Wednesday, May 04, 2011

PKPS CATAT KEUNTUNGAN DAN BERJAYA KURANGKAN KOS PENGURUSAN

KENYATAAN AKHBAR
3 MEI 2011

Anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) mencatat keuntungan sebanyak RM1.8 juta sepanjang 2010 hasil pengurusan yang sistematik dan profesional.

Menerusi sistem pentadbiran yang telus dan urus tadbir baik yang dilaksanakan selepas 2008, PKPS juga telah berupaya mengurangkan kos operasi sebanyak RM2 juta.

Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad berkata, keuntungan itu disumbangkan hasil peningkatan pengeluaran sawit yang melonjak kepada 14,000 tan pada 2010 berbanding hanya 9,200 tan pada 2008.

“Keuntungan PKPS dijangka akan terus meningkat pada tahun ini berikutan pemantauan rapi dan pengurusan sistematik yang dilaksanakan secara berterusan oleh PKPS,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang melakukan lawatan kerja ke Ladang PKPS di Sungai Panjang, Sabak Bernam, hari ini.

Pada sesi pagi lawatan kerja itu, Menteri Besar dibawa meninjau di beberapa lokasi di ladang PKPS yang sering dinaiki air dan kawasan itu termasuk dalam rancangan pengembangan penanaman kelapa sawit oleh PKPS.

Pada sesi tengahari pula, Menteri Besar merasmikan Ladang PKPS Jelutong Jati di Jalan Tanjung Maling, Sungai Besar, yang menempatkan Ladang Ternakan Ayam menggunakan teknologi terkini dengan kerja sama syarikat dari Thailand, Charoen Pokphand Group (CP Group) selain Ladang Tenusu.

Menteri Besar diberi penghormatan untuk menuai hasil pertama ternakan ayam selepas 39 hari diternak di ladang itu. Ladang tenusu itu pula mempunyai 200 ekor lembu susu baka Fresian dan PKPS mensasarkan pengeluaran lebih 1,000 liter susu lembu.

Pada sidang akhbar di akhir lawatan kerja itu, Menteri Besar menjelaskan, kerja sama dengan CP Group itu bagi membolehkan syarikat berkenaan membekalkan latihan dan prosedur penggunaan teknologi kepada kakitangan PKPS sebelum diambil alih sepenuhnya oleh PKPS.

Dikeluarkan oleh:
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: