Saya ingin mengambil perhatian media dan orang ramai terhadap satu Surat Pekeliling Ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran bertarikh 12 Februari 2010 yang mengarahkan semua Pengetua dan Guru Besar sekolah menghentikan pelaksanaan sistem pilihanraya bagi memilih Ketua Murid di sekolah.
Surat Pekeliling Ikhtisas ini boleh dimuat-turun melalui lama web Kementerian Pelajaran melalui sini. Isu ini juga telah dilaporkan oleh rakan seperjuangan saya, YB Hannah Yeoh, ADUN Subang Jaya dalam blog beliau.
Ini merupakan satu perbuatan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi. Negara Malaysia bukan negara Komunis dan diktator. Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pelajar-pelajar kita perlu diterap dan dididik dengan nilai dan semangat demokrasi.
Proses pemilihan ini boleh dijalankan satu cara untuk melatih pelajar-pelajar untuk hidup berdikari supaya mereka dapat berfikir dengan matang dan menentukan pilihan mereka sendiri.
Saya bimbang dengan pelaksanaan perintah ini, maka sistem pendidikan kita yang lesu kerana berorientasikan peperiksaan akan menjadi tenat di mana kita gagal melahirkan modal insan yang dapat berfikir.
Pelajar-pelajar sekolah menengah harus diberi peluang untuk memilih ketua murid mereka, sebagaimana yang dijalankan sebelum ini dan ianya tidak membangkitkan masalah yang besar kepada sekolah dan pelajar-pelajar sendiri.
Selain itu, Surat Pekeliling Ikhtisas ini turut memperlihatkan kelemahan-kelemahan seperti berikut:
(1) Tidak membezakan antara sekolah menengah dan sekolah rendah walaupun saya mengakui bahawa ketua murid wajar dilantik di peringkat sekolah rendah.
(2) Ketua murid boleh bermaksud ketua kelas dan Ketua Pengawas. Amat tidak masuk akal jikalau ketua kelas juga dipilih oleh guru dan pentadbiran sekolah dan bukan dipilih oleh pelajar-pelajar sekalian. Pemilihan ketua murid dan ketua kelas sudah dijalankan selama ini dan sudah menjadi satu norma dalam sistem pendidikan kita.
(3) Apakah rasionalnya kita memberhentikan peluang kepada pelajar-pelajar kita untuk memilih ketua mereka sedangkan kerajaan persekutuan pula melonggarkan syarat-syarat unutk membenarkan guru aktif dalam politik?
Oleh itu, saya meminta Kementerian Pelajaran menarik balik Surat Pekeliling Ikhtisas ini.
No comments:
Post a Comment