Friday, May 31, 2013

Larangan motosikal masuk bandar tidak masuk akal, tidak adil dan diskriminasi terhadap golongan penunggang motosikal


Cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk malarang kemasukan motosikal ke sesetengah zon di bandar-bandar besar yang akan dikategori sebagai “zon selamat” ialah satu cadangan drastik yang tidak masuk akal dan tidak adil kepada para penunggang motosikal. Malahan cadangan ini juga satu cadangan yang bersifat diskriminasi terhadap penunggang-penunggang motosikal di Malaysia. 

Sebagai seorang penunggang motosikal, saya akan menentang dasar ini habis-habisan bukan kerana ianya dasar yang tidak masuk akal, tidak adil dan diskriminasi, malahan saya berpendapat ianya langsung tidak menyelesaikan masalah jenayah jalanan (street crime).

Cadangan ini adalah tidak masuk akal seolah-olah pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal membanteras kegiatan jenayah sehingga mereka perlu melarang kemasukan motosikal ke dalam kawasan bandar. Jika logik ini boleh diterima, mengapakah polis tidak melarang penggunaan senjata-senjata seperti parang, pisau yang juga boleh disalahguna untuk kegiatan jenayah? 

Cadangan ini tidak masuk akal kerana ianya akan menjejas sesetengah sektor perkhidmatan di pusat-pusat bandar seperti perkhidmatan kourier, perkhidmatan penyampaian (delivery services) dan perkhidmatan pos. Bagaimana surat, dokumen dan barang-barang kourier yang dikirim ke alamat-alamat di dalam “zon selamat” dapat dihantar tepat pada masanya tanpa menggunakan motosikal? 

Cadangan ini tidak adil kerana ianya pasti akan menjejas sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah dan golongan pekerja. Mereka terpaksa bergantung kepada kenderaan kecil seperti motosikal untuk berulang-alik antara rumah dengan tempat kerja kerana motosikal menawarkan cara pengangkutan yang murah, cekap dan efisyen lebih-lebih lagi kehidupan golongan pekerja semakin terhimpit dengan kos kehidupan yang meningkat dan gaji yang rendah. Ini bertambah teruk apabila golongan pekerja tidak boleh bergantung kepada pengangkutan awam di Malaysia yang masih berada di takuk lama. 

Cadangan ini juga ialah satu bentuk diskriminasi terhadap penunggang motosikal. Mengapakah golongan penunggang motosikal perlu dipersalahkan sedangkan terdapat cara-cara lain untuk menyelesaikan masalah ini? Misalannya, kerajaan harus membina lebih banyak lorong motosikal di kawasan bandar agar pejalan-pejalan kaki dapat dipisahkan daripada laluan motosikal. Bukankah cara ini jauh lebih efektif dan berkesan dalam mengurangkan jenayah jalanan? 

Malahan lebih banyak lorong motosikal perlu dibina untuk memisahkan penunggang-penunggang motosikal daripada pengguna-pengguna jalan raya yang lain demi mengurangkan kadar maut penunggang motosikal. 

Apabila Tan Sri Khalid Abu Bakar menyebut tentang adanya beberapa bandar di luar Negara yang melarang kemasukan motosikal ke dalam kawasan bandar, soalan timbul sama ada larangan ini dikeluarkan atas alasan yang sama? Kalan ada, beliau harus namakan bandar-bandar ini. Jika ya, soalan yang kedua ialah adakah ianya berkesan dalam mengurangkan jenayah jalanan? 

Barangkali Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu memberi penjelasan yang lebih mendalam tentang cadangan ini sebelum beliau membawanya untuk pertimbangan dan pelaksanaan selanjutnya oleh agensi-agensi kerajaan yang lain. Jika tidak, ianya hanya akan mengundang lebih banyak kritikan daripada kaum penunggang motosikal. Lau Weng San

2 comments:

otaklunyai said...

bila malas nak guna otak ... ambil jalan mudah... tak peduli rakyat susah...

sazaleeahya said...

Ini cadangan dr org yg dh tak tau nk brfikir!Jenayah ragut bkn saja berlaku di dlm bandar tp jg di kpg2.Tk kn lh itu je cara yg ada.Satu hr nanti dia akan cadang kn supaya semua kedai emas utk tidak mempamer kn brg2 kemas jualan mereka.Cukup sekadar mempamer kn gambar2 shj.Just wondering,what do they have in their skull,BRAINS or COW DUNG!