Tuesday, September 06, 2011

PM Perlu Jelas Sebab Beliau Bercuti Di Perth Pada 31 Ogos

Adalah amat menggemparkan kita semua apabila dilaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak bercuti di Perth, Australia pada 31 Ogos iaitu Hari Kebangsaan Malaysia. Saya meminta PM untuk memberi penjelasan terhadap perkara ini, iaitu mengapa beliau memilih untuk bercuti di luar negara pada hari Merdeka di mana beliau sepatutnya berada di Malaysia untuk meraihkan hari yang bermakna ini.

Selain itu, sepanjang cuti Hari Kebangsaan dan Hari Raya ini, berlaku peristiwa hitam di mana jurukamera Berita Nasional Malaysia (Bernama) Noramfaizul Mohd Nor, 39 tahun, terkena peluru liar di Somalia pada 2 September 2011 dan meninggal dunia apabila beliau sedang bertugas untuk membuat liputan terhadap bantuan kemanusian anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) ke negara yang bergolak itu. Seorang lagi pemberita TV3, iaitu Aji Saregar Mazlan pula cedera.

Apa yang kesal ialah wakil kerajaan persekutuan yang pertama member komen terhadap perkara ini ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih berada di Malaysia semasa kejadian ini berlaku. Jejak PM menjadi misteri pada masa itu sehinggalah jenazah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor diterbangkan balik ke pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada 4 September, barulah rakyat Malaysia tahu daripada laporan media aliran utama bahawa PM memendekkan cutinya di Perth untuk pulang menghadiri solat jenazah di Masjid TUDM Subang.

Alangkah sedihnya apabila Noramfaizul mati di perantauan atas nama “1Malaysia” manakala Bapa “1Malaysia” pula pandai menggunakan masa lapangnya untuk bercuti di luar negara semasa peristiwa hitam ini berlaku.

Sebenarnya, Najib sebagai pemimpin utama kerajaan persekutuan hanya memilih untuk menggunakan media sosial bagi menyampaikan mesej Hari Kebangsaannya. Ini berbeza dengan para PM sebelum ini di mana mereka sama ada akan muncul di kaca televisyen untuk menyampaikan ucapan Hari Kebangsaan ataupun menghadiri acara-acara menyambut Hari Kebangsaan di ibu kota.

Justeru itu, berita bahawa PM tiada di dalam negara pada Hari Kebangsaan tersebar luas. Jikalau ini benar, maka Najib telah mencipta satu lagi rekod dunia kerana saya percaya tiada satu pemimpin kerajaan di dunia ini yang memilih untuk bercuti di luar negara pada Hari Kebangsaannya. Ini barangkali kali yang pertama berlaku di Malaysia.

Tepuk dada tanya selera. Saya meminta PM untuk menjelaskan perkara ini. Jangan pula beliau cuba mengelak daripada menjawab soalan ini.

No comments: