Sunday, April 27, 2008

Pemindahan wang Balkis ke dalam akaun Bakti tidak sah

Saidah Hairan
Sun | Apr 27, 08 | 10:28:57 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 April (Hrkh) - Pemindahan wang Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) ke dalam akaun Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) tidak sah di sisi undang-undang.

Peguam, Mohamad Khairuddin Othman menegaskan perpindahan wang itu tidak sah disebabkan ia dilakukan selepas Umno-BN mengalami kekalahan dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Menurut beliau, antara syarat perlembagaan Balkis isteri Menteri Besar mesti mempengerusikan persatuan itu.

Sehubungan itu katanya, bekas isteri Menteri Besar Datin Seri Zaharah Kechik secara outamatik tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun Bakti.

Katanya, pemindahan wang Balkis ke dalam akaun Bakti itu dianggap sebagai suatu kes jenayah atau penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

"Zaharah tidak ada kuasa untuk memindahkan wang tersebut apatah lagi menutup persatuan itu," katanya.

Beliau menasihatkan supaya wang tersebut dipulangkan semula ke dalam akaun Balkis.

Bakti terbabit dalam kontroversi penyaluran wang RM9.9 juta daripada Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) selepas ia cuba dibubarkan pada 13 Mac.

Ketika Umno-BN berkuasa di Selangor, Balkis dipengerusikan oleh isteri bekas menteri besar Dato' Mohd Khir Toyo.

No comments: