Sunday, May 19, 2013

Kerajaan Persekutuan harus serah balik Kuala Lumpur kepada Selangor

Kerajaan Persekutuan harus menyerah balik pentadbiran Kuala Lumpur kepada Kerajaan Negeri Selangor setelah memerintah bekas tanah jajahan Selangor tersebut sejak lebih 39 tahun yang lalu.

Pada tahun 1974 Menteri Besar UMNO pada masa itu telah membuat keputusan untuk menyerah seluruh Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan atas sebab-sebab politik dan juga atas sebab kononnya kerajaan persekutuan hendak menaiktaraf Kuala Lumpur sebagai sebuah “wilayah persekutuan”.

Kuala Lumpur kemudian diletakkan di bahawa pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diketuai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Selama 39 tahun Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan kurang berkesan dalam memperbaiki pentadbiran Kuala Lumpur sehingga DBKL pernah sekali ianya diambil alih oleh Pemudah kononnya untuk "merawat" DBKL.

Hal ini sedemikian kerana Bandaraya Kuala Lumpur ditadbir dengan cara pemusatan kuasa di tangan Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuan. Apabila keputusan untuk menyerah Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan, rakyat Kuala Lumpur juga tidak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan mereka. Malahan seluruh keputusan untuk menyerah Kuala Lumpur kepada Kerajaan persekutuan dilakukan dengan tergesa-gesa pada tahun 1974.

Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan sudah mempunyai Putrajaya sebagai pusat pentadbirannya untuk menggantikan Kuala Lumpur di mana Putrajaya sebelum ini sebahagian daripada negeri Selangor. Malahan pampasan yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Selangor atas "pemberian" Kuala Lumpur hanya setakat RM200 juta sahaja pada tahun 1974. Manakala Kerajaan Selangor hanya menerima kehilangan hasil sebanyak RM18.3 juta daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun sebagai "Kehilangan Hasil Wilayah Persekutuan".

Jika Kerajaan Persekutuan sudah ada Putrajaya, maka Kerajaan Persekutuan harus memulangkan Kuala Lumpur kepada Selangor. Kuala Lumpur ibaratkan darah daging negeri Selangor. Ianya bukan sahaja secara fizikal dekat dengan Selangor, malahan banyak peristiwa bersejarah di Selangor berlaku di Kuala Lumpur. Tujuan saya mengulangi seruan ini adalah untuk mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa mereka tidak boleh terus mendiamkan diri dalam perkara ini. Malahan, Kerajaan Persekutuan harus mengakui peranan Kerajaan Selangor di dalam pembangunan Kuala Lumpur yang mesti diberi penghormatan dan pengiktirafan yang sepatutnya.

No comments: