Tuesday, May 25, 2010

Rundingan Malaysia-Singapura – Jangan Biar Pisang Berbuah Dua Kali Seperti Rundingan Malaysia-Brunei

Pemindahan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, pembangunan secara usaha sama tanah lapang yang ditinggalkan KTMB, pengurangan kadar tol Linkedua, pembinaan sistem MRT di Johor Bharu dan sebagainya merupakan isu-isu yang dibincangkan dalam perbincangan dua hala antara Malaysia dan Singapura. Juga dikatakan bahawa kedua-dua negara telah mencapai persetujuan bersama untuk mengatasi masalah-masalah ini.
Kerajaan juga perlu telus dalam perkara ini kerana kita tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali di mana kerajaan persekutuan BN dalam menyelesaikan masalah bilateral antara Malaysia dan Brunei, pernah menyerahkan dua blok telaga minyak di perairan Sarawak dan Sabah kepada negara Brunei Darussalam untuk mengekalkan kedaulatan negra Malaysia di daerah Limbang.
Apa yang terkilan ialah keputusan kerajaan persekutuan BN ini tidak pernah diumumkan kepada rakyat Malaysia dan apabila rakyat Malaysia tahu tentang perkara ini, perjanjian sudah dimeterai dan tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi untuk memperbetulkan keadaanya.
Ini menunjukkan kecenderungan kerajaan persekutuan BN untuk melakukan secret deal atau perjanjian sulit tanpa pengetahuan rakyat. Apa yang kita lihat dan baca daripada media bukan merupakan gambaran sebenar terhadap situasi.
Justeru itu, saya meminta kerajaan persekutuan BN untuk berterus-terang dalam rundingan dengan kerajaan Singapura secara terperinci khususnya beberapa perkara yang terlibat seperti bekalan air, stesyen keretapi KTMB di Tanjung Pagar, pembinaan sistem MRT Singapura di Johor Bharu dan sebagainya merupakan isu-isu sensitif yang pernah disensasikan dahulu.
Adakah masalah-masalah yang berlarutan selama tiga puluh tahun boleh diselesaikan dalam satu rundingan yang mengambil masa beberapa hari sahaja? Apakah butiran-butiran rundingan lain yang tidak diumumkan? Saya berharap kerajaan persekutuan BN boleh berterus-terang dalam isu ini.

No comments: