Wednesday, July 14, 2010

Ucapan membahas Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) pada 14 Julai 2010:

Hari ini, Selangor mencipta sejarah sebagai negeri yang pertama yang menggubal undang-undang tentang Kebebasan Maklumat, sekali lagi mendahului Kerajaan Persekutuan dalam menggubal undang-undang yang memupuk semangat Ketelusan, Kecekapan dan Beramanah.
Apa yang menyedihkan ialah Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 di mana orang ramai tiada akses terhadap sebarang maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah akta ini walaupun sesuatu maklumat itu mempunyai kepentingan awam untuk didedahkan. Maka saya menggesa kepada Dato’ Menteri Besar untuk menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyahklasifikasikan maklumat-maklumat yang mempunyai kepentingan awam.
Pertama, saya meminta supaya diterangkan dengan jelas sama ada perkataan “jabatan kerajaan” juga bermaksud “agensi-agensi, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat kerajaan negeri”. Memang menjadi harapan saya supaya agensi-agensi, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat kerajaan negeri juga dimasukkan ke dalam takrifan ini.
Kedua, Seksyen 6(3) menetapkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan fi terhadap setiap permohonan yang dikemuka. Apa yang membimbangkan saya ialah mungkinkah peruntukan ini disalahguna oleh Pihak berkuasa Negeri mengenakan fi atau bayaran yang terlampau tinggi terhadap sesuatu permohonan yang ringkas dengan tujuan untuk mengelakkan maklumat yang dipohon itu daripada diperolehi oleh orang ramai?
Kita sedia maklum bahawa jika fi yang yang ditetapkan terlalu tinggi, ianya tidak menggalakkan akses kepada maklumat. Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memperincikan perkara ini kerana perkara tentang fi ini merupakan satu “double edge sword” supaya ianya tidak disalahgunakan untuk melindungi sesuatu maklumat yang mempunyai kepentingan awam daripada diperolehi orang ramai? Sebagai satu cadangan, saya menggesa supaya diwujudkan satu bayaran maksimum.
Ketiga, jikalau maklumat itu telah dipohon dan diberi kepada pemohon, adakah pemohon berhak untuk menyediakan salinan kepada orang lain atau pihak ketiga? Bolehkan pemohon membuat salinan fotokopi? Adakah tindakan fotokopi ini mencabuli hakmilik cetak pemilik asalnya, iaitu kerajaan negeri, yang dilindungi oleh Akta Hak Milik 1987?
Keempat, walaupun enakmen ini hanya dikuatkuasakan terhadap jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri, adakah ianya termasuk agensi-agensi dan badan-badan berkanun yang beroperasi di bawah kerajaan negeri juga? Bagaimana dengan jabatan kerajaan yang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya?
Kelima, di bawah enakmen ini, berapa ramai Pegawai Maklumat yang akan dilantik? Adakah Pegawai Maklumat tertakluk kepada apa-apa bentuk semakan? Jika tidak, saya meminta supaya Pegawai Maklumat dan Lembaga Rayuan ini bertanggungjawab kepada EXCO dan EXCO perlu membentangkan satu laporan tahunan ke Dewan yang Mulia ini setiap tahun berhubungan dengan kerja Pegawai Maklumat dan Lembaga Rayuan.
Keenam, adakah enakmen ini mempunyai kesan retrospektif? Kita juga sedia maklum bahawa terdapat dokumen-dokumen dan perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta yang mengandungi klausa-klausa tertentu untuk melindungi kandungan perjanjian daripada didedah atau diberi kepada orang ramai, contohnya Perjanjian Konsesi Air yang ditandatangani di antara Syabas, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Apa akan berlaku kepada perjanjian atau dokumen ini?
Ketujuh, maklumat-maklumat tertentu perlu diperbuat supaya ianya tidak boleh dijadikan sebagai rahsia rasmi dan boleh diperolehi dengan mudah di bawah enakmen ini. Contoh: Minit mesyuarat majlis mesyuarat penuh PBT, minit mesyuarat Pejabat Tanah dan Daerah, surat-menyurat antara jabatan kerajaan.
Kelapan, kesalahan terhadap mereka yang cuba melengah-lengahkan pemberian sesuatu maklumat walaupun sudah diluluskan perlu dihukum.
Saya berharap Exco dan Jawatankuasa Pilihan yang akan ditubuhkan untuk meneliti enakmen ini wajar meneliti masalah-masalah yang dibangkitkan saya tadi.

No comments: