Apabila inkues kes kematian mendiang Teoh Beng Hock masih berjalan, peguam Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak telah mendedahkan akaun mendiang Teoh Beng Hock dan hubungan akrabnya dengan seorang kawan perempuan. Tindakan ini merupakan tindakan yang tidak profesional.
Abdul Razak telah mendedahkan akaun mendiang yang mempunyai baki RM3611.36 dan cuba menggunakan ini sebagai satu alasan untuk menerangkan keperluan mendiang Teoh Beng Hock untuk “berasuah” bagi menampung kos perbelanjaan upacara perkahwinannya.
Peguam yang mewakili SPRM ini juga cuba memfitnah mendiang Teoh Beng Hock sebagai tidak jujur kerana mempunyai seorang kawan perempuan yang tinggal serumah dengannya.
Apa yang dilakukan oleh SPRM ini merupakan satu bentuk “character assassination” yang lebih kejam daripada kematian mendiang Teoh Beng Hock sendiri.
Seorang pembaca portal berita internet yang bernama Helen Ang telah menulis terhadap perkara ini dan apa yang beliau tulis itu cukup tepat. Beliau mengata: “Tetapi ini ialah satu kes di mana Razak tidak faham gaya hidup orang Cina di bandar. Untuk setiap orang Cina yang saya kenali, setiap satu pasangan mendapat keuntungan daripada majlis makan malam perkahwinan orang Cina. Selalunya kutipan daripada wang “Ang Pow” melebihi kos penyediaan majlis makan malam perkahwinannya. Selepas menolak segala perbelanjaan yang perlu dibayar kepada restoran, selalunya pasangan baru ini mendapat lebihan wang.”
(But here is a case of Razak being unfamiliar with Chinese urban lifestyle. Of all the Chinese weddings I know of, every single one has made a profit from the reception dinner. The 'ang pow' collection, more often than not, generously exceeds the cost of the banquet. After paying the restaurant bill, the bride and groom hosts usually have change left over.)
Apa yang dikatakan oleh Helen Ang ini memang tepat dan ini sekaligus membuktikan SPRM tidak dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap sesuatu kes. Sebaliknya, cara pemikiran SPRM ini lebih menjurus kepada satu-satu aspek kaum dan agama sahaja. Ini merupakan satu kekurangan pada SPRM.
Kenyataan Abdul Razak itu juga menunjukkan kekurangan pengetahuan tentang gaya hidup mahasiswa-mahasiswi Cina yang menuntut di perantauan, di mana ianya adalah satu norma yang boleh diterima oleh masyarakat Cina untuk mahasiswa-mahasisiwi berkongsi sesebuah rumah sewa walaupun ini jarangberlaku di kalangan mahasiswa-mahasiswi berketurunan Melayu dan India. Biarpun begitu, jarang-jarang sekali mahasiswa-mahasiswi berkongsi bilik. Oleh itu, perkongsian itu hanya setakat rumah sewa itu sahaja.
Justeru itu, peguam SPRM Abdul Razak tidak sepatutnya mengatakan bahawa mendiang Teoh Beng Hock mempunyai hubungan akrab dengan rakan serumahnya yang merupakan seorang perempuan sehingga memberi gambaran buruk bahawa mendiang Teoh Beng Hock mempunyai sesuatu yang sengaja disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai dan isterinya.
Kesemua ini hanya menunjukkan bahawa SPRM tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan profesional. Saya juga faham sekarang mengapa SPRM selalunya berkata tidak mudah untuk menghapuskan gejala rasuah. Ini bukan kerana sesuatu kes rasuah itu susah untuk disiasat tetapi kekurangan keupayaan dalam SPRM sendiri untuk menjalankan siasatan dengan menyeluruh dan profesional. Bayangkan dalam kes mendiang Teoh Beng Hock ini SPRM perlu menjalankan “character assassination” melalui alasan-alasan yang disengajakan seperti “baki akaun bank RM3611.36” dan “hubungan akrab dengan rakan serumah perempuan”, maka dimanakah letaknya kredibiliti dan profesionalisme SPRM?
No comments:
Post a Comment