Sunday, December 02, 2012

Ucapan perbahasan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa menyokong Usul No. 19 Tahun 2012 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam


Ucapan perbahasan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa menyokong Usul No. 19 Tahun 2012 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

Tuan Speaker,

Salam Selangorku dan Salam Reformasi, Kampung Tunku menyokong usul ini.

1.      Pertama sekali, Kampung Tunku mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi Dewan Negeri Selangor mengenai pemantauan projek MARRIS 2011, kriteria pelantikan panel peguam di PBT dan pengurusan pasar pagi, pasar malam dan uptown serta semakan akaun JKP/MPP.

2.      Dalam perkara pemantauan MARRIS 2011, JP-PBT telah menyarankan supaya beberapa projek di bawah satu kontraktor untuk mengurangkan kos.

3.      JP-PBT juga bercadang agar wakil rakyat dan ketua komuniti diberi peranan untuk memantau perlaksanaan program-program MARRIS. Sebenarnya bukan sahaja program-program MARRIS yang perlu diletak di bawah pemantauan yang lebih ketat, malahan semua projek pembangunan, perolehan, bekalan atau perkhidmatan kerajaan harus diletak di bawah pemantauan yang ketat.

4.      Sebenarnya, semua projek pembangunan, perolehan, bekalan atau perkhidmatan kerajaan perlu dijalankan mengikut Akta Tatacara Kewangan tahun 1957 dan semua pekeliling perbendaharan yang berkaitan.

5.      Kampung Tunku menggesa kepada semua pegawai kerajaan supaya sentiasa mengikut peruntukan di bawah Akta Tatacara Kewangan tahun 1957 ini.

6.      Kampung Tunku juga menggesa kepada kerajaan supaya memastikan penolong-penolong teknikal atau technical assistants di setiap PBT untuk bekerja keras memastikan kontraktor-kontraktor menjalankan tugas seperti yang diperlukan dalam Bil Kuantiti.

7.      JP-PBT juga mengemukakan banyak cadangan yang bernas tentang pelantikan peguam panel di PBT sebagai syarat tambahan untuk memastikan firma guaman yang berkelayakan dilantik.

8.      Kampung Tunku bercadang kepada kerajaan membincangkan perkara ini di dalam MMKN dan memasukkan cadangan-cadangan JP-PBT ini di dalam pekeliling dan diedarkan kepada semua PBT di Selangor.

9.      Dalam hal pengurusan pasar pagi, pasar malam dan uptown, isu ini sebenarnya juga telah dibincangkan dan diputuskan sejak tahun 2008 lagi tetapi ianya mengalami halangan sehingga sekarang kerana terdapat orang-orang tempatan yang membantah tindakan ini, termasuk orang-orang UMNO di mana dalam penyata ini dimaklumkan terdapat sebuah pasar pagi di Kuala Selangor yang masih diurus UMNO.

10. Kampung Tunku berharap kerajaan akan menerima cadangan-cadangan ini.

Dengan itu, Kampung Tunku memohon untuk mencadang.

Lau Weng San

No comments: