Tuesday, May 28, 2013

Perbandingan Zulkifli Noordin dengan menggunakan pertandingan badminton mencerminkan beliau jahil tentang ketidakadilan sistem pilihanraya Malaysia

Semalam Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Zulkifli Noordin, menghasilkan satu rencana yang telah dicetak di dalam Utusan Malaysia semalam. Beliau dalam rencana yang bertajuk “Mitos undi popular PRU-13” ini telah menggunakan pertandingan badminton untuk menyangkal dakwaan Pakatan Rakyat (PR) tentang ketidakadilan sistem “first-past-the-post” di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). 

Beliau telah menghasilkan tulisan seperti yang berikut dan saya memetik: 
“Bayangkan dalam pertandingan akhir badminton Piala All-Malaysia di mana Datuk Seri Najib Tun Razak menentang Anwar, keputusannya seperti berikut: 
1. Set 1 - Najib 21 Anwar 19;
2. Set 2 - Anwar 21 Najib 03;
3. Set 3 - Najib 21 Anwar 19. 
Apabila pengadil mengumumkan Najib menang dengan 2-1, Anwar tiba-tiba bangkit melalak mendakwa dia patut menang kerana mendapat 59 poin atau 57% daripada jumlah keseluruhan point pertandingan (sebanyak 104); sedangkan Najib hanya mendapat 45 point atau 43% daripada keseluruhan point pertandingan!” 
Tulisan ini mencerminkan kejahilan Zulkifli Noordin tentang ketidakadilan sistem politik Malaysia di mana ianya semakin tenat di bawah pemerintahan BN lebih daripada 50 tahun. 

Saya terkejut kerana Zulkifli Noordin tergamak menggunakan pertandingan badminton sebagai tolok perbandingan. Memang itu peraturan pertandingan badminton tetapi adakah Zulkifli Noordin tahu bahawa pengadil dalam permainan badminton perlu berlaku adil dan saksama? Adakah beliau juga tahu bahawa kedua-dua pihak yang bertanding dalam pertandingan badminton sebenarnya bermain dalam gelanggang yang sama rata dan adil (level playing field)? 

Sistem pilihanraya Malaysia telah kehilangan kedua-dua aspek yang sangat penting ini untuk memelihara keadilan dan kebebasan perjalanan pilihanraya. Memang Malaysia menggunakan cara “first-past-the-post” seperti United Kingdom, tetapi masalah di Malaysia ialah perbezaan saiz sesuatu kawasan parlimen berbanding dengan sebuah yang lain adalah terlalu besar. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi pelbagai alasan. Antaranya kawasan parlimen di luar bandar disempadankan dengan lebih kecil untuk memudahkan wakil rakyatnya memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat luar bandar. Hakikatnya ialah sesama kawasan parlimen luar bandar pun terdapat perbezaan yang amat ketara. Contohnya ialah kawasan parlimen Hulu Selangor yang mempunyai lebih 80,000 orang pengundi sementara kawasan parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam hanya separuh daripada Hulu Selangor biarpun kesemua kerusi ini terletak di kawasan luar bandar. 

Selain itu, PR juga tidak diberi akses yang adil dan saksama oleh media aliran utama, khususnya media cetak, stesyen televisyen dan radio berbahasan Malaysia dan Inggeris. Ini menjadikan PR menghadapi masalah untuk menyampaikan dasar-dasarnya kepada masyarakat luar bandar yang rata-ratanya bergantung kepada media cetak untuk mendapatkan maklumat tentang pilihanraya. Tidak perlu disebut pula masalah politik wang, pengundi-pengundi hantu dan masalah-masalah lain yang telah dan akan dibangkitkan oleh calon-calon tertentu dalam petisyen pilihanraya mereka. 

Bagaimanakah keadaan yang senget dan berat sebelah ini boleh dibandingkan dengan pertandingan badminton yang mempunyai peraturan yang jauh lebih adil? Barangkali hanya Zulkifli Noordin sahaja yang mempunyai jawapannya yang tersendiri sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak terima bagaimana BN boleh memerintah Malaysia dengan hanya 47% undi sedangkan 51% pengundi telah memilih PR. 

Lau Weng San

No comments: