Friday, April 18, 2008

Sentral: Keselamatan terancam



Oleh Farah Marshita Abdul Patah (Berita Harian)

BIMBANG: Penduduk di Jalan 22/51, Petaling Jaya terdedah bahaya jenayah dan ular dari semak di belakang perumahan.

Penduduk Jalan 22/51 bimbang nyawa terancam minta pihak berkuasa tangani kejadian pecah rumah

PETALING JAYA: Penduduk Jalan 22/51, di sini, sudah mula hilang sabar dan tidak tahan lagi menanggung kesengsaraan akibat tahap keselamatan di kawasan itu yang rendah menyebabkan mereka sering diancam kejadian jenayah seperti pecah rumah, ragut dan kecurian harta benda.

Masalah itu sudah beberapa kali diutarakan kepada pihak berkenaan kerana bimbang berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini yang boleh meragut nyawa.

Dakwa mereka, aduan yang dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hanya sampai ke peringkat pihak berkenaan mengesahkan menerima surat tanpa mengambil sebarang tindakan lanjut.

Tinjauan Sentral ke kawasan itu baru-baru ini mendapati, sekeping tanah kosong berhampiran kawasan perumahan itu menjadi sarang penagih dadah berkumpul dan melepaskan ketagihan.

Akibatnya, rumah penduduk dijadikan sasaran dan mereka mencuri bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Pencuri di kawasan itu juga dikatakan sering melakukan aktiviti pecah rumah ketika waktu hujan bagi mengelak dikejar dan untuk memudahkan pergerakan mereka.

Penduduk, Surinder Kaur, 29, berkata dalam setahun, tiga kejadian pecah rumah dilaporkan menyebabkan penduduk berasa takut meninggalkan rumah ketika keluar bekerja.

“Masuk tahun ini, sudah tiga kali rumah saya dimasuki pencuri menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian.

“Kejadian terbaru berlaku bulan lalu sewaktu kami sekeluarga keluar menziarahi saudara,” katanya.

Beliau berkata, sudah banyak aduan diajukan kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan.

Lebih membimbangkan, kawasan yang dipenuhi lalang itu turut menjadi sarang pembiakan ular menyebabkan penduduk melarang anak mereka bermain dengan bebas di kawasan belakang rumah.

Ular di kawasan itu dikatakan sering memasuki rumah penduduk melalui pintu atau tingkap yang terbuka.

Suri rumah, Rosie Tan, 50, berkata penduduk kini tidak berani membuka pintu selepas seorang penduduk menjumpai ular tedung berkeliaran di belakang rumahnya.

“Sejak tinggal di kawasan perumahan ini empat tahun lalu, saya dapati kawasan itu sudah lama ditinggalkan kosong menyebabkan lalang terbiar setinggi lebih satu meter.

"Sehubungan itu, kami mohon kepada MBPJ supaya mengambil tindakan membersihkan belukar di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Tanah perkuburan Islam berhampiran juga dikatakan menjadi sarang mat rempit dan penagih dadah terutama pada waktu malam kerana tiada pagar yang menutup kawasan itu bagi menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan berkenaan.

Penagih dadah di situ turut membuat pondok dan mencuri batu nesan marmar yang dipasang di atas kubur berkenaan.

Selain itu, penduduk mendakwa, longkang di kawasan berkenaan dibina sambil lewa mengakibatkan longkang menjadi tidak sekata dan air tidak dapat mengalir terus ke longkang terutama ketika hujan.

Kerja penyelenggaraan yang dilakukan Indah Water Konsortium (IWK) untuk memperbaiki sistem pembetungan turut menyebabkan penutup lubang dinaikkan lebih tinggi dari paras jalan yang menyukarkan kenderaan untuk memasuki kawasan berkenaan.

Akibatnya dakwa penduduk, pihak polis yang melakukan rondaan terpaksa memberhentikan operasi bagi mengelakkan kerosakan ke atas kereta peronda.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata MBPJ perlu menangani segala masalah yang dihadapi penduduk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pihak berkuasa perlu bertindak dengan segera dengan memberikan perhatian yang sewajarnya, kerana penduduk di kawasan ini sudah terlalu lama menderita, ada di antara mereka yang sudah mendiami kawasan ini selama 40 tahun,” katanya

Lau berkata, beliau akan memastikan rungutan penduduk dibawa kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat.

No comments: