Wednesday, September 07, 2011

Janganlah Khairy Jamaluddin Menuduh Mat Sabu Penakut Sedangkan Dia Sendiri Menolak Untuk Berbahas Isu Yang Sama Enam Tahun Yang Lalu

Saya mengingatkan Khairy Jamaluddin supaya beliau jangan terlalu cepat lupa apa yang pernah beliau lakukan enam tahun yang lalu apabila beliau menolak cabaran daripada

Laman sesawang Utusan Malaysia di URL “http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm” telah melaporkan percakapan Khairy Jamaluddin pada 8 September 2005 semasa beliau menghadiri Forum Kepimpinan Global 2005 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bahawa “Kita juga tidak berdebat dengan orang yang semacam itu termasuk menyerang peribadi saya, kita akan terus bawa isu ini sampai bila-bila”.

Ini ialah bukti jelas bahawa Khairy Jamaluddin sendiri juga pernah menolak untuk berdebat secara matang isu berkenaan dengan sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita.

Tawaran ini dibuat oleh Setiausaha Antarabangsa DAP Pusat pada masa itu, iaitu Ronnie Liu Tian Khiew yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa sekarang berikutan kenyataannya yang dikeluarkan pada awal bulan September 2005 bertajuk “The Real Fighters for Merdeka”.

Tulisan beliau menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh dua kumpulan pejuang yang berbeza, iaitu golongan elit dan bangsawan yang lebih cenderung untuk berbincang dan bekerjasama dengan British untuk memperjuangkan kemerdekaan negara berbanding dengan satu lagi kumpulan yang menggunakan pendekatan bercorak radikal untuk menentang British secara keseluruhan.

Media arus perdana pada masa itu, khususnya Utusan Malaysia mengkritik Ronnie Liu kerana memperkecilkan peranan yang dimainkan oleh Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaya pada tahun 1957. Khairy Jamaluddin selaku Naib Ketua Pemuda UMNO turut membidas Ronnie Liu dan DAP kerana “cuba memesong sejarah perjuangan kemerdekaan Malaya”.

Kini perkara yang hampir sama berlaku apabila Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO membidas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai “bacul dan penakut kerana tidak berani berdebat dengannya dalam isu sejarah Bukit Kepong” apabila Mat Sabu menyentuh tentang perjuangan kemerdekaan Malaya dan insiden Bukit Kepong dalam satu ceramah.

Saya melihat kenyataan Khairy Jamaluddin ini sebagai mengorek dan menggali kubur sendiri kerana beliau telah lupa bahawa beliau juga pernah menolak untuk berdebat dalam isu yang hampir sama pada tahun 2005 walaupun cabaran beliau kepada Mat Sabu untuk berdebat isu Bukit Kepong ini lebih untuk kepentingan politik beliau.

Walau apa sekalipun, Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui gambaran yang lengkap tentang sejarah perjuangan Malaya dan Malaysia. Saban hari, rakyat mula mempersoalkan kesahihan fakta sejaran rasmi yang cuba disuapkan ke dalam mulut rakyat selama lebih 50 tahun. Biarpun begitu gambaran ini tidak akan menjadi semakin lengkap dan jelas dengan adanya roadshow-roadshow yang bakal dijalankan oleh Patriot Pemuda UMNO ataupun perdebatan-perdebatan politik yang dicadangkan Khairy Jamaluddin.

Isu berkenaan sejarah perjuangan kemerdekaan, termasuk sumbangan oleh pejuang-pejuang bersayap kiri dan radikal harus dibincang dengan rasional oleh ahli-ahli sejarah dan akademik secara ilmiah, objektif dan rasional melalui pembentangan fakta-fakta sejarah dan saya berharap ahli-ahli kaji sejarah dari dalam dan luar negara dapat berusaha untuk memulihkan sejarah lengkap perjuangan kemerdekaan negara kita antara tahun 1945 hingga 1957.

No comments: