Tuesday, June 28, 2011

RM17juta Dibelanjakan Untuk Lawatan Rasmi PM Dan Isteri Dalam Tiga Tahun Membuktikan Cogan Kata 1Malaysia Hanya Untuk Mengaburi Mata Rakyat

Dalam ketika rakyat seluruh Malaysia teruk menghadapi kesan kenaikan harga barangan dan inflasi, rakyat kini dikejutkan dengan berita bahawa sebanyak RM17 juta wang rakyat telah dibelanjakan untuk lawatan rasmi Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan Isterinya Rosmah Mansor dalam masa tiga tahun dari 2008 hingga Jun 2011.

Jawapan ini diberi oleh Jabatan Perdana Menteri semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat semalam dan ini menunjukkan bahawa cogan kata “1Malaysia” yang dilaung-laungkan oleh Najib dan Barisan Nasional hanya cogan kata yang tidak bermakna kerana kesusahan rakyat tidak ditanggung bersama, malahan wang rakyat pula digunakan oleh golongan pemerintah untuk keselesaan hidup mereka.

Kerajaan berkali-kali mengingatkan rakyat bahawa subsidi bahan-bahan makanan dan bahan api perlu dikurangkan kerana kerajaan menghadapi defisit kewangan yang runcing. Walaupun begitu, rakyat tidak faham mengapa kerajaan Barisan Nasional begitu beria-ia hendak mengurangkan subsidi sedangkan pemimpin-pemimpin besar BN mampu menggunakan wang rakyat untuk melancong ke luar negara sampai jutaan ringgit malahan puluhan jutaan ringgit dibelanjakan.

Dalam kes ini, wang sebanyak RM17juta ini memang boleh digunakan untuk mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat, misalnya wang ini boleh digunakan untuk membina sekurang-kurangnya 4 buah hospital besar, 6 buah sekolah. Malahan ianya boleh digunakan untuk menanggung sebahagian daripada subsidi bahan api.

Kerajaan pusat mesti member jawapan kepada seluruh rakyat bagaimana wang sebanyak RM17juta ini digunakan oleh Perdana Menteri dan Isterinya. Rakyat juga berhak bertanya adakah ini perbelanjaan bersih setiap kali PM dan isterinya melawat ke luar negara ataupun perbelanjaan pegawai-pegawai kerajaan yang lain pun belum lagi dikira.

Rakyat juga ingin tahu apakah hasil lawatan dan pulangan yang mampu dibawa balik oleh PM dalam setiap lawatan. Adakah pulangan dan hasil-hasil lawatan ini setimpal dan berbaloi dengan wang yang dibelanjakan dalam setiap lawatan? Adakah kos lawatan rasmi PM dan isterinya seperti lawatan kedua-duanya ke majlis konvokesyen dan majlis perkahwinan anak-anak mereka turut menggunakan wang rakyat?

Pada ketika pemimpin-pemimpin BN hidup dalam keadaan serba mewah, pemimpin-pemimpin PR pula hidup dalam keadaan sederhana. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masih menaiki kapal terbang tambang murah seperti Air Asia atau FireFly dalam menjalankan urusan rasminya untuk menjimatkan wang rakyat. Ini menunjukkan perbezaan yang begitu ketara antara BN yang hanya pandai bermain-main dengan cogan kata “1Malaysia” dengan PR yang bekerja keras, bersih dan jujur dalam pentadbirannya.

No comments: