Thursday, February 27, 2014

MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor harus diumumkan kepada orang ramai dan tidak harus dijadikan sebagai rahsia rasmi kerajaan

Saya mengalu-alukan persetujuan di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Selangor semalam apabila kedua-dua pihak menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) untuk menyelesaikan kemelut penstrukturan semula industri air di negeri Selangor semalam.

MoU ini membenarkan kerajaan Selangor mengambilalih keempat-empat buah syarikat air dengan harga sejumlah RM9.65 bilion sementara Kerajaan Persekutuan dibenarkan untuk meneruskan projek Langat 2.

Maklumat selainnya boleh diperolehi melalui laporan-laporan media dan kenyataan akhbar yang telah disiarkan di mana saya tidak ingin mengulangi di sini. Biarpun begitu, penjelasan-penjelasan yang diberi oleh Pejabat Menteri Besar adalah selaras dengan penjelasan-penjelasan yamg diberi kepada para ADUN dan pelabur dalam beberapa siri dialog dan taklimat yang diadakan pada bulan Januari dan Februari 2014.

Biarpun begitu, atas dasar ketelusan dan pentadbiran baik, kerajaan Selangor harus memberi taklimat sekali lagi tentang isi kandungan MoU tersebut kepada semua ADUN dan orang ramai. Lebih baik lagi kalau MoU tersebut dapat disiarkan kepada orang ramai dan tidak akan diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerajaan.

Kerajaan Selangor juga harus pada masa yang terdekat mungkin, memaklumkan kepada orang ramai apakah pelan tindakan susulan yang akan dijalankan oleh kerajaan untuk mengelakkan sebarang spekulasi dan kekeliruan yang tidak diperlukan.

Lau Weng San刘永山

No comments: