Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 3 November 2016 di Petaling Jaya:
Semalam dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2017 di DUN Selangor Shah Alam, isu kenaikan harga bahan api sebanyak 15sen/liter telah dibangkitkan dan ADUN Barisan Nasional (BN) ingin memberi gambaran bahawa rakyat harus bersyukur kerana cadangan asal adalah untuk menaikkan harga sebanyak 20sen/liter tetapi dikurangkan ke 15sen/liter atas arahan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
Kenyataan ini dibuat oleh Menteri Kewangan 2 Datuk Johari Abdul Ghani. Biarpun harga bahan api sekarang ditentukan oleh harga pasaran sedunia dan diubah setiap bulan, salah satu kelemahannya ialah formula kiraan harga yang tidak diketahui umum dan tidak telus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin cuba menjelaskan bahawa pengiraan harga bahan api adalah mengikut “mekanisme sistem apungan terkawal bahan api” yang bergantung kepada purata pasaran secara bulanan, contohnya purata perubahan pada kos produk bagi bulan semasa menentukan harga runcit pada bulan hadapan.
Biarpun begitu, maklumat terperinci seperti formula pengiraan mekanisme ini masih menjadi tanda soal sehingga ada yang bertanya-tanya kenapa harga tidak turun apabila harga pasaran sedunia jatuh ataupun kenapa harga tidak naik apabila harga pasaran sedunia naik?
Ataupun kerajaan tidak sebenarnya mempunyai formula yang tetap untuk membuat pengiraan? Kalau adapun, ianya akan tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri. Bukankah benar kalau harga bahan api betul-betul bergantung kepada perubahan harga pasaran sedunia, maka ianya tidak memerlukan campur tangan manusia?
Sekiranya ini berlaku, maka akan berlaku fenomena di mana jika harga akhir lebih rendah daripada harga pasaran, kerajaan mungkin perlu menanggung perbezaan harga dalam bentuk subsidi. Jika begitu, mengapakah kerajaan berkali-kali menyatakan bahawa subsidi bahan api telah ditarik balik?
Hakikatnya, apabila rakyat tidak tahu siapa bercakap benar dan siapa berbohong, rakyat tetap akan menanggung beban ekonomi yang semakin meruncing serta mengharungi kehidupan yang mencabar setiap hari. Sememangnya ADUN BN Selangor tidak ada alasan untuk berbangga hanya kerana penurunan daripada 20sen/liter ke 15 sen/liter. Selepas ini, tol sesetengah lebuhraya akan dinaikkan lagi selain kenaikan harga minyak masak. Rakyat tertanya-tanya, bilakah kerajaan akan berjujur dan memaklumkan cara pengiraan harga minyak?
Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku
No comments:
Post a Comment