Monday, October 23, 2017

Kerajaan persekutuan perlu mengakui bahawa langkah-langkah yang diambilnya selama ini untuk mengawal harga rumah di Malaysia, khususnya di Lembah Klang, telah gagal.

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 23 Oktober 2017 di Petaling Jaya:

Rakyat sekali lagi terkilan dengan laporan yang dihasilkan oleh Bank Negara Malaysia dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang lain terhadap keadaan harga rumah yang semakin melampung tinggi bukan sahaja di Lembah Klang, bahkan seluruh Malaysia.

Laporan terkini menyatakan bahawa harga rumah berbanding dengan pendapatan rakyat di Malaysia telah bertambah teruk daripada keadaan “seriously unaffordable” pada tahun 2014 kepada “severely unaffordable” pada tahun 2016, walaupun terdapat kenaikan gaji purata rakyat Malaysia.

Sementara itu, nisbah harga rumah kepada pendapatan untuk Malaysia telah meningkat daripada 4.4 pada tahun 2014 kepada 6.17 pada tahun 2016. Di Kuala Lumpur, nisbah ini pada tahun 2014 ialah 5.4. Angka ini telah meningkat ke 6.9 pada tahun 2016.


Kerajaan persekutuan perlu mengakui bahawa langkah-langkah yang diambilnya selama ini untuk mengawal harga rumah di Malaysia, khususnya di Lembah Klang, telah gagal. Sekiranya keadaan ini masih dibiarkan tanpa sebarang campur tangan dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2018, saya khuatif rakyat Malaysia, khususnya orang muda boleh melupakan sahaja impian untuk memiliki kediaman idaman masing-masing.

Maka, Kementerian Kewangan mesti memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan untuk mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmaan atau GST terhadap semua bahan-bahan pembinaan yang digunakan untuk membina rumah kediaman.

Walaupun pembeli rumah kediaman tidak perlu membayar GST apabila membeli rumah kediaman tetapi bahan-bahan pembinaan yang dibeli oleh pemaju tetap dikenakan cukai GST. 

Memandangkan bahan-bahan pembinaan ini juga digunakan oleh pemaju untuk membina rumah kediaman termasuk rumah mampu milik, sementara pemaju tidak boleh mengenakan cukai GST terhadap para pembeli, maka kos ini perlu ditanggung oleh pemaju sendiri. Sekiranya pemaju tidak dapat menampung kos GST ini, maka harga rumah akan dinaikkan dan akhirnya para pembeli rumah yang terpaksa menanggung kenaikan kos ini.

Beban pembeli rumah juga akan bertambah apabila kerajaan mengenakan levi yang terlampau tinggi terhadap keluli, di mana kos selepas levi di Malaysia ialah lebih kurang RM2800 setan, biarpun harga pasaran sedunia hanyalah sekadar RM1700 setan.

Selain itu, duti stem yang dikenakan untuk setiap jual beli rumah kediaman juga harus dihapuskan atau direndahkan memandangkan supaya kos untuk memiliki rumah kediaman boleh direndahkan lagi.

Kerajaan Persekutuan perlu belajar daripada Kerajaan Pakatan Harapan Selangor dalam pembangunan rumah mampu milik di mana Kerajaan negeri mengurangkan kadar premium tanah daripada 25 peratus kepada 10 peratus dan bersetuju menimbang permohonan untuk meningkatkan kepadatan kepada 120 unit untuk setiap ekar.

Kerajaan negeri juga bersetuju membatalkan caj pemajuan dan memastikan semua permohonan diberikan kelulusan dalam tempoh 60 hari. Ini ditambah lagi dengan dasar kerajaan Selangor untuk memberi insentif tambahan kepada pemaju yang hendak mendirikan rumah mampu milik di kawasan-kawasan Transit-Oriented Development (TOD).

Sekiranya kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan kerajaan Selangor untuk melaksanakan dasar-dasar pembaharuan secara bersama dalam pembangunan rumah mampu milik, nescaya harga rumah di Malaysia, khususnya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur akan meningkat sehingga mencapai tahap “severely unaffordable”. Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan cepat sebelum keadaan menjadi lebih gawat sehingga tidak dapat dikawal.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: