Sunday, March 07, 2010

Memperkasa Pakatan Rakyat Selangor

Esok merupakan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor.

Dalam kita menyambut ulang tahun yang kedua ini, jangan sekali kita lupa tentang perjuangan dan pengorbanan oleh rakan-rakan seperjuangan kita dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

Kebelakangan ini, beberapa orang pelompat atau pengacau parti telah keluar daripada Pakatan Rakyat. Tindakan mereka ini telah membelakangi mandat yang disandarkan oleh rakyat kepada mereka. Kita mengutuk dan membidas tindakan mereka yang keji ini dan kita menuntut mereka meletak jawatan dengan segera.

Wakil rakyat dipilih oleh rakyat atas parti yang mereka wakili dan bukan atas orang perseorangan mereka sendiri. Mereka yang keluar parti ini saya anggap mereka ialah golongan yang kecundang.

Mereka tidak pernah ditahan di bawah ISA, tidak pernah diusik SPRM, tidak pernah digantung daripada jawatan wakil rakyat, tidak pernah dipenjara mahkamah, tidak pernah dipukul FRU, tidak pernah disepak polis malahan tidak pernah disirami air gatal FRU.

Topik yang saya bincangkan ialah "MEMPERKASA PAKATAN RAKYAT SELANGOR".

Apa yang dimaksudkan dengan perkataan "Memperkasa"?

  1. Berpegang teguh terhadap konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
  2. Mengambil pendekatan pertengahan untuk mendapat sokongan terbesar daripada rakyat pelbagai kaum dan agama.
  3. Memperkasakan perang media dan Internet Pakatan Rakyat
  4. Bermuafakat dalam pembentukan dasar dan keputusan kerajaan

Berpegang teguh terhadap konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

MES merupakan satu bentuk pendemokrasian ekonomi di mana sumber-sumber kekayaan negeri dikongsi bersama dengan rakyat. Di bawah konsep ini, kerajaan negeri telah memberi bantuan kepada rakyat hampir dalam semua segi merangkumi semua lingkungan umur warga Selangor, baik dari bayi yang baru kelahiran, remaja yang masuk ke IPT, golongan wanita yang tertindas akibat keganasan domestik, serta golongan usia emas yang sudah lama menyumbang kepada pembangunan negeri Selangor.

Bahkan kerajaan Selangor juga melancarkan pakej rangsangan ekonomi yang melibatkan lima sektor utama, merangkumi hampir segala aspek keperluan kehidupan rakyat Selangor, sama ada di desa atau di kota.

Belanjawan kerajaan pusat mencecah RM200 bilion setahun manakala kerajaan negeri Selangor hanya membelanjakan sekitar RM15 bilion setahun. Dengan pendapatan yang begitu banyak, kerajaan pusat masih ingin menaikan tarif elektrik, harga petrol, melaksanakan GST dan sebagainya yang hanya akan membebankan rakyat jelata.

Pakatan Rakyat juga perlu berusaha untuk mengimbangi kuasa dan sumber ekonomi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (Contoh Perlis)

Mengambil pendekatan pertengahan untuk mendapat sokongan terbesar daripada rakyat pelbagai kaum dan agama.

Langkah ke hadapan ialah dengan mengambil jalan tengah yang menyediakan peluang yang saksama, inklusif dan tiada lagi diskriminasi. Konsep "Middle Malaysia" atau Malaysia Pertengahan ini sebenarnya mempunyai keserasiannya dengan konsep "PAS Untuk Semua" yang dilaung-laungkan oleh rakan-rakan kita dari PAS. Secara kebetulan, kita mendapati bahawa sesama kita rupa-rupanya terdapat lebih banyak kesamaan daripada perbezaan. Semua parti harus menolak puak pelampau yang sengaja mengucar-kacirkan agenda perjuangan Pakatan Rakyat.

Peruntukan DUN Kampung Tunku untuk tahun 2009 begitu membanggakan, masyarakat Melayu dan Muslim di DUN Kampung Tunku terbela. Muslim di DUN Kampung Tunku hanya 20% sahaja tetapi masyarakat Muslim mendapat 25% daripada peruntukan kawasan saya dalam bentuk "Direct Grant". Lebih daripada 40% peruntukan digunakan untuk kebaikan dan faedah seluruh rakyat, termasuklah projek-projek infrastruktur. Dan apa yang mungkin sdr-sdri semua tidak percaya ialah Masyarakat Tionghua dengan 68% daripada bilangan pengundi pula mendapat 26% peruntukan. Peruntukan dan bantuan diberi berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan warna kulit atau agama.

Memperkasakan perang media dan Internet Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat perlu bertindak pantas dan cekap dalam menangkis serangan bertubi-tubi oleh BN dan cybertroopers mereka yang sentiasa menyebarkan fitnah. Rakan-rakan kita yang mempunyai blog, facebook dan twitter haruslah lebih tekun berkongsi pendapat dan idealisme PR dengan rakan-rakan yang lain di medan internet.

Kerajaan juga boleh mensyaratkan bahawa setiap satu projek pembangunan, khususnya projek perumahan di luar bandar, infrastruktur untuk pemasangan broadband perlu disediakan supaya rumah-rumah ini siap dilengkapi dengan sambungan Internet yang pantas. Semua anggota PR juga tidak boleh melalaikan Selangorkini. Semua perlu mengedar Selangorkini ke seluruh pelusuk Selangor, khususnya di kawasan-kawasan yang kita kalah.

Bermuafakat dalam pembentukan dasar, Jujur dalam membantu rakyat

Ketiga-tiga parti harus mengurangkan perselisihan faham antara mereka dan perlu sering berdialog dan bermuafakat dalam menghadapi segala cabaran. Pemimpin-pemimpin PR perlulah jujur dan berintegiriti dalam menjalankan tugas awam. EXCO perlu mendengar rintihan daripada rakyat, pemimpin di peringkat akar umbi juga perlu berdikari dan berusaha dan bukan selalu menunggu suapan idea daripada pimpinan atasan.

Misalnya di peringkat PBT kami memahami bahawa masih terdapat banyak perkara yang masih belum menepati keinginan rakyat. Maka PBT di Selangor juga perlu diperkasakan dan kalau boleh kita bebaskan terlebih dahulu PBT ini daripada pelbagai redtape daripada kerajaan pusat khususnya dari segi pengurusan kewangan PBT. PBT juga perlu menepati jiwa dan citarasa rakyat di peringkat akar umbi dan dalam konteks ini, saya berpendapat adalah wajar PBT dipilih rakyat.

Majlis Pakatan Rakyat Selangor merupakan antara yang terawal ditubuhkan berbanding dengan PR di negeri-negeri yang lain. Kita semua dalam situasi yang sama. Berat harus dipikul bersama dan ringan juga perlu dijinjing bersama.

Ayuh! Rakan-rakan seperjuanganku, marilah kita melibat-gandakan usaha kita untuk memastikan PR menang dalam PRU ke-13.

Bukankah Kuala Lumpur di tengah-tengah Selangor? Bukankah Putrajaya di tengah-tengah Selangor? Bukankah kita sudah menawan Selangor? Askar-askar kita sudah berada di Kota Darul Ehsan menunggu arahan untuk menakluk kerajaan pusat

Maka marilah kita bunyikan semboyan halilintar Pakatan Rakyat dan menawan kerajaan pusat untuk kebaikan anak-anak muda kita.

Sekian, terima kasih dan salam perjuangan.

No comments: