Monday, October 16, 2017

Memohon EXCO Agama Selangor dan JAIS mengambil tindakan undang-undang terhadap Zamihan Mat Zin

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 16 Oktober 2017 di Petaling Jaya:

Sementara orang ramai menyambut baik titah DYMM Tuanku Sultan Johor dan DYAM Raja Muda Perlis dalam isu kedai dobi hanya untuk orang Muslim serta titah Tuanku Sultan Johor berkenaan dengan ucapan seorang pendakwah JAKIM yang bernama Zamihan Mat Zin, saya memohon pihak EXCO Agama Islam Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zamihan Mat Zin, walaupun Zamihan masih disiasat polis di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

Ucapan Zamihan di Masjid Tengku Empuan Jemaah, Bukit Jelutung, Shah Alam pada 9 Oktober 2017 juga boleh disiasat dan didakwa di bawah s.298A(1) Kanun Keseksaan dan s.10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Seksyen tersebut memperuntukkan perkara seperti berikut:

“Seksyen 10. Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam.

Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:-

(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;

...

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Selain daripada melarang Zamihan memberi kuliah agama di semua masjid dan surau di Selangor, seperti mana yang telah dilakukan oleh JAIS sebelum ini, tindakan lanjutan ini sememangnya diperlukan. Harus diingatkan bahawa Enakmen ini hanyak terpakai kepada orang-orang Islam sahaja di bawah S.1(2).

Saya juga melihat tindakan undang-undang di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah diperlukan supaya ucapan Zamihan tidak akan memberi kesan negatif terhadap imej dan ajaran agama Islam di kalangan bukan Muslim di Selangor, apatah lagi ucapannya bukan sahaja dikritik DYMM Tuanku Sultan Johor khasnya tetapi juga di kalangan masyarakat Muslim amnya.

Selain itu, pertubuhan yang diketuai oleh Zamihan, iaitu Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) juga perlu disiasat bukan sahaja oleh PDRM dan JAIS, tetapi juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah peruntukan undang-undang yang sama di mana laman Facebook pertubuhan tersebut masih memaparkan rakaman video ucapan Zamihan. (Sila rujuk https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1970441759839850&id=1428326364051395 )

Diharap EXCO Agama Islam daripada Parti Islam Se-Malaysia ini akan menjalankan tugasnya untuk mengelakkan imej Islam daripada tercalar di kalangan masyarakat bukan Muslim di Selangor akibat ucapan Zamihan ini.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: