Monday, November 09, 2009

Kerajaan kutip hutang RM392j daripada syarikat pemaju swasta

Kerajaan negeri telah membentangkan satu lagi bajet tambahan untuk Bajet 2009 sebelum Bajet 2010 dibentangkan di Dewan Negeri Selangor.
Kerajaan antara lain telah memperuntukkan RM50 juta sebagai pinjaman jangka pendek untuk membiayai kos Program Air Percuma bagi 20 meter padu yang pertama.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM392 juta untuk membeli semula hutang Syarikat Talam Corporation Berhad daripada Selangor Industrial Berhad (SIC) yang merupakan satu anak syarikat di bawah PKNS.
Telah difahamkan bahawa hutang yang sebegitu besar tidak direkodkan dalam mana-mana penyata PKNS dan ini menunjukkan satu kepincangan besar anak-anak syarikat kerajaan Selangor yang sebelum ini beroperasi dalam tatacara yang tidak telus.
Hakikatnya, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor, semua hutang piutang yang sengaja disembunyikan ini dibongkarkan satu demi satu.
Saya telah mengambil bahagian dalam perbahasan ini dan di bawah merupakan perbahasan saya yang ringkas. Antara kandungan teks ucapan saya adalah untuk membuka jalan kepada Menteri Besar untuk menjelaskan situasi sebenarnya.
Program Air Percuma
Kerajaan negeri telah memperuntukkan pinjaman jangka pendek berjumlah RM50 juta kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk membiayai kos Program Air Percuma.
Saya ingin bertanya apakah perkembangan terbaru pengambilalihan syarikat-syarikat pengurusan air di Selangor?
Mengapakah kerajaan perlu memberi pinjaman jangka pendek kepada KDEB? Adakah ini menunjukkan KDEB mempunyai masalah aliran wang tunai untuk membiayai program ini?
Walaupun kerajaan mempunyai hasrat yang murni semasa melancarkan program ini sebagai salah satu program utama dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), tetapi kerajaan negeri juga perlu berhati-hati supaya wang yang digunakan untuk membiayai program ini dapat memberi manfaat dan pulangan yang melebihi nilainya baik kepada rakyat dan juga kepada kerajaan negeri.
Lebih-lebih lagi, program air percuma ini masih belum dapat dinikmati oleh penduduk-penduduk pangsapuri kos rendah yang rata-ratanya merupakan golongan berpendapatan rendah.
Program Air Percuma ini sewajarnya dilaksanakan dalam cara-cara yang membolehkan rakyat di golongan bawah menikmatinya. Tiada guna untuk seorang yang tinggal dalam rumah banglo menikmati air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan sedangkan mereka yang memerlukannya, yakni golongan berpendapatan kurang daripada RM1500 sebulan tidak dapat menikmatinya hanya kerana penduduk si banglo mempunyai meter air individu.

Pemberian geran sebanyak RM392 juta kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI)
Wang yang sebegini besar telah diperuntukkan kepada MBI untuk membeli hutang Syarikat Talam Corporation Berhad sebanyak RM392 juta daripada Selangor Industrial Corporation.
Saya ingin bertanya kepada Kerajaan tentang rasionalnya untuk kerajaan memperuntukkan tambahan wang sebanyak RM392 juta ini kepada MBI untuk membeli hutang itu dan apakah pulangan yang akan dapat dinikmati daripada exercise ini?
Apa yang lebih menarik lagi ialah bagaimana Selangor Indstrial Corporation, sebuah anak syarikat Perbadanan kemajuan Negeri Selangor (PKNS) boleh mengumpulkan tanggungan hutang yang begitu besar?

1 comment:

NEO said...

Can YB tell me more about the RM392?