kerajaan harus terus mencuba dan saya berharap satu hari nanti, negeri Selangor akan menjadi sebuah negeri model yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri yang lain dalam aspek ini.

Perkhidmatan IWK dan AFSB

Tuan Speaker,

Seperti yang diterangkan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam titah ucapan baginda semalam, PBT merupakan perantara kerajaan negeri dengan rakyat dalam melaksanakan pelbagai program yang dirangka.

Oleh itu, Kampung Tunku memandang serious terhadap beberapa agensi kerajaan pusat yang selalunya gagal dalam menjalankan tugasnya dalam pembersihan sampah-sarap, longkang, sistem pembetungan dan lampu jalan.

Perkhidmatan-perkhidmatan ini yang sebelum ini diletakkan di bawah PBT telah diswastakan semasa zaman pemerintahan BN. Pembersihan sampah-sarap diswastakan kepada Alam Flora, sistem pembetungan diswastakan kepada Indah Water Konsortium (IWK) dan Tenaga Nasional pula yang bertanggungjawab terhadap sebahagian besar lampu jalan di Malaysia.

Kegagalan syarikat-syarikat swasta yang terletak di bawah Perbendaharaan Kerajaan Pusat akan menjejaskan kualiti hidup rakyat setempat dan saya berharap kerajaan negeri dan PBT masing-masing boleh menilai kembali perjanjian-perjanjian di antara PBT dengan syarikat-syarikat ini, khususnya apabila syarikat-syarikat ini selalunya gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan dan PBT itu tidak mempunyai apa-apa bayaran tunggakan dengan mereka.

Masalah program “Setinggan Sifar” dan pembasmian kemiskinan

Tuan Speaker,

Kerajaan negeri yang lalu pernah begitu beria-ia untuk menghapuskan semua kawasan setinggan di negeri Selangor. Biarpun begitu, ianya tidak boleh dikatakan berjaya memandangkan terdapat banyak penyelewengan yang berlaku apabila pihak-pihak tertentu cuba mengaut keuntungan dengan mengambil rumah kos rendah yang sepatutnya diberi kepada mereka yang memerlukan dan menjual kepada orang luar atau saudara-mara mereka dengan harga yang lebih tinggi.

Ini mengakibatkan mereka yang sepatutnya mendapat rumah ini tidak diberi sebarang rumah dan terpaksa menduduki rumah sewa. Sementara itu, terdapat masalah pula dengan mereka yang menduduki rumah kos rendah.

Terdapat juga lif yang rosak bertahun-tahun dan tidak diselenggara dengan baik, terdapat juga yang tidak ada CF, tingkapnya tidak dilengkapi dengan bingkai besi, kekurangan tempat letak kereta, kekurangan tempat beriadah untuk kanak-kanak. Hakikatnya, kejadian vandalisme di rumah pangsapuri kos rendah juga merupakan antara yang paling teruk.

Kualiti kehidupan yang selesa merupakan langkah pertama ke arah pembasmian kemiskinan, khususnya kemiskinan bandar seperti yang dinyatakan dalam Titah Ucapan Baginda.

Kampung Tunku ingin mencadangkan supaya kerajaan negeri meninjau agar pembinaan rumah kos rendah ini diselaras dan dijalankan oleh agensi kerajaan negeri seperti PKNS seperti apa yang berlaku di negara lain seperti Housing Development Board (HDB) di Singapura.

Walaupun Kampung Tunku mengetahui financial constraint yang dihadapi oleh PKNS untuk membangunkan perumahan kos rendah di Selangor, tetapi Kampung Tunku berpendapat pembangunan rumah kos rendah tidak berapa mungkin dijayakan oleh syarikat pemaju swasta yang berlandaskan prinsip profit-driven, lebih-lebih lagi harga jualan rumah kos rendah ini memang jauh di bawah harga pasaran.

Apa yang Kampung Tunku berharap ialah supaya sekurang-kurangnya agensi kerajaan atau anak-anak syarikat kerajaan memikul tanggungjawab dalam pembinaan, pembahagian dan penyelenggaraan rumah kos rendah agar kepentingan golongan termiskin terjaga.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga harus melihat bagaimana kita dapat mengurangkan beban ekonomi penghuni-penghuni di kota raya. Pelaksanaan sistem feeder bus di beberapa bandar yang dilaksanakan oleh PBT-PBT tertentu yang menyediakan laluan di tempat-tempat yang terpinggir merupakan sesuatu yang dapat mengurangkan kebergantungan golongan rakyat termiskin terhadap kereta dan petroleum, sekaligus mengurangkan beban ekonomi mereka.

Biarpun begitu, pemantauan harus dilakukan dari semasa ke semasa agar perkhidmatan bas ini betul-betul dapat memanfaatkan golongan rakyat termiskin. Untuk itu, Kampung Tunku ingin bercadang supaya projek sebegini dijalankan melalui satu projek perintis yang dihadkan di sesebuah kawasan terlebih dahulu. Sekiranya projek perintis ini berjaya, maka kerajaan boleh mengkaji supaya pelaksanaannya diperluaskan ke tempat lain.

Tempat beribadat

Tuan Speaker,

Kampung Tunku juga ingin menyentuh tentang tempat beribat di Selangor, termasuk masjid, surau, tokong, kuil, gereja dan sebagainya. Institusi keagamaan merupakan satu institusi kerohanian yang amat penting untuk pembangunan sesebuah negeri.

Dalam perjuangan kita mencapai cita-cita negeri maju, kita perlu sentiasa memastikan bahawa tahap kerohanian dan kesihatan mental rakyat jelata berada di tahap yang mantap. Untuk mencapai cita-cita ini, tempat beribadat pula menjadi satu aspek yang penting.

Kampung Tunku ingin menyarankan supaya semua tempat beribadat untuk mana-mana institutisi keagamaan di negeri Selangor diberi insentif sama ada pengurangan cukai pintu, cukai tanah ataupun premium tanah.

No comments: