Saturday, September 18, 2010

Laporan polis terhadap fitnah Utusan Malaysia dan Mohd. Azhid Md. Arip


Laporan polis oleh Setiausaha DAP Selangor dan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 18 September 2010 di Petaling Jaya:

Laporan polis terhadap fitnah Utusan Malaysia dan Mohd. Azhid Md. Arip

Saya di sini ingin membuat satu laporan polis terhadap Utusan Malaysia dan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (PKR) Mohd. Zahid Md. Arip yang cuba mengaitkan pembunuhan jutawan kosmestik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dengan DAP dengan memfitnah bahawa suspek kes pembunuhan ini merupakan ahli seumur hidup DAP.

Saya ingin membuat laporan polis bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Mohd. Zahid Md. Arip dan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia adalah tidak berasas dan bertujuan memburuk-burukkan DAP melalui fitnah.

Suspek itu tidak pernah menjadi ahli DAP, apa lagi menjadi ahli seumur hidup, sesetengah pihak cuba menjadikan pembunuhan itu sebagai isu perkauman di negara ini.

Oleh itu, saya membuat laporan polis dan meminta pihak polis menyiasat akhbar itu dan Mohd Zaid yang meninggalkan PKR pada tahun 2006 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Di sini, saya melampirkan laporan Utusan Malaysia pada 16 September lalu memetik Mohd Zahid yang melabelkan DAP sebagai “hiprokit” kerana lambat membidas pembunuh Sosilawati dan tiga yang lain.

Berikut petikan dua perenggan yang menjadi pertikaian itu:

Dalam pada itu, Mohd Zahid mempersoalkan kenapa DAP langsung tidak bersuara bagi mengutuk pembunuhan kejam tersebut, sedangkan sebelum ini parti berkenaan gah mendakwa organisasi mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua pihak.

Mohd Zahid juga dilaporkan berkata: "Apakah tindakan membisu ini mempunyai kaitan dengan dakwaan yang mengatakan bahawa suspek utama adalah ahli seumur hidup parti tersebut. Jika benar (dakwaan itu), ternyata DAP sebuah parti hipokrit yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum tertentu sahaja."

DAP berpendapat bahawa semua pihak tidak harus menggunakan isu sosial ini sebagai isu politik dan polis harus diberi peluang untuk menyelesaikan siasatan mereka. Lebih-lebih lagi, polis telah menahan suspek yang berkenaan dan siasatan masih berjalan dan semua pihak harus membiarkan proses perundangan berjalan lancar.

Lau Weng San

No comments: