Wednesday, April 01, 2015

Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 31 Mac 2015 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

1.    Mukadimah
1.1. Salam Sejahtera dan Salam Ubah diucapkan kepada semua ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Kampung Tunku untuk turut bersama menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor.

2.    Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan Rakyat Selangor 2013
2.1. Tahun 2015 ialah tahun ketujuh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Tunggak utama kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor ialah kepercayaan yang kukuh di kalangan rakyat dan pengundi Selangor terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat yang menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih dan cekap berlandaskan kepada manifesto Pilihanraya Umum yang lepas.
2.2. Tidak lama selepas kemenangan PR di Selangor pada tahun 2013, DYMM Sultan Selangor pernah bertitah menggesa agar kerajaan PR mengotakan semua janji yang tertera dalam manifesto PRU.
2.3. Justeru itu, ucapan saya akan terus menerus berkisar tentang kepatuhan dasar-dasar kerajaan PR Selangor dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU yang lepas. Tiada guna kita berbunga-bunga dalam bahasa kita sedangkan apa yang diinginkan oleh rakyat ialah pencapaian-pencapaian kita.


3.    Iklim pelaburan di Selangor
3.1. Saya memulakan ucapan saya dengan menyentuh tentang iklim pelaburan di Selangor di mana fakta yang diperolehi menunjukkan bahawa kedudukan Selangor sebagai tumpuan dan destinasi pelaburan telah merosot.

4.    Pengangkutan awam
4.1. Pertukaran laluan KVMRT2 baru-baru ini telah mengejutkan rakyat Selangor di mana laluan asal yang dicadangkan yang akan melalui Gombak, Pandan dan Ampang sebelum disambung ke Serdang dan Putrajaya sekarang akan ditukar dan disambung ke Bandar Malaysia di Sungai Besi. Perkembangan terkini disifatkan sebagai disengajakan untuk menyelamat syarikat 1MDB.
4.2. Saya memohon kerajaan negeri untuk mengambil pendirian yang tegas terhadap perubahan ini kerana sekiranya ini berlaku, rakyat Selangor di sebelah Gombak, Pandan dan Ampang yang kebanyakkannya golongan miskin dan sederhana rendah akan dipinggirkan daripada infrastruktur ini.
4.3. Bas komuniti percuma di MBPJ dan MBSA penting dan perlu diperluaskan. Apa yang penting ialah untuk menggalakkan orang awam lebih mengguna bas daripada memandu dan bukannya sama ada bas itu bas elektronik atau tidak.

5.    Ops Integriti
5.1. Sanjungan tinggi kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kerana berani mengambil tindakan tegas kepada penjawat-penjawat awam yang lepak. Walaupun begitu, Ops Integriti hanya dilakkan di sekitar Shah Alam sahaja tetapi ianya sebenarnya perlu dijalankan di semua tempat, termasuk dan khususnya di Petaling Jaya.

6.    Tanah Rizab Melayu 
6.1. Saya pernah terbaca tentang statistik terhadap jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu di Selangor yang menunjukkan percanggahan dan perbezaan. Maka di sini saya menggesa Pejabat Tanah dan Galian Selangor untuk melihat semula data-data yang sedia ada dan memaklumkan kepada DUN berapa sebenarnya keluasan Tanah Rizab Melayu yang masih ada di Selangor sehingga sekarang.
6.2. Seterusnya dalam Manifesto, juga disebut tentang cadangan untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu. Maka adalah menjadi soalan saya tentang apakah rancangan yang ada pada kerajaan Selangor untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu?

7.    Prinsip keserdehanaan
7.1. Saya amat tertarik dengan titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang menyifatkan Baginda “sebagai payung menaungi seluruh rakyat Selangor dan memastikan tidak ada mana-mana kaum yang didiskriminasi atau dipinggirkan”.
7.2. Titah ucapan daripada Tuanku Sultan Selangor ini memberi keyakinan kepada semua rakyat Selangor, termasuk mereka yang bukan Muslim bahawa kebebasan mereka mengamal kepercayaan mereka tidak akan disekat.
7.3. Prinsip keserdehanaan telah diperjuangkan oleh kumpulan G25 yang terdiri daripada sekumpulan golongan elit daripada Masyarakat Melayu haruslah dialu-alukan oleh seluruh masyarakat Malaysia kerana prinsip keserdehanaan inilah yang membina sebuah negara Malaysia yang majmuk, aman dan damai selama 58 tahun Malaysia merdeka.

8.    Ancaman keganasan
8.1. Titah ucapan Tuanku Sultan Selangor juga memberi suntikan semangat kepada kita dalam perjuangan kita melawan kegiatan-kegiatan keganasan, lebih-lebih lagi apabila seluruh umat manusia sekarang terancam dengan keganasan yang dibawa oleh puak pelampau seperti ISIS dan Boko Haram.

9.    Tabung Biasiswa Khusus dan Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor
9.1. Mengapa hanya untuk anak-anak Selangor yang belajar di Unisel dan KUIS sahaja? Anak-anak Selangor yang belajar di IPTA dan IPTS juga harus diberi bantuan

10. Kecekapan pentadbiran tanah
10.1.             Tanah sebagai sumber terutama di negeri Selangor perlu diberi perhatian khusus. Sememangnya kerajaan telah mengambil banyak langkah dan usaha untuk memperkemaskan dan memantapkan pentadbiran tanah di Selangor. Sungguhpun begitu, rakyat masih perlu menunggu masa yang panjang sehingga berbulan-bulan untuk memproses satu transaksi tanah, khususnya geran strata, walaupun dokumen telah lengkap dan bayaran telah dijelaskan.
10.2.             Misalnya di Daerah Petaling, terdapat 455 permohonan pecah bahagi bangunan (hakmilik strata) yang masih diproses oleh Pejabat Tanah dan Daerah Petaling sejak tahun 2008, termasuk permohonan yang melibatkan PKNS.
10.3.             Bak pepatah kata “masa itu emas”, maka masa yang terlampau panjang untuk memproses hakmilik strata sudah tidak sesuai dengan keperluan rakyat dan para peniaga pada masa kini.

11. Gated and Guarded Community

11.1.             Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru memutuskan bahawa boom gate yang dipasang untuk tujuan keselamatan tidak boleh dianggap sebagai halangan yang menyalahi undang-undang. Maka Kerajaan Selangor dan PBT harus menggunakan peluang keemasan ini untuk mengemaskini dan mengawal selia semua Gated and Guarded Community yang ada di Lembah Klang.

No comments: