Tuesday, November 17, 2009

Tugas berat 2 Ahli Dewan Negara lantikan DUN Selangor

1. Dewan Negeri Selangor telah pada hari ini memilih dua orang tokoh untuk mewakili kepentingan negeri Selangor ke Dewan Negara. Dua orang ini ialah Prof. Dr Syed Husin Ali, 73 tahun yang merupakan Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat, dan Ramakrishnan a/l Suppiah, 53 tahun yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
2. Persepsi orang ramai terhadap Dewan Negara sebagai satu “rubber stamp” perlu ditukar kerana selama negara ini mencapai kemerdekaan dalam tempoh 52 tahun yang lalu, Dewan Negara telah gagal memainkan peranannya untuk memantau pentadbiran dan penyelewengan oleh kuasa Eksekutif yang didalangi oleh Barisan Nasional.
3. Selama ini, Dewan Negara seolah-olah menjadi satu Dewan yang tidak mempunyai tulang belakang apabila segala Rang Undang-undang (RUU) dan usul yang dibawa kepadanya oleh Kabinet diluluskan begitu sahaja. Malahan Dewan Negara tidak mempunyai keberanian untuk mempersoalkan langsung tanda-tanda bahasa di dalam usul dan RUU yang dibawa kepadanya.
4. Dewan Negara harus memainkan peranan dan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan padanya iaitu untuk mewujudkan satu institusi perundangan/legislatif dwi-dewan di mana Dewan Negara perlu berfungsi sebagai sebuah dewan yang mampu memberi pandangan perundangan kedua yang lebih mendalam berbanding dengan Dewan Rakyat terhadap mana-mana RUU atau usul yang telah diluluskan di Dewan Rakyat.
5. Apa yang kita dapat saksikan pada masa ini merupakan satu situasi yang telah terpesong daripada objektif asalnya di mana Dewan Negara seolah-olah telah menjadi Rumah Simpanan Kayu Reput dan Pelarian Politik Barisan Nasional.
6. Selain itu, Dewan Negara memerlukan perwakilan yang mencukupi daripada negeri untuk menjaga, melindungi dan mempertahankan hak dan kepentingan kerajaan negeri.
7. Walaupun begitu, mengikut Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, bilangan Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah nasihat Perdana Menteri/Kerajaan Persekutuan ialah 44 orang, berbanding dengan 26 orang Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh 13 Dewan Negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia di mana setiap Dewan Negeri boleh memilih 2 orang wakil ke Dewan Negara.
8. Dengan komposisi Dewan Negara ini, adalah jelas bahawa Kerajaan Persekutuan masih mempunyai pengaruh yang besar terhadap peranan dan fungsi Dewan Negara.
9. Ini secara tidak langsung telah menghalang Dewan Negara daripada memainkan fungsinya untuk mempertahankan, melindungi dan memelihara hak dan kepentingan sesebuah negeri di mana Kerajaan Persekutuan menguasai Dewan Negara dengan suara majoriti.
10. Selain itu, mengikut Fasal (2) Perkara Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli yang dilantik oleh Yang Di-Petuan Agong mestilah orang-orang yang pada pendapatnya berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesyen, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan orang asli. (towering figure)
11. Malangnya, kriteria-kriteria yang diterangkan di atas telah dipandang remeh oleh kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional kerana individu-individu yang dilantik di bawah kuota kerajaan persekutuan selalunya merupakan “pelarian-pelarian politik” yang telah gagal dalam pilihanraya ataupun “pelarian-pelarian politik” yang dilantik untuk memenuhi keperluan politik BN sendiri.
12. Antara Senator-senator yang dilantik setelah gagal dalam pilihanraya/digugurkan daripada menjadi calon pilihanraya dalam parti masing-masing/setakat memenuhi kuota sebagai percaturan politik BN adalah seperti yang berikut:
• Awang Adek bin Hussin
• Chew Mei Fun
• Sim Kheng Hui
• Koh Tsu Koon.
• Abdul Rahman bin Bakar
• Dato' Dr. Mashitah Binti Ibrahim
• Raja Nong Chik bin Raja Zainal Abidin
• Murugiah a/l Thopasamy
• Mohd Effendi bin Norwawi

13. Di bawah Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh melalui undang-undang —
• menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri menjadi tiga;
• memperuntukkan bahawa ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri dipilih sedemikian melalui undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;
• mengurangkan bilangan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.

14. Mengikut Perkara 120 Perlembagaan Persekutuan, Pemilihan terus ke Dewan Negara adalah dibenarkan.
15. Jika mengikut Fasal (4) Perkara 45 peruntukan dibuat oleh Parlimen bagi pemilihan ahli-ahli Dewan Negara dengan cara undi terus oleh pemilih, maka—
• keseluruhan sesuatu Negeri hendaklah menjadi satu bahagian pilihan raya dan dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Negara setiap pemilih hendaklah mempunyai undi sebanyak bilangan kerusi yang hendak diisi dalam pilihan raya itu; dan
• daftar pemilih bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat hendaklah juga menjadi daftar pemilih bagi pilihan raya ke Dewan Negara; dan
• Perkara 118, 118A dan 119 hendaklah terpakai berhubung dengan pilihan raya ke Dewan Negara sebagaimana Perkara-Perkara itu terpakai berhubung dengan pilihan raya ke Dewan Rakyat.
16. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya telah memberi ruang untuk memilih Ahli Dewan Negara melalui pilihanraya dan ini secara langsung akan memperkasakan ketuanan rakyat di mana rakyat dapat memilih calon melalui pilihanraya.
17. Ini juga memberi peluang kepada pembangkang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya Ahli Dewan Negara dan secara langsung masuk ke dalam Dewan Negara jikalau menang dalam pilihanraya.
18. Walapun begitu, pilihanraya ini perlulah diadakan agar kriteria-kriteria calon itu memenuhi kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan.

1 comment:

rajiv said...

Excellent piece of work, not many among us bother with the existence of the Dewan Negara...

I personally feel that the majority of seats should be state representatives, and the balance minority be reserved for minority groups such as Orang Asli, etc.

We already have Dewan Rakyat which is chosen directly by the people to vet thru decisions by the cabinet and to make laws. It'll be good if the Dewan Negara is chosen by another method, i.e. appointment by respective state governments,

This doesn't dilute the power of the people, but gives for proper check and balance, where the 2 Dewans while working for the people at large come from 2 different sources, both of which are just as important.

We have seen state rights being eroded over the last 50 years, such is necessary for state governments to have a say in federal decisions.