“Bahawasanya mengikut Perenggan (5) dalam Peraturan
Tetap 76 bagi Dewan Negeri Selangor, Dewan yang bersidang pada hari ini membuat
ketetapan supaya Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan
Ketelusan Bagi Dewan Negeri Selangor Mengenai Siasatan Ke Atas Urusniaga
Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang dibentangkan sebagai
Kertas Mesyuarat Bilangan 28 Tahun 2012 diterima.”
Tuan Speaker,
Salam Selangorku dan Salam Reformasi,
1.
Pertama sekali, Kampung Tunku
mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,
Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Bagi Dewan Negeri Selangor (SELCAT) Mengenai
Siasatan Ke Atas Urusniaga Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).
2.
Isu berkenaan dengan KSSB telah
lama mendapat perhatian masyarakat umum dan adalah wajar untuk SELCAT
menjalankan siasatan dan pendengaran awam tentang pelbagai persoalan yang
tertimbul berkenaan dengan syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor ini, apatah
lagi aktiviti utama syarikat ini adalah berkenaan dengan industri perlombongan
pasir di mana industri ini merupakan isu hangat masyarakat.
3.
Kedua, Kampung Tunku meminta
kerajaan untuk memastikan cadangan-cadangan daripada Jawatankuasa Selcat ini
kerana ianya adalah sangat padat dan harus diambil oleh kerajaan untuk
melicinkan dan mempertingkatkan pengurusan syarikat-syarikat milik Kerajaan
Negeri Selangor yang lain pada masa depan.
Permohonan kebenaran melombong
4.
Penyata telah memaklumkan
bahawa kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa kerajaan akan memperolehi
pendapatan lombong pasir sebanyak RM120 juta adalah tidak berasaskan kepada
maklumat yang lengkap.
5.
Penyata juga memaklumkan bahawa
kuasa untuk menentukan kesesuaian atau kebolehlaksanaan sesebuah permohonan
untuk melombong di tanah persendirian ini berkemungkinan boleh disalahgunakan
tanpa pemantauan yang lebih ketat dan sistematik.
6.
Kerajaan Negeri seharusnya
membenarkan permohonan untuk melombong pasir di tanah persendirian dijalan
serentak apabila permohonan untuk melombong pasir di tanah Kerajaan dibenarkan.
Alasan bahawa Kerajaan memerlukan masa untuk memahami proses pentadbiran
sebelum membenarkan permohonan tanah persendirian tidak meyakinkan memandangkan
piawai yang terpakai adalah sama.
7.
Oleh yang demikian,
Jawatankuasa SELCAT menyarankan bahawa memandangkan KSSB mempunyai kuasa
menentukan kesesuaian atau kebolehlaksanaan sesebuah permohonan untuk melombong
di tanah persendirian tanpa perlu memaklumkan mana-mana pihaksecara rasmi, di
mana ia berpotensi disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, maka
satu tatacara perlu digubal untuk menentukan kuasa yang diberikan kepada KSSB ini
dilaksanakan dengan baik tanpa disalahgunakan.
Pengurusan KSSB dan
bayaran bonus
8.
Adalah tidak wajar dan tidak
munasabah bagi Lembaga Pengarah KSSB memberi bonus interim sejumlah yang
bersamaan 2 bulan gaji selepas hanya 4 bulan beroperasi berdasarkan kepada
unjuran bahawa KSSB akan memperolehi keuntungan pada akhir tahun perakaunan
KSSB.
9.
Dalam pemberian bonus,
kelihatan juga tiada garis panduan berkenaan peratusan bonus yang harus
diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan atasan dan pekerja biasa.
10. Kerajaan Negeri harus menggubalkan satu garis panduan pemberian
bonus untuk diguna pakai di semua anak syarikat dan badan berkanun Kerajaan
Negeri bagi memastikan semua keputusan dalam pemberian bonus kepada mereka yang
berkhidmat dalam anak syarikat dan badan berkanun terikat kepada satu garis
panduan yang menggariskan prinsip dan piawai yang adil dan munasabah.
11. Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat dan badan berkanun juga tidak
harus diberi bayaran bonus yang terlalu tinggi kerana mereka sendiri bukanlah
pelabur atau pemegang saham yang mempunyai risiko kerugian.
Aduan terhadap pengurusan
KSSB dan dua orang Ahli Dewan Negeri Selangor
12. Jawatankuasa SELCAT merumuskan aduan mereka adalah di luar
bidangkuasa dan skop siasatan melalui pendengaran awam yang harus dijalankan
oleh sebuah Jawatankuasa Badan Perundangan.
13. Adalah dirumuskan juga oleh Jawatankuasa SELCAT bahawa tiada bukti
yang menunjukkan bahawa dua orang Ahli Dewan Negeri Selangor, iaitu Ahli Yang
Berhormat Seri Muda dan Ahli Yang Berhormat Batu Caves telah membantu syarikat-syarikat
mereka untuk mendapatkan kontrak KSSB.
Saranan Jawatankuasa SELCAT
14. Jawatankuasa SELCAT berpendapat bahawa terdapat kekurangan pemahaman
awam terhadap peranan KSSB pada permulaan operasinya pada tahun 2008 memandangkan
ianya adalah satu entiti baru dan permohonan untuk permit melombong pasir telah
buat kali pertamanya disatukan di bawah satu syarikat yang menguruskan
syarat-syarat dan ulasan-ulasan daripada 8 jabatan teknikal sebelum ianya
dimajukan kepada PTG dan seterusnya kepada MMKN.
15. Mekanisma baru tidak diterangkan dengan jelas pada peringkat awal. Pengusaha
dan peniaga dalam bidang perlombongan pasir kelihatan tidak memahami dengan
mendalam mekanisma yang baru.
16. Pihak PTG dan Pejabat Tanah hendaklah mempertingkatkan kecekapan
dalam penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan kecurian pasir
kerana kuasa penguatkuasaan masih di dalam tangan mereka.
17. Pihak KSSB sebagai syarikat terlibat dalam urusniaga pasaran terbuka
hendaklah memastikan tatacara urusniaganya selaras dan sepadan dengan tatacara
urusniaga pasaran terbuka.
18. Kampung Tunku menyokong cadangan-cadangan di dalam Penyata ini dan
bercadang supaya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan
susulan seperti berikut:
a.
Mengarah KSSB untuk menyediakan
satu garis panduan untuk diikuti KSSB dalam menilai kesesuaian dan
kebolehlaksanaan permohonan melombong pasir di atas tanah persendirian supaya
semua pihak akan tertakluk kepada satu garis panduan yang telus dan saksama.
b.
Membentang garis panduan ini
kepada badan-badan pengawal kerajaan yang lain dan JP-ABAS untuk komen dan
cadangan-cadangan tambahan.
c.
Merangka satu garis penduan
tentang pembayaran bonus kepada kakitangan dan ahli lembaga semua
syarikat-syarikat kerajaan dan ianya harus dirujuk kepada JP-ABAS untuk komen
dan cadangan-cadangan tambahan.
Dengan itu, Kampung Tunku memohon untuk mencadang.
Lau Weng San