Thursday, August 08, 2019

Menjawab Asyraf Wajdi Dusuki dalam isu seni khat.

Kenyataan Media ADN Banting (DAP) Lau Weng San pada 8 Ogos 2019 di Banting, Kuala Langat: 


Gambar Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (AWD) mengiring anaknya untuk melaporkan diri ke sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada tahun lepas kuat tular di media sosial. Ramai yang bertanya-tanya kenapa anak kepada mantan Menteri dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK), tetapi memilih SJKC pula?

Kita sedia maklum bahawa Datuk Dr AWD telah mengulas bahawa tujuannya adalah untuk mendedahkan anak saya agar mampu bergaul mesra dengan pelajar berbangsa Cina di SJKC yang masih berpaksikan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Beliau juga mempertahankan tindakannya ini sebagai menunjukkan bahawa beliau bukan seorang rasis.

Semalam di suratkhabar Sinar Harian, beliau menulis dan mempertikaikan kewajaran pihak-pihak tertentu menentang pengenalan seni khat dalam mata pelajaran Darjah Empat tahun depan dengan memainkan sentimen perkauman, agama dan cauvinisme di kalangan rakyat sehingga menimbulkan kekeliruan.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa terdapat kekeliruan antara pembelajaran tulisan Jawi dengan seni khat kerana apa yang cuba diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan bukanlah pembelajaran tulisan Jawi tetapi hanya penghayatan dan apresiasi seni khat sahaja.

Biarpun begitu, saya jangka Datuk Dr AWD sebagai bapa kepada seorang anak yang belajar di SJKC, pastinya beliau faham akan beban dan tanggungan pembelajaran yang dihadapi oleh anaknya di sekolah.


Sukar untuk kita bayangkan berapa banyak dan beban pembelajaran anak melainkan kita sendiri mengalaminya. Saya sempat bertanyakan guru-guru besar yang mengajar di SJKC dan memahami situasi pembelajaran sebenar yang semakin mencabar pada zaman kini.

Jikalau anak-anak kita memerlukan masa yang lebih untuk menguasai bahasa ibunda, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, adakah kemasukan elemen seni bahasa ini akan memperkukuhkan penguasaan dan minat pembelajaran murid-murid terhadap bahasa yang dipelajari? Ini ialah kemusykilan yang dibangkitkan oleh para pendidik.

Soalan ini bukan sahaja ditujukan kepada seni Khat sahaja tetapi elemen seni bahasa yang sedia ada di dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda.

Maka, suara bantahan daripada golongan tertentu di dalam masyarakat bukannya tidak berasas dan tidak boleh dilihat dari sudut kaca mata perkauman dan agama semata-mata. 

Kepada Datuk Dr. AWD, mereka berbeza pendapat dengan anda bukan kerana mereka rasis dan anda bukan, tetapi kerana mereka bimbang dengan beban pembelajaran di atas bahu anak-anak yang semakin bertambah.

Saya yakin Datuk Dr. AWD sebagai bapa kepada seorang murid SJKC pasti akan merasainya. Maka tidak perlulah untuk membuat pelbagai spekulasi politik bahawa tentangan ini mungkin berkaitan dengan “persoalan parti politik” tertentu.

Lau Weng San

No comments: